in

“Cinta tak semestinya bersama” – 7 Kisah Percintaan Tragik Selebriti Hollywood

Collage 47

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Hampir semua orang pernah patah hati kerana cinta. Ia merupakan pengalaman yang menyakitkan dan pada masa yang sama turut menjadikan kita lebih kuat. Selebriti sering dianggap memiliki semua benda seperti populariti dan kemewahan, namun dorang juga tetap perlu melalui kisah cinta yang berakhir dengan tragik. Tak cukup dengan itu, penderitaan yang dorang lalui juga turut menjadi tatapan umum.

Jadi untuk artikel kali ini, kita akan tengok beberapa percintaan selebriti yang mendedahkan penderitaan yang dorang perlu alami di sebalik populariti mereka. Jom!


1. Marilyn Monroe dan Joe DiMaggio

Cinta

Hubungan di antara Marilyn Monroe dan Joe DiMaggio merupakan salah satu percintaan paling ikonik dan tragik dalam sejarah Hollywood. Macam yang korang tahu, Marilyn merupakan simbol kecantikan dan seksualiti manakala Joe merupakan pemain lagenda bola lisut yang disanjungi kerana bakatnya. Mereka dianggap sebagai couple goals bila mereka telah berkahwin pada 1954, tapi realitinya…

Populariti Marilyn dan kecaman yang diterima dari orang ramai dan media telah membuatkan hubungan pasangan ini tegang. Joe yang sukakan privasi sukar untuk menerima imej isterinya sebagai simbol seks dan perhatian yang diterima dari lelaki.

Rasa cemburu dicampur dengan emosi Marilyn yang tak menentu dan kurang keyakinan diri telah menyebabkan pasangan ini bercerai hanya selepas sembilan bulan berkahwin. Pun begitu, cinta Joe untuk Marilyn tak pernah pudar.

Selepas kematian Marilyn pada 1962, Joe telah mengatur supaya bunga mawar segar diletakkan di kubur Marilyn dua minggu sekali selama 20 tahun.

2. Heath Ledger dan Michelle Williams

Dmpm5Ahx4Aijbwu.jpg Large

Heath Ledger dan Michelle Williams berjumpa ketika mereka menjalani penggambaran Brokeback Mountain pada tahun 2004. Keserasian mereka sebagai pasangan di dalam filem ini turut diteruskan selepas penggambaran.

Heath dan Michelle telah menjadi pasangan paling disayangi di Hollywood dan mereka telah menimang cahaya mata perempuan, Matilda pada tahun 2005. Bagi orang-orang luar, mereka dilihat sebagai pasangan dan keluarga bahagia.

Tapi di kehidupan disebalik tirai, Heath telah bertarung dengan dirinya sendiri termasuk mempunyai insomnia yang teruk sehingga perlu bergantung kepada perubatan. Tekanan dari populariti disertai dengan pertarungan dalaman Heath telah menegangkan hubungan mereka sehingga mereka berpisah pada tahun 2007.

Beberapa bulan kemudian, Heath telah meninggal dunia selepas overdose secara tak sengaja pada Januari 2008 meninggalkan Michelle membesarkan anak mereka sendirian. Dalam beberapa temubual, Michelle telah mengatakan tentang kedukaan dan kesedihan yang dialaminya serta cabaran untuk meneruskan hidup tanpa lelaki yang dia anggap akan menjadi teman sehidup sematinya.

3. Elizabeth Taylor dan Richard Burton

3D6A5C3C6F14021670839620E2B4A412

Elizabeth Taylor dan Richard Burton merupakan salah satu pasangan Hollywood yang paling kontroversi. Mereka telah bertemu di set Cleopatra pada tahun 1963. Ketika bertemu, mereka berdua telah pun berkahwin dengan orang lain, namun keserasian mereka tak dapat dinafikan.

Skandal percintaan mereka telah menjadi subjek sensasi media sehingga mereka berdua menceraikan pasangan dan berkahwin dengan satu sama lain pada 1964.

Perkahwinan mereka ini dipenuhi dengan keghairahan, cemburu, pergaduhan dan kecenderungan mereka untuk mencederakan diri sendiri. Mereka kemudiannya telah bercerai pada 1974 namun berkahwin semula pada 1975 dan bercerai sekali lagi pada 1976.

Walaupun mempunyai hubungan yang turun naik, Elizabeth dan Richard tetap cintakan satu sama lain. Apabila Richard meninggal dunia pada 1984, Elizabeth yang sedih dengan pemergian bekas suaminya ini mengatakan bahawa Richard adalah cinta paling agung dalam hidupnya.

Artikel berkaitan: Ini 5 Selebriti Yang Pernah Jadi ‘Penyondol’ Laki Orang!

4. Amy Winehouse dan Blake Fielder-Civil

Amy Winehouse Blake Fielder Mc 240513 01 Cc3164

Amy Winehouse dan Blake Fielder-Civil telah berkahwin pada tahun 2007 namun perkahwinan mereka dicalarkan dengan penggunaan dadah dan alkohol, sering ditangkap polis dan bergaduh di tempat awam. Blake sering dituduh memperkenalkan Amy kepada dadah yang menyebabkan kejatuhannya.

Percintaan mereka terlalu toksik namun perasaan cinta Amy terhadap Blake tetap kuat dan sering disebut di dalam lagunya. Lagu popular Back to Black mencerminkan hubungan mereka yang penuh rasa cinta dan kesakitan.

Hubungan mereka telah berakhir dengