Satu sejarah baru tercipta apabila Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 diluluskan oleh Dewan Negara pada 9 September 2025 dan kelulusan ini membawa sinar baharu buat hampir 1.2 juta pekerja gig di Malaysia yang selama ini tidak mempunyai sebarang perlindungan undang-undang yang sah.
RUU yang akan memberi perlindungan menyeluruh termasuk aspek kebajikan, keselamatan sosial dan hak mereka sebagai sebahagian tenaga kerja penting dalam ekonomi negara itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas 18 Ahli Dewan Negara.
Untuk pengetahuan, sebelum adanya RUU ini, pekerja gig, walaupun merupakan teras penting dalam ekonomi negara, tidak dapat mempertahankan hak mereka kerana tidak diiktiraf di bawah mana-mana akta perburuhan sedia ada.
RUU ini adalah hasil daripada mandat yang diberikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kepada Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) pada Mac 2024 untuk merangka mekanisme perlindungan khusus.
Proses penggubalan RUU ini juga sangat telus dan inklusif, yang mana ia melibatkan hampir 40 sesi libat urus dengan lebih 4,000 pihak berkepentingan dari seluruh negara termasuklah kerajaan negeri Sabah dan Sarawak, syarikat platform, persatuan pekerja gig, kesatuan sekerja, serta ahli akademik dan pertubuhan masyarakat. Malah, ia turut mendapat pengesahan daripada Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) di Geneva yang mengesahkan kesesuaiannya dengan piawaian global.
RUU Pekerja Gig 2025 terdiri daripada 112 fasal dalam 10 bahagian dan menumpukan kepada empat aspek utama yang kritikal bagi kesejahteraan pekerja gig:
- Definisi yang Jelas: RUU ini memuktamadkan takrifan pekerja gig yang sebelum ini tidak dilindungi dalam mana-mana akta buruh. Walaupun begitu, ia tetap mengekalkan status fleksibel mereka sebagai freelancer atau bekerja sendiri.
- Majlis Perundingan: Satu majlis khas akan diwujudkan yang menghimpunkan wakil kerajaan, wakil pekerja gig, dan wakil entiti kontrak untuk membincangkan isu-isu penting seperti kadar bayaran dan kontrak standard.
- Tribunal Pekerja Gig: Penubuhan sebuah tribunal khusus ini akan menyediakan saluran penyelesaian pertikaian yang mudah, cepat, dan kos efektif.
- Perlindungan Keselamatan Sosial: RUU ini memperkukuh perlindungan keselamatan sosial pekerja gig melalui caruman PERKESO.
Pekerja gig dalam sektor e-hailing dan p-hailing sememangnya diwajibkan mencarum dengan PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial)
Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong ketika menggulung perbahasan RUU itu berkata cadangan potongan secara automatik caruman bagi pekerja gig di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) bagi memperkukuh penguatkuasaan serta memperluas perlindungan sosial.
Artikel berkaitan : PERKESO Perkukuh Jaringan Keselamatan Sosial Melalui Penjenamaan Baharu ‘Lindung’
Artikel berkaitan : PERKESO Seru Lebih Ramai Majikan Sertai Dasar Gaji Progresif
Beliau berkata pindaan itu bertujuan menangani kelemahan akta sedia ada khususnya dari segi kebolehkuatkuasaan dengan memperkenalkan potongan automatik melalui integrasi sistem antara muka pengaturcaraan aplikasi (API) dengan platform.
Dengan adanya undang-undang yang progresif ini, Malaysia kini menjadi rujukan kepada negara-negara di rantau ASEAN dan dunia dalam sektor ekonomi gig. Pekerja gig kini akhirnya akan menikmati perlindungan yang sewajarnya, seiring dengan sumbangan besar mereka kepada pembangunan ekonomi negara.
KESUMA kini akan mengambil langkah seterusnya untuk memastikan pewartaan dan penguatkuasaan akta tersebut.
Sumber : KESUMA