in

Khatijah Sidek: Pejuang Kemerdekaan Yang Tubuhkan Tentera Wanita Menentang Jepun & Dibuang Dari UMNO

Collage 47

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Zaman sebelum kemerdekaan dulu, memang ada wanita yang tak takut untuk mengangkat senjata ketika berhadapan dengan musuh negara. Namun begitu, nama-nama mereka ini tidaklah diingati seperti nama pejuang-pejuang kemerdekaan lelaki.


Jadi pada artikel kali ini, kita akan menceritakan tentang seorang wanita dari Indonesia yang telah mengangkat semangat wanita di Indonesia dan juga di Malaysia serta keberaniannya menentang penjajah sehingga dia dipenjarakan.

Bukan itu sahaja, dia juga turut pernah dibuang UMNO ekoran kelantangannya ketika berkecimpung di dalam dunia politik. Kalau korang nak tahu siapa, jom baca artikel ni!

Khatijah Sidek: Rebel dari sekolah

Manis Madu E1607790343639

Anak keempat dari sembilan adik beradik, Che Khadijah binti Mohd Sidek atau lebih dikenali sebagai Khatijah Sidek telah dilahirkan di Pariaman, Sumatera Barat, Indonesia pada 1918. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Belanda kerana bapanya mahu anak perempuannya ini meneruskan pelajarannya di peringkat universiti.

Walaupun beliau merupakan seorang pelajar cemerlang dan mendapat pendidikan peribadi dari seorang guru bernama Yuffrow Oesterhuis untuk belajar lebih mendalam tentang bahasa Belanda, bahasa Melayu, sejarah, ilmu alam, ilmu kesihatan dan matematik, guru besar sekolahnya, Encik Jensen mengatakan bahawa wanita ini tak boleh menyambung ke sekolah menengah gara-gara gagal peperiksaan akhir.

Tak berpuas hati, Khatijah telah bertemui sendiri guru besarnya itu bagi mengetahui sebab sebenar kenapa dia dilarang untuk menyambung ke sekolah menengah sehingga Encik Jensen telah mengubah fikiran dan membenarkan Khatijah untuk masuk ke sebuah sekolah menengah di Padang.

Malangnya, ketika di sekolah tersebut, Khatijah telah dibuang kerana menyertai persatuan Keputrian Indonesia yang dikatakan mempunyai agenda politik ekoran ahli-ahlinya telah menyanyikan lagu Indonesia Raya yang tidak dibenarkan ketika penjajahan Belanda.

Khatijah kemudiannya menyambung pelajaran di sebuah sekolah biasa dan di sana beliau menubuhkan satu persatuan penulis yang dipanggi Ardjasni bersama lima orang rakannya.

Tubuhkan anggota ketenteraan wanita

Memoirkhatijah

Ketika Indonesia dijajah oleh Jepun pada 1942, Khatijah telah diarahkan untuk menjadi guru sekolah di Biruen, Aceh sebelum dipaksa untuk menjadi guru di Sekolah Nippon dan diarah untuk mengajar bahasa serta kebudayaan Indonesia kepada tentera dan pegawai Jepun.

Walaupun terpaksa mendengar arahan dari Jepun, Khatijah yang mempunyai semangat anti-Jepun ini telah aktif dalam persatuan-persatuan yang aktif menentang pemerintahan Jepun sehingga dia telah dilantik sebagai Pegawai Penerangan Penubuhan Wanita dan Ketua Wanita Persatuan Pemuda.

Ekoran ini, pihak Jepun telah mengugut beliau untuk menyerahkan diri membuatkan wanita ini lari ke Bukit Tinggi dan meminta bantuan adiknya Rahimiar yang juga merupakan Ketua Persatuan Wanita di sana dengan menukarkan namanya kepada Aminah dan menyamar sebagai polis.

Sebagai salah satu strategi untuk menentang Jepun, Khatijah telah menubuhkan Puteri Kesatria di Bukit Tinggi di mana wanita-wanita yang menyertai pertubuhan ini telah dilatih dengan ilmu kententeraan selama enam bulan dan pulang ke kampung mereka untuk tubuhkan angkatan tentera wanita.

Setiap hari, Puteri Kesatria ini akan berbaris mengelilingi kampung dan memegang senjata kayu sambil menyanyikan lagu-lagu patriotik untuk menunjukkan tanda protes mereka kepada pemerintahan Jepun.

Jepun akhirnya kalah kepada Tentera British pada 1945 dan Indonesia mengisytiharkan kemerdekaan mereka pada 17 Ogos 1945 berkat bantuan dari penubuhan Puteri Kesatria.

Kehebatan Khatijah ini turut sampai ke telingan nasionalis Tanah Melayu iaitu Dahari Ali dan Haji Abdullah Senggora sehingga wanita ini dan Puteri Kesatrianya telah dijemput untuk menyemarakkan semangat kemerdekaan dan meninjau keadaan politik di Tanah Melayu.

