in

D.B. Cooper: Kisah Lelaki Misteri ‘Hijack’ Kapal Terbang & Berjaya Bawa Lari Wang Berjumlah 200K

Collage 39

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Lebih 50 tahun yang lalu, seorang lelaki misteri yang dikenali sebagai Dan Cooper atau D.B. Cooper, telah melakukan rompakan yang paling dahsyat dalam sejarah.

Mana tidaknya, dalam masa beberapa jam, dia telah berjaya merampas sebuah kapal terbang, mencuri wang berjumlah US$200,000 dan melarikan diri menggunakan payung terjun dan tak pernah ditemui lagi sehingga ke hari ini.


Sampai sekarang, penyiasat masih tak tahu identiti sebenar D.B. Cooper, macam mana dia boleh berjaya buat rompakan tu dan melepaskan diri. Walaupun dorang ada lakaran wajah yang jelas tentang lelaki misteri itu dan sampel DNAnya, masih banyak lagi persoalan yang tak terjawab.

Siapa D.B. Cooper? Mana D.B. Cooper? Dia terselamat ke dari terjunan? Kalau korang nak tahu kisah lelaki misteri ni, jom baca dekat bawah ni!

Artikel berkaitan: Rompakan Paling Berani! Kisah Geng Mamak Rompak Jongkong Emas RM12 Juta Dari Subang Airport

Artikel berkaitan: “Macam CSI!” – Polis China Guna Darah Dari Nyamuk, Berjaya Selesaikan 4 Kes Rompakan Serentak

Rompakan Penerbangan 305 oleh D.B. Cooper

Db Cooper Sketch

Pada 24 November 1971, seorang lelaki yang menggunakan nama sebagai Dan Cooper telah membeli satu tiket penerbangan sehala dari Portland ke Seattle berharga US$20. Dia telah menaiki Penerbangan Northwest Orient Airlines 305 dan duduk di kerusi bernombor 18C.

Biasanya, penerbangan dari Portland ke Seattle hanya mengambil masa selama 30 minit dan pada awalnya tak ada petanda yang ia akan menjadi penerbangan yang diingati sehingga ke hari ini.

Dan Cooper kelihatan seperti penumpang biasa. Dia memakai kemeja putih, bertali leher berwarna hitam dan memegang briefcase menunjukkan dia seperti seorang ahli perniagaan. Seperti kebanyakan penerbangan lain pada era tersebut, Dan kemudiannya telah menyalakan rokoknya dan memesan minuman campuran bourbon dan soda.

Penampilan lelaki ini memang tidak menonjol langsung, malah penerangan dari fail FBI juga hanya mengatakan lelaki tersebut seorang individu berkulit putih dengan ketinggian 6’1″, berusia pertengahan 40-an, bermata coklat, berambut hitam dengan rambut pendek yang disikat ke kiri.

Db Cooper Wanted Poster

Selepas kapal terbang tersebut berlepas, Dan telah memanggil seorang pramugari bernama Florence Schaffner. Dia memberikan wanita itu sekeping kertas sambil bergurau senda dengan pramugari tersebut. Disebabkan ini, wanita tersebut menyangka bahawa kertas tersebut hanyalah nombor telefon penumpang itu dan memasukkannya ke dalam poket.

Tindakan Florence ini telah membuatkan Dan berbisik kepadanya:

Cik, baik awak tengok nota tu. Saya ada bom.”

Florence kemudiannya telah membuka nota yang diterimanya itu dan membaca satu kenyataan yang menakutkan.

SAYA ADA BOM DALAM BRIEFCASE NI DAN SAYA NAK AWAK DUDUK SEBELAH SAYA.”

Florence dengan berat hati telah duduk di kerusi bersebelahan Dan dan meminta lelaki itu menunjukkan bom yang dikatakan itu. Dengan tenang, Dan telah membuka beg bimbitnya dan didalamnya, pramugari ini melihat wayar yang berselirat, bateri dan sesuatu berwarna merah yang kelihatan seperti dinamit.

Saya nak wang tunai berjumlah US$200,000 pada jam 5 petang. Letakkan wang tersebut dalam beg galas dan saya mahu dua payung terjun belakang dan dua payung terjun depan. Bila kita mendarat, saya nak trak minyak bersedia untuk isi minyak. Jangan buat perkara yang bukan-bukan, kalau tak, saya akan letupkan bom ini.”

