Perjalanan Malaysia untuk mencapai kemerdekaan bukanlah satu usaha yang mudah, ia dibantu dengan keberanian pejuang kemerdekaan, para pemimpin serta perpaduan rakyatnya. Tak dapat dinafikan, “senjata” paling berkuasa untuk membentuk sesuatu negara adalah ucapan yang menunjukkan emosi, harapan dan aspirasi yang dapat menyemarakkan semangat rakyat.
Jadi sempena sambutan Hari Kebangsaan yang ke-67, apa kata kita tengok balik beberapa ucapan ikonik dalam sejarah dari pemimpin-pemimpin negara yang telah membentuk Malaysia menjadi negara yang kita kenal dan sayang hari ini. Lessgo!
Artikel berkaitan: Khatijah Sidek: Pejuang Kemerdekaan Yang Tubuhkan Tentera Wanita Menentang Jepun & Dibuang Dari UMNO
Artikel berkaitan: “Tak sangka ada banyak” – Ini 5 Negara Yang Masih ‘Bertarung’ Untuk Capai Kemerdekaan Sehingga Sekarang
1. “Merdeka, merdeka, merdeka!” – Tunku Abdul Rahman (1957)
Ucapan paling ikonik dalam sejarah Malaysia dah tentunya pengistiharaan merdeka pada 31 Ogos 1957. Laungan “Merdeka” dari Perdana Menteri pertama Malaysia ni telah tersemat kukuh dalam jiwa semua rakyat Malaysia walaupun ada yang belum lahir lagi masa ni. Berdiri di Stadium Merdeka Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan:
“Dengan nama Allah, Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Saya, Tunku Abdul Rahman Putra Ibni Al-Marhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, dengan persetujuan dan perkenan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Negeri Melayu serta dengan kehendak rakyat Persekutuan Tanah Melayu, dengan ini mengisytiharkan dan menyatakan bagi pihak rakyat bahawa mulai dari hari tiga puluh satu Ogos, 1957, Persekutuan Tanah Melayu yang terdiri daripada Negeri Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Perak, Melaka, dan Pulau Pinang adalah dan dengan rahmat Tuhan akan kekal menjadi sebuah Negara demokrasi yang merdeka dan yang berdaulat demokratik serta berdasarkan kepada kebebasan dan keadilan dan mengekalkan keamanan di kalangan semua bangsa.”
Ucapan ini disertakan dengan pengibaran bendera Persekutuan Melayu dan laungan “Merdeka!” sebanyak tujuh kali melambangkan pengakhiran pemerintahan kolonial British dan kelahiran sebuah negara baru.
Ucapan ini bukan sahaja penting kerana pengisytiharan kemerdekaannya, tapi juga penekanan terhadap perpaduan, demokrasi dan keadilan yang terus menjadi nilai utama Malaysia pada hari ini.
2. Wawasan 2020 Tun Dr. Mahathir Mohamad (1991)
Salah satu ucapan ikonik pemimpin ketika era Malaysia moden merupakan ucapan Wawasan 2020 Tun Dr. Mahathir yang telah menetapkan perjalanan negara selepas kemerdekaan.
Ucapan yang disampaikan ketika mesyuarat Majlis Perniagaan Malaysia pada 28 Februari 1991 ini telah menggariskan visi berani Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang maju sepenuhnya pada tahun 2020.
“Menjelang tahun 2020, Malaysia akan menjadi sebuah negara bersatu, dengan masyarakat Malaysia yang yakin, dipenuhi oleh nilai moral dan etika yang kukuh, hidup dalam masyarakat yang demokratik, liberal, penyayang, adil dari segi ekonomi dan saksama, progresif dan makmur, serta memiliki sepenuhnya sebuah ekonomi yang berdaya saing, dinamik, kukuh, dan berdaya tahan.”
Ucapan dari Tun M ini menggambarkan aspirasi Malaysia untuk mencapai kemajuan serta pembangunan sosial dan budaya. Penekanan kepada perpaduan dan identiti nasional yang kukuh juga turut mencerminkan semangat kemerdekaan disamping menetapkan matlamat baru untuk masa depan negara.
3. Ucapan Hari Malaysia Tunku Abdul Rahman (1963)
Macam yang korang tahu, Malaysia telah ditubuhkan pada 16 September dengan penyatuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Sempena menandakan hari yang penting ini, Tunku Abdul Rahman sekali lagi telah berucap dan mengukuhkan prinsip-prinsip kemerdekaan dan perpaduan.
“Negara baru kita ini didedikasikan kepada cita-cita untuk memupuk keharmonian dan perpaduan yang lebih erat antara rakyat di negara ini tanpa mengira bangsa atau agama. Adalah menjadi usaha kita untuk memastikan bahawa negara ini berdasarkan prinsip keadilan dan kebebasan, dan bahawa ia akan kekal sebagai sebuah Negara yang berdaulat, demokratik dan merdeka.”
Kalau korang nak tahu, ucapan ini memainkan peranan penting untuk memperkukuhkan Malaysia baru dengan menekankan kepentingan keharmonian di kalangan rakyat Malaysia. Selain itu, kata-kata yang dijadikan asas kepada ucapan kemerdekaan Tanah Melayu seperti nilai-nilai keadilan, kebebasan dan demokrasi turut dilanjutkan dengan penubuhan Malaysia.
