Pada hujung tahun, kebiasaannya majikan akan melakukan penilaian prestasi ke atas pekerja mereka. Penilaian ini bertujuan untuk melihat prestasi kerja para pekerja, di samping bertujuan untuk menaikkan pangkat dan gaji mereka yang layak.
Namun dalam sesetengah situasi, wujudnya mereka yang tidak pernah merasa kenaikan gaji meskipun sudah bekerja di syarikat yang sama selama 5 tahun. Lebih menyedihkan, individu yang berada di dalam situasi ini kebanyakannya bekerja dengan bagus serta tidak pernah lewat datang ke pejabat.
Apa logik di sebalik majikan yang tidak mahu menaikkan gaji pekerja yang setia dan pandai dalam bidang mereka? Sebenarnya, ada beberapa perkara yang boleh menyumpang kepada situasi di atas.
Berikut adalah 5 sebab mengapa gaji seseorang itu meningkat:
1. Pekerja kurang produktif
Pernah tak anda dengar kisah pekerja yang sengaja masuk lambat kerja kerana mahu bersarapan dahulu. Kemudian pekerja yang sama ini juga sering bermain telefon semasa bekerja sehingga membuatkan kerjanya tidak efisyen.
Pekerja yang tidak produktif ini mungkin beranggapan aktivitinya itu tidak disedari oleh pihak atasan. Namun lambat laun, sikap tidak produktif individu ini pasti boleh dihidu oleh majikan. Sekaligus, memberi kesan kepada penilaian prestasi yang akan dilakukan kelak.
2. Hanya buat kerja rutin
Hari-hari buat kerja sama. Jika anda memang dibayar untuk melakukan pekerjaan yang berulang dan tidak sukar, berkemungkinan besar anda akan sukar untuk mendapat kenaikan gaji.
Namun, jika pekerjaan anda sememangnya memerlukan inovasi serta idea baru, ini akan menampakkan anda sebagai seorang pekerja yang boleh menyumbang kepada syarikat. Pekerja seperti ini selalunya tidak mempunyai masalah untuk dinaikkan gaji serta pangkat.
3. Bukan aset syarikat
Cuba bayangkan, mengapa syarikat perlu membayar anda lebih mahal berbanding pekerja lain sedangkan ada 10 pekerja yang melakukan tugasan sama seperti anda?
Apa yang cuba disampaikan di sini adalah anda perlu menjadi orang penting di dalam syarikat – di mana majikan berfikir dia akan berada di dalam kesusahan jika anda berhenti bekerja di situ.
4. Pekerja tak pernah minta naik gaji
Alasan ini mungkin kedengaran tidak logik, tapi ada majikan yang tidak memberi kenaikan gaji kerana dia beranggapan gaji yang diberikan adalah tinggi dan mencukupi.
Meminta kenaikan gaji bukan satu hal yang sensitif. Kata orang, malu biar bertempat. Jika anda berpeluang untuk meminta kenaikan gaji kepada majikan, sertakan sekali sebab mengapa mereka perlu berbuat sedemikian. Mungkin anda boleh senaraikan pencapaian yang pernah dilakukan pada tahun tersebut.
5. Majikan tiada polisi
Syarikat-syarikat besar kebiasannya mempunyai pangkat dalam sesebuah organisasi. Sebagai contoh, junior executive, senior executive, assistant manager dan manager. Berdasarkan senarai tersebut, kita boleh lihat setiap posisi mempunyai tahap senioriti dan tanggungjawab yang berbeza.
Jika anda nampak majikan seperti tiada sinar untuk memberi kenaikan gaji, seeloknya anda berbincang dengan mereka tentang isu ini. Selamat mencuba!
Kredit: Majalah Labur
BACA: Tak Reti Buat Resume? Guna 5 Laman Web Ini Dengan Hanya Isi Tempat Kosong