Selepas mendapat arahan dari Dan, Florence telah pergi memberitahu juruterbang. Sementara itu, penumpang-penumpang lain tak tahu tentang bahaya yang sedang menanti mereka. Salah seorang penumpang, Bill Mitchell yang duduk di lorong bertentangan dari Dan mengatakan yang dia ingat juruterbang membuat pengumuman mengatakan bahawa mereka sedang mengalami masalah enjin dan perlu membuat beberapa pusingan untuk membuang minyak.

Juruterbang tersebut kemudiannya telah mengajak penumpang-penumpang untuk duduk di bahagian depan pesawat namun Bill memilih untuk duduk di tempatnya dan turut mengatakan dia sempat rasa cemburu kerana pramugari telah memberikan layanan yang banyak terhadap Dan.

Walaupun tak sedar dengan bahaya yang sedang berlaku, Bill berjaya memberikan lakaran wajah yang baik kepada pihak FBI. Selain pramugari-pramugari, tak ada penumpang lain yang dapat lakukan perkara yang sama.

Macam mana D.B. Cooper lepaskan diri?

Northwest Airlines Plane 768X278 1

Ketika kapal terbang sedang berpusing di udara selama dua jam, pihak berkuasa yang mendapat maklumat mengenai rampasan tersebut sedang bertungkus lumus untuk menunaikan permintaan Dan.

Kapal terbang tersebut kemudiannya telah mendarat di Seattle pada jam 5.39 petang dan salah seorang krew penerbangan telah memberikan Dan wang dan payung terjun yang dimintanya.

Dua payung terjun tersebut telah disediakan oleh McChord Air Force Base. Selepas menerima payung terjun tersebut, Dan meminta dua lagi payung terjun mungkin kerana payung terjun pertama yang diterimanya itu tak boleh digunakan untuk misi melepaskan diri ekoran ia hanya akan terbuka selepas melakukan terjunan sejauh 200 kaki.

Payung terjun kedua yang diterimanya merupakan payung terjun sukan yang diambil dari padang terjun udara berhampiran. Payung terjun ini membenarkan seseorang itu untuk melakukan terjunan sejauh beberapa ribu kaki sebelum ia terbuka.

Ketika itu, Dan telah pun melepaskan seramai 36 penumpang dan dua krew penerbangan termasuk Florence Schaffner. Dan kemudiannya meminta juruterbang untuk menerbangkannya ke Bandar Mexico. Ekoran kapal terbang tersebut tak boleh nak terbang sejauh itu, Dan bersetuju untuk membenarkan juruterbang berhenti isi minyak di Reno.

Sebelum berlepas, Dan telah memberikan beberapa permintaan khusus untuk penerbangan tersebut. Antaranya, mereka perlu melakukan penerbangan di bawah 10,000 kaki dengan kepak sayap dibuka pada 15 darjah, kelajuan perlu lebih perlahan dari 200 knot dan pintu belakang dibiarkan sentiasa terbuka.

Ketika kapal terbang berlepas pada jam 7.40 malam, beberapa jet tentera udara telah mengikut penerbangan tersebut dari jarak selamat. Dan kemudiannya menyuruh kru kapal yang tinggal untuk masuk ke dalam kokpit apabila suhu menjadi sejuk ekoran pintu terbuka. Empat kru yang berada di dalam pesawat tersebut mengatakan bahawa suhu pada ketika itu telah turun bawah sifar.

Kemudian, pada jam 8 malam, satu lampu amaran telah dinyalakan di dalam kokpit untuk memberitahu mereka bahawa tangga udara di belakang telah diturunkan. 15 minit kemudian, kru kapal menyedari terdapat pergerakan di bahagian belakang kapal terbang namun mereka telah berpelukan antara satu sama lain untuk mengurangkan rasa sejuk selama dua jam.

Apabila kapal terbang ini mendarat di Reno pada jam 10.15 malam, ia terus diserbu oleh pihak polis dan FBI. Mereka telah masuk ke dalam kapal terbang dan membuat pencarian dari depan hingga belakang.

Namun begitu, mereka tak dapat mencari D.B. Cooper mahupun wang tebusan berjumlah US$200,000 itu. Pihak berkuasa percaya bahawa lelaki tersebut tak dapat melarikan diri tanpa dikesan selepas kapal terbang tersebut mendarat.

