Manusia mana je yang suka kalau pasangan mereka main kayu tiga. Kadangkala boleh bergaduh bila ada yang berani-berani menyebut atau bergurau mengenai isu ini.
Namun begitu, lain pula ceritanya dengan seorang wanita Thailand ini yang dengan rela hati mencarikan sendiri perempuan simpanan untuk suaminya. Lagi mengejutkan, bukan seorang tau yang dicari, tapi sampai tiga orang!
Sumber melaporkan, wanita yang dikenali sebagai Phatteema, 44, pertama kali memuat naik usahanya mencari perempuan simpanan untuk suaminya menerusi laman sosial TikTok. Percaya dirinya adalah isteri yang tidak baik, selalu penat dan tidak dapat memuaskan suaminya, Phatteema berharap perempuan simpanan itu mampu menggembirakan suaminya.
Tidak cukup dengan itu, Phatteema turut menawarkan gaji bulanan berjumlah 15,000 baht (RM1,855) kepada mana-mana wanita yang mahu menjadi perempuan simpanan suaminya.

“Saya nak cari tiga orang perempuan simpanan untuk suami. Perempuan itu mestilah berusia antara 30 hingga 35 tahun dan sudah tamat sekolah tinggi atau mempunyai ijazah Sarjana Muda.
Calon yang berjaya akan dibayar sekurang-kurangnya 15,000 baht sebulan selain diberi makanan dan penginapan secara percuma,” jelas Phatteema.
Menerusi perkongsian Phatteema lagi, tujuan dia mahu mencari sehingga tiga orang perempuan simpanan buat suaminya adalah supaya dua daripadanya mampu membantu Phatteema dengan kerja-kerja dokumen di pejabat, manakala seorang lagi pula perlu menjaga kebajikan dirinya, suami dan anak mereka.
“Saya jamin takkan ada pergaduhan antara saya dan perempuan simpanan yang dipilih. Saya sendiri benarkan suami untuk pilih siapa yang dia mahu bersama. Tiada jadual tapi perempuan simpanan perlu jalani ujian kesihatan untuk pastikan mereka bebas HIV,” tulisnya lagi.
Permohonan dah ditutup!
Walau bagaimanapun, sumber melaporkan, Phatteema sudah memadam perkongsiannya mencari perempuan simpanan untuk suami di TikTok susulan sudah menemukan seorang wanita yang sesuai.
Difahamkan, wanita yang juga dipercayai adalah rakan baik Phatteema sendiri merupakan satu-satunya individu yang terpilih untuk dijadikan perempuan simpanan suaminya.
Sumber: Thaiger
Baca: “Ada quota kosong tak?” – Perempuan Simpanan Taikun Dapat RM 158 Juta Sebagai ‘Break up fee’