4. Ucapan Perpaduan Negara Tun Hussein Onn (1976)
Perdana Menteri ke-3, Tun Hussein Onn yang dikenali sebagai “Bapa Perpaduan” telah menyampaikan ucapan penting pada 31 Ogos 1976 ketika sambutan Hari Merdeka dengan menekankan kepentingan perpaduan negara semasa menghadapi cabaran sosial dan politik.
“Perpaduan negara adalah kunci kepada kelangsungan hidup kita sebagai sebuah negara. Kita mesti memastikan bahawa perbezaan kita tidak memecahbelahkan kita, tetapi sebaliknya menjadikan kita lebih kuat sebagai sebuah rakyat. Kepelbagaian kita adalah kekuatan kita, dan menjadi tanggungjawab kita untuk memupuk semangat toleransi, persefahaman, dan saling menghormati di kalangan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum atau agama.”
Ucapan ini telah disampaikan ketika Malaysia di dalam proses untuk pulih selepas berlakunya ketegangan kaum yang membawa kepada peristiwa 13 Mei 1969. Tun Hussein Onn dalam ucapannya ini menekankan, kepentingan perpaduan melalui toleransi dan sikap saling menghormati merupakan perkara yang penting bagi menjadikan Malaysia sebagai negara yang lebih stabil dan maju.
5. Perletakan jawatan Tunku Abdul Rahman (1970)
Ucapan perletakan jawatan Tunku Abdul Rahman pada 1970 ini telah menandakan pengakhiran era awal kemerdekaan dan permulaan baru dalam sejarah Malaysia. Ia juga turut disampaikan setahun selepas rusuhan 13 Mei 1969 yang menjadi cabaran dalam membina sebuah negara berbilang bangsa.
“Marilah kita ingat bahawa perpaduan adalah kekuatan utama kita sebagai sebuah masyarakat dan bangsa. Jangan sekali-kali kita membiarkan perpecahan menghancurkan atau mengganggu-gugat kita. Jika kita biarkan, maka jatuhlah kita. Dalam tempoh 25 tahun selepas tamatnya Perang Dunia, ketika rakyat negara ini bangkit dari menjadi generasi terhina dan diperintah oleh kuasa asing, banyak yang sudah kita capai. Kita tempuh pelbagai kepayahan dan mengubah sejarah kita. Catatan pencapaian kita sesungguhnya sangat menakjubkan.
Namun, kita pernah sekali gagal mengukur harapan dan cita-cita kita, dan itu adalah pada hari yang kita sesalkan, iaitu 13 Mei tahun lalu. Peristiwa itu menggegarkan mental dan sosial kita sebagai manusia. Ia adalah hari yang tidak akan pernah kita lupakan. Kita sedar dengan penuh kecewa bahawa kita belum lagi betul-betul mencapai perpaduan yang diinginkan. Kita tidak menjaga keharmonian yang selama ini dikagumi dunia. Yang lebih buruk adalah apabila kita sedar bahawa ramai sekali yang kononnya orang Malaysia sama sekali bukan orang Malaysia. Tetapi saya tidak berputus asa. Sekarang kita masing-masing tahu, kerana ia sudah terpahat di hati kita, bahawa nasib bangsa ini, rakyat Malaysia, terletak pada keharmonian dan perpaduan serta kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada negara.”
Perletakan jawatan Tunku Abdul Rahman ini telah menjadi peringatan kepada rakyat Malaysia mengenai cita-cita kemerdekaan dan perjalanan berterusan negara kita untuk menuju keharmonian.
6. Ucapan Dasar Ekonomi Baru oleh Tun Abdul Razak (1970)
Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri kedua Malaysia, memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1970, selepas peristiwa rusuhan 13 Mei 1969. Ucapan ini menandakan langkah penting dalam mengatasi ketidakseimbangan ekonomi antara kaum di Malaysia. Dalam ucapannya, beliau berkata:
“Tujuan Dasar Ekonomi Baru adalah untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat Malaysia dengan tujuan mengurangkan dan lama-kelamaan menghapuskan sama sekali pengenalan kaum dengan fungsi-fungsi ekonomi.”
Ucapan ini mencerminkan usaha kerajaan untuk mewujudkan keharmonian sosial dan kestabilan politik melalui keadilan ekonomi. DEB menjadi asas kepada pembangunan ekonomi Malaysia dan perpaduan nasional yang berterusan.
7. Ucapan Kemerdekaan Sabah oleh Tun Fuad Stephens (1963)
Pada 31 Ogos 1963, Sabah mencapai kemerdekaan daripada penjajahan British. Tun Fuad Stephens, yang kemudiannya menjadi Ketua Menteri pertama Sabah, menyampaikan ucapan kemerdekaan yang menekankan pentingnya perpaduan di kalangan rakyat Sabah dalam menghadapi masa depan yang tidak pasti:
“Kemerdekaan ini adalah peluang kita untuk membina Sabah yang lebih baik, dengan rakyat yang bersatu padu dan kuat. Kita mesti bekerja bersama-sama untuk memastikan masa depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang.”
Ucapan ini jelas menunjukkan aspirasi Sabah untuk mencapai kemajuan dan perpaduan selepas bergabung dalam pembentukan Malaysia.
Sumber: Arkib Negara