D.B. Cooper telah meninggalkan dua payung terjun, tali leher, dan misteri.

Siapa D.B. Cooper?

Db Cooper Tie 768X616 1

D.B. Cooper lesap begitu sahaja sehinggakan pihak berkuasa turut hairan. Mana tidaknya, tak ada seorang pun tentera yang menaiki jet melihat lelaki itu keluar dari kapal terbang. Namun, pihak FBI yakin mereka boleh mengesan lelaki tersebut kerana telah memiliki namanya, lakaran wajah dan beberapa butiran khusus tentang penjenayah itu.

Tapi realitinya, pihak berkuasa tak mempunyai banyak maklumat yang mereka sangka. Malah, mereka dapat tahu yang Dan Cooper bukan nama sebenarnya. Lebih mengelirukan, media telah melaporkan nama lelaki misteri tersebut sebagai D.B. Cooper dan nama tersebut kekal digunakan sehingga sekarang.

FBI kemudiannya telah melaksanakan siasatan NORJAK iaitu singkatan kepada Northwest Hijacking. Mereka kemudiannya telah menerima banyak tip dari orang awam. Ejen yang mengetuai siasatan ini, Ralph Himmelsbach mengatakan yang mereka mempunyai senarai suspek yang sangat panjang.

Tapi selepas lima tahun, pihak FBI menemui jalan buntu. Selepas menyiasat lebih 800 suspek, hanya dua dozen sahaja boleh dianggap sebagai suspek sebenar. Pada tahun 2011, fail FBI telah pun berukuran setebal 40 kaki tapi masih tiada jawapan.

Sementara itu, kejayaan D.B. Cooper ini telah pun tersebar dan menjadi inspirasi lagu, filem, buku dan macam-macam lagi.

Beberapa suspek turut muncul selama siasatan ini, tapi tak seorang pun dari mereka telah didakwa. Lima bulan selepas D.B. Cooper menghilangkan diri, seorang lelaki bernama Richard McCoy telah melakukan perkara yang sama dan terjun dari kapal terbang di Utah dengan wang tebusan sebanyak US$500,000.

Richard kemudiannya ditahan dan dijatuhkan hukum penjara selama 45 tahun. Walaupun pada awalnya dia dianggap sebagai suspek NORJAK, pihak berkuasa telah menggugurkan dakwaan itu selepas rupanya tidak menyamai lakaran yang diberikan oleh saksi.

Salah seorang suspek lain adalah Robert Rackstraw. Dia merupakan seorang bekas pasukan khas payung terjun. Jadi tak hairanlah kalau Robert mempunyai kepandaian untuk terselamat selepas terjun dari kapal terbang dalam keadaan yang gelap.

Namun begitu, dia turut dibebaskan pada tahun 1979 namun ramai yang menganggap lelaki ini merupakan orangnya.

Db Cooper Rick Rackstraw 768X438 1

Seorang pembikin filem, Thomas Colbert yang telah menyiasat kes ini secara persendirian percaya bahawa terdapat beberapa bukti yang mengaitkan Robert dengan jenayah tersebut. Katanya, bukti tersebut boleh dilihat dari beberapa pucuk surat yang ditulis oleh D.B. Cooper selepas rompakan tersebut. Thomas juga percaya bahawa FBI telah bersubahat untuk menyembunyikan bahawa Robert adalah penjenayah tersebut ekoran lelaki itu mempunyai kaitan dengan CIA.

Kemudian pada tahun 1980, seorang kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun yang sedang berkhemah berhampiran Portland telah menemui wang kertas lusuh berjumlah US$5,880. Nombor siri pada wang kertas tersebut sama dengan wang tebusan yang diberikan kepada D.B. Cooper sembilan tahun sebelum itu. Sehingga hari ini, wang tersebut merupakan satu-satunya bukti yang ditemui di luar kapal terbang.

Db Cooper Ransom Money 768X505 1

Pada tahun 2001, FBI sekali lagi menyingkirkan seorang suspek, Duane Weber yang mendakwa dirinya merupakan D.B. Cooper ketika sedang nazak. Tindakan ini dibuat selepas sampel DNA yang diambil dari tali leher tak sama dengan Duane.

Tahun 2016, FBI membuat pengumuman yang mereka akan hentikan siasatan NORJAK dan memberi laluan kepada siasatan lain yang lebih penting.

Sumber: ati

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.