Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini telah mengumumkan SOP umum pengurusan jemaah untuk Solat Jumaat hari ini di masjid-masjid kelolaan mereka melalui akaun rasmi Facebook jabatan tersebut.
Difahamkan, antara masjid-masjid yang terlibat dengan SOP tersebut adalah Masjid Negara, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (Masjid Besi) dan Masjid Putra, Putrajaya.
Menerusi infografik yang disediakan, notis tersebut dimuatnaik bagi memudahkan urusan jemaah selain sebagai panduan kerana kebiasaannya mereka akan datang lebih awal ke masjid kerana jumlah kapasiti yang terhad.
Selain itu, difahamkan juga bahawa quota maksimum jemaah turut ditambah menjadi 500 orang jemaah berbanding hanya 300 orang sebelum ini selain SOP umum lain yang masih berkuatkuasa seperti memakai pelitup muka dan membawa sejadah sendiri dari rumah.
Jemaah yang ingin ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat juga perlu melepasi tempoh 14 hari dari tarikh pengambilan vaksin dan perlu mengimbas kod QR sebelum memasuki pintu utama masjid selain perlu menunjukkan bukti telah mendapatkan vaksinasi penuh melalui aplikasi MySejahtera.
Difahamkan juga pintu masjid akan dibuka seawal jam 11.45 pagi dan akan ditutup selepas ianya mencapai quota yang telah ditetapkan.
Pengumuman yang sama juga telah dibuat oleh akaun-akaun rasmi masjid yang terlibat seperti Masjid Tuanku Mizan (Masjid Besi) dan Masjid Putra, Putrajaya serta Masjid Negara, Kuala Lumpur.
Baca : Akui Reaksi Terhadap Video Solat Jumaat Viral Keterlaluan, Imam Besar Masjid Putra Mohon Maaf