Sudah dua minggu berlalu, ibu kepada Zara Qairina Mahathir mahukan jawapan sebenar dan keadilan ke atas kematian anaknya.
Noraidah Lamat, 45, mendedahkan pengebumian jenazah anaknya pada malam 17 Julai lalu dilakukan tanpa proses bedah siasat kerana tidak ada pihak mencadangkan kepadanya untuk berbuat demikian.
Katanya, kematian tragis anak tunggalnya itu menyebabkan dia yang terkejut dan sedih, tidak dapat berfikir tenang dan mahu anaknya dikebumikan segera, namun keesokannya mereka sekeluarga menyedari wujud faktor tertentu yang mencurigakan berhubung kematian Zara Qairina.
Artikel berkaitan: 60 Individu Termasuk ‘Kak Wana, Kak Dedeng & Tomboi’ Telah Dipanggil Polis – Polis Sabah
Artikel berkaitan: Kes Zara Qairina: Ahli Parlimen Sangkal Dakwaan Kaitkan Isteri Dengan Kes Kematian Pelajar
“Saya mahu persoalan yang berlegar di kepala berhubung punca sebenar kematian anak saya bernoktah.
“Jadi, demi mendapat jawapan itu dan keadilan untuknya, saya mengarahkan dua peguam menguruskan proses bagi membolehkan kubur anak digali semula untuk melakukan bedah siasat terhadap jenazahnya,” katanya.
Noraidah berkata, dia mahu pihak polis melakukan siatan telus berhubung kes itu dan pada masa sama, bedah siasat yang pertama terhadap jenazah Zara Qairina perlu dibuat bagi memperincikan punca kecederaan dan kematiannya.
Sementara itu, Noraidah mengakui dia terguris hati dan sedih dengan pelbagai spekulasi yang disebarkan berhubung kematian anaknya.
“Saya akui kesedihan akibat tragedi menimpa Zara Qairina tak akan padam dan banyak persoalan timbul. Saya mahu tahu punca sebenar kematiannya, justeru proses bedah siasat perlu dilakukan dan kuburnya perlu digali semula.
“Apa pun keputusan yang keluar hasil bedah siasat itu kelak dan siasatan polis, saya terima dengan reda kerana ia menjawab segala persoalan yang masih tiada jawapan sehingga kini,” katanya.
Wajah Zara Qairina tiada kecederaan
Mengimbas kejadian yang berlaku pada 16 Julai lalu, Noraidah dan suaminya mengambil masa dua jam perjalanan ke Papar selepas menerima panggilan telefon daripada warden sekolah berhubung anaknya.
“Setibanya di lobi wad kecemasan HQE1 pada jam 10 pagi, saya panik melihat sudah ramai pegawai jabatan berada di situ termasuk polis dan pengurusan sekolah.
“Ketika itu, saya dimaklumkan kes ini sudah menjadi kes polis dan ketika dibawa masuk ke dalam, saya melihat badan dan muka Zara Qairina berselirat dengan wayar tetapi wajahnya tidak cedera langsung.
“Doktor dan kaunselor yang ada di situ memaklumkan kepada saya, jika anak hidup sekalipun, dia takkan sempurna kerana otaknya sudah rosak. Saya terpinga-pinga dengan maklumat itu kerana gagal memahami apa yang disampaikan mereka,” katanya.
Semalam, media melaporkan kes itu kini di peringkat akhir yang mana kenyataan kira-kira 60 saksi sudah dirakam polis membabitkan pelajar, ibu bapa dan kakitangan sekolah.
Sumber: Berita Harian