in

Disebalik Kematian Steve Irwin, Lagenda ‘The Crocodile Hunter’ Yang Mati Kerana Ekor Ikan Pari

collage 26

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Untuk orang-orang yang membesar pada zaman hujung 90-an dan awal 2000, nama Steve Irwin ni mesti tak asing lagi di telinga kan? Mana tidaknya, ketika rancangan The Crocodile Hunter ditayangkan di TV, memang seronok betul bila tengok pengacara ini bergelut dengan buaya.

Ekoran ini, apabila berita kematiannya keluar di dada-dada akhbar pada tahun 2006, ramai yang terkejut apabila Steve Irwin dilaporkan mati selepas diserang oleh ikan pari. Lebih mengejutkan, ikan pari dikenali sebagai makhluk yang tenang dan biasanya akan berenang jauh apabila dorang takut.


Jadi kenapa ikan pari tersebut menyerang Steve Irwin? Dan macam mana lelaki yang dikenali hebat bergusti dengan buaya dan ular boleh dibunuh oleh haiwan yang sangat jinak ini? Kalau korang nak tahu, jom baca tentang Steve Irwin, kontroversi yang pernah melandanya dan kisah disebalik kematiannya dekat bawah ni!

Steve Irwin ‘The Crocodile Hunter’

04cnd irwin2 articleLarge v2.png

Dilahirkan pada 22 Februari 1962, Stephen Robert Irwin dibesarkan disamping haiwan-haiwan liar. Ini kerana, ibu dan bapanya merupakan pencinta haiwan dan pada 1970, ibu bapa Irwin telah membuka Taman Reptilia dan Fauna Beerwah di Queensland yang kini dikenali sebagai Zoo Australia.

Dari kecil, Steve Irwin seperti mempunyai deria ke-6 untuk haiwan liar. Mana tidaknya, ketika dia menangkap ular berbisa pertamanya, dia baru sahaja berusia 6 tahun. Kemudian, di usia 9 tahun, Steve dah mula bergusti dengan buaya di bawah pemantauan bapanya, Bob Irwin.

terri and steve irwin tease today 160805

Tahun 1991, Steve telah bertemu dengan isterinya yang juga seorang pakar alam semulajadi Terri Raines ketika wanita ini melawat taman yang dibuka oleh ibu dan bapa Steve. Jatuh cinta pandang  pertama, pasangan ini berkahwin sembilan bulan kemudian.

Tak lama selepas berkahwin, Steve Irwin mula mendapat perhatian media selepas dia dan isterinya mula membuat penggambaran video kehidupan liar yang diberikan nama The Crocodile Hunter. Rancangan ini sangat popular di Australia sebelum ini mula ditayangkan di negara-negara lain pada akhir 90-an.

Di dalam rancangan tersebut, Steve dikenali sebagai seorang yang berani untuk berdepan dan mendekati haiwan-haiwan berbahaya seperti buaya, ular sawa dan biawak.

Kontroversi Steve Irwin

GettyImages 563611797

Cara Steve Irwin berinteraksi dengan haiwan dan wataknya yang berani dan bersahaja telah menjadikan dia selebriti antarabangsa yang disayangi ramai.

Namun apabila popularitinya semakin meningkat naik, ada yang mula mempersoalkan cara Steve Irwin mengawal haiwan-haiwan liar yang boleh dikatakan agak cuai. Malah, pemilik Pusat Reptilia Alice Springs di Australia, Rex Neindord mengatakan, keselesaan Steve yang ekstrem bila bersama dengan haiwan liar ini kadang-kadang mengaburi pertimbangannya.

Saya dah beritahu dia untuk gunakan penyapu semasa mengendalikan haiwan tersebut (biawak berukuran 6 kaki), tapi dia tak hiraukan saya. Dia akhirnya telah digigit di tangan dan berdarah. Itulah Steve. Dia memang seorang penghibur.”

Screenshot 2023 08 17 at 1.50.12 PM

Pada Januari 2004, Steve telah dilanda lebih banyak kontroversi apabila videonya memberi buaya makan sambil mendukung anaknya Robert yang baru berusia sebulan pada ketika itu telah tular.

Steve kemudiannya telah membuat permohonan maaf di beberapa rancangan TV dan dalam satu temubualnya bersama Larry King, lelaki ini mendakwa angle kamera tersebut menunjukkan buaya itu lebih dekat dari realiti.

Saya dah beri buaya makan dengan anak sulung saya Bindi selama lima tahun. Saya takkan pernah bahayakan anak-anak saya.”

steve irwin bindi.jpg

Manakala orang-orang yang pernah bekerja dengan Steve Irwin pula mengatakan bahawa lelaki ini sentiasa mengutamakan keselamatan apabila bersama dengan haiwan.