Perjuangan Khatijah di Tanah Melayu

80829571 514574835808571 328697923086843904 N

Bagi mengeratkan hubungannya dengan golongan wanita, Khatijah telah menjadi Presiden Himpunan Wanita Indonesia Malaya (HWIM) dan sifat kepimpinannya ini telah membuatkan seorang pemimpin Lembaga Kesatuan Melayu Johor (LKMJ), Dr. Hamzah Taib jatuh cinta dan melamarnya untuk dijadikan isteri.

Tindakan Khatijah yang aktif di dalam bidang politik ini telah digeruni oleh pihak British sehingga beliau telah dipenjarakan atas tuduhan cuba untuk menggulingkan Kerajaan British. Kehidupan beliau di dalam penjara amat mencabar lebih-lebih lagi ketika itu beliau sedang mengandungkan anak pertamanya.

Selepas dibebaskan, Khatijah telah mengikut suaminya untuk tinggal di rumah ibu mertuanya namun tak tahan selepas sering dicemuh sebagai bekas banduan serta dianggap sebagai bebanan kepada keluarga mertuanya.

Selepas berpindah ke Johor Bharu, Tunku Abdul Rahman telah menjemput Khatijah untuk menyertai Kaum Ibu Umno namun tindakan tersebut tidak dipersetujui ramai sehingga Tunku Abdul Rahman mengatakan:

Kita harus mengangkat tabik pada mereka yang masuk penjara kerana mereka berjuang untuk rakyat dan kemerdekaan. Kita patut berikan bintang kerana keberanian mereka”

Bermula sebagai AJK Kaum Ibu Umno, Khatijah kemudiannya telah dilantik sebagai Pegawai Penerangan Kaum Ibu Umno dan mengembara ke seluruh negeri dan kampung-kampung sambil memberikan kesedaran kepada kaum wanita untuk melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan dan sekaligus menambahkan ahli Umno.

Dalam masa 10 bulan, Khatijah berjaya menambah keahlian Umno sebanyak 10,000 sehingga beliau dilantik menjadi Setiausaha dan Pemangku Kaum Ibu Umno dan seterusnya menjadi Ketua Ibu Umno yang ketiga selepas Ibu Zain bersara.

Ketika menjadi Ketua Ibu Umno, Khatijah telah meminta wakil kaum ibu untuk bertanding lima kerusi di Parlimen pada pilihanraya 1954 serta mendesak supaya perwakilan wanita dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertambahkan dengan mengadakan lawatan ke seluruh Tanah Melayu bagi mendapatkan sokongan.

Ekoran tindakannya serta sikapnya yang panas baran apabila menyuarakan hak keistimewaan wanita, beliau telah dianggap sebagai seorang ahli politik radikal sehingga Umno membuat keputusan untuk membuangnya pada 10 November 1956 semasa Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno.

Meneruskan perjuangan wanita

Memoirs Of Khatijah Sidek Pute 1659236066 9B9E38C0 Progressive

Selepas dua tahun dipecat dan dibuang Umno, Khatijah telah dijemput oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmy untuk menyertai PAS dan perlawaan ini dipersetujui kerana ingin menunaikan hasrat ibunya menjadi pemimpin negara.

Khatijah berjaya memenangi pilihan raya 1959 di bawah tiket PAS serta menambah ahli Dewan Muslimat dari 700 ke 3,000 semasa memegang jawatan sebagai Ketua Dewan Muslimat dan jumlah tersebut bertambah ke 8,454 pada tahun 1966.

Ketika berada di PAS, Khatijah sering menyuarakan pendapatnya mengenai dasar kerajaan serta mendesak kerajaan untuk mengambil berat tentan pembelajaran wanita luar bandar. Namun selepas kalah dalam pilihan raya 1964 dan mempunyai perbezaan pendapat dengan Presiden PAS pada ketika itu Dr. Asri Muda, Khatijah telah meninggalkan PAS.

Beliau kembali ke Umno pada 1971 melalui cawangan Kampung Majidee Johor dan tiga tahun kemudian beliau memegang jawatan sebagai Naib Ketua Wanita Umno cawangan Selayang Baru.

Selepas kakinya lumpuh dan disahkan menghidap penyakit anemia, Khatijah kurang aktif dalam aktiviti persatuan dan ramai tokoh politik datang menziarahi beliau ketika sakit antaranya adalah Fatimah Hasim dan Hajah Aishah Ghani.

Kerana jasanya dalam politik Tanah Melayu, Umno mahu menghadiahkan sebidang tanah di Kampung Dato Keramat kepadanya namun ditolak kerana mengatakan beliau berkecimpung dalam bidang politik bukan disebabkan harta.

Khatijah menghembuskan nafas terakhirnya di sebuah bilik kecil bersama anak-anaknya pada tahun 1982.

Al-fatihah…

Sumber: soscili

 

Baca: “The best PM we never had” – Kenali Tun Dr. Ismail, Tokoh Luar Biasa Yang Hampir Jadi Perdana Menteri Malaysia

Screenshot 2023 08 30 At 3.57.45 Pm

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.