Kematian Steve Irwin

D0A6

Pada 4 September 2006, Steve Irwin dan krew TV-nya telah pergi ke Great Barrier Reef di Australia bagi membuat penggambaran mengenai siri terbarunya yang dinamakan Ocean’s Deadliest.

Selepas lebih seminggu membuat penggambaran, Steve dan krewnya membuat perancangan untuk merakamkan babak bersama tiger shark. Namun begitu, mereka tak dapat menemui jerung tersebut dan membuat keputusan untuk merakamkan ikan pari bagi projeknya yang berlainan.

Perancangan asalnya, Steve sepatutnya berenang ke arah haiwan tersebut dan kamera akan melihat saat ikan tersebut berenang menjauhinya. Tak ada sorang pun dapat menjangkakan tragedi yang bakal menimpa lelaki ini pada ketika itu.

Ikan pari yang sepatutnya berenang menjauhi Steve itu telah berenang di hadapan lelaki ini sebelum mula menikam Steve menggunakan ekornya beberapa kali di dada.

Ekor itu menikam dada Steve seperti pisau panas memotong mentega.” – Jurukamera, Justin Lyons.

Justin tak sedar macam mana teruknya kecederaan yang menimpa Steve sehinggalah apabila dia melihat Steve berdarah. Justin dengan cepat membawa Steve naik ke atas bot mereka.

Menurut Justin, Steve sedar dengan apa yang berlaku kerana dia sempat mengatakan ikan tersebut telah menikam paru-parunya. Namun, apa yang dia tak sedar, ikan tersebut telah menikam jantungnya.

Ketika kami sedang bergerak pulang, saya telah menjerit ke arah krew lain untuk meletakkan tangan mereka pada dada Steve dan cakap padanya untuk bertahan dan fikirkan anak-anaknya. Tapi Steve dalam keadaan tenang hanya melihat saya dan mengatakan, ‘I’m dying’, dan itu adalah kata-kata terakhirnya.”

Tambah Justin lagi, ikan pari tersebut telah menikam Steve dan melakukan kerosakan yang teruk pada jantung Steve sehinggakan tak ada siapa pun yang boleh selamatkannya. Steve berusia 44 tahun ketika itu.

Bercakap mengenai sebab kenapa ikan pari tersebut menyerang Steve, Justin mengatakan ikan pari tersebut mungkin ingatkan bayang-bayang Steve seperti tiger shark dan mula menyerangnya.

Justin turut mengatakan, Steve mempunyai arahan tegas mengatakan, jika ada apa-apa berlaku kepadanya, ia perlu dirakamkan. Ini bermakna, kematiannya itu dan cubaan untuk menyelamatkannya, semua telah dirakamkan.

Rakaman tersebut kemudiannya telah diberikan kepada pihak berkuasa untuk tujuan siasatan sebelum mereka mengesahkan kematian Steve Irwin sebagai kemalangan tragik. Video tersebut kemudiannya dipulangkan kepada keluarga Steve yang kemudiannya mengatakan bahawa ia telah pun dimusnahkan.

Legasi Steve Irwin

robert Irwin.jpg

Selepas kematian Steve Irwin, Perdana Menteri Australia pada ketika itu telah menawarkan pengebumian terhormat untuknya namun ditolak oleh keluarganya. Manakala ramai peminatnya telah pergi ke Zoo Australia untuk meninggalkan bunga dan nota ucapan takziah sebagai penghormatan ke atasnya.

Sehingga hari ini ramai yang masih bersedih dan mengingati Steve Irwin. Pun begitu, legasi Steve Irwin untuk mengajar orang ramai mengenai hidupan liar ini masih hidup sehingga sekarang. Komitmennya terhadap pemuliharaan diteruskan dengan bantuan dua anaknya, Bindi dan Robert Irwin.

Anak-anaknya ini membesar dengan belajar cara untuk mengawal haiwan liar, sama seperti bapa mereka. Bindi merupakan karakter tetap dalam rancangan TV Steve Irwin dan turut mengacarakan rancangannya sendiri yang dibuat untuk kanak-kanak dan dipanggil Bindi the Jungle Girl.

Manakala anak lelakinya, Robert membintangi siri Animal Planet yang dinamakan Crikey! It’s the Irwins bersama ibu dan kakaknya.

Ayah selalu cakap, dia tak kisah kalau orang tak ingat dirinya, asalkan orang ingat mesej yang disampaikannya.” – Bindi Irwin.

Sumber: ati

 

Baca: Wajah Crocodile Hunter Steve Irwin Jadi Pilihan Rakyat Australia, Tolak Wajah Raja Charles Pada Wang Kertas

2aud 758x399 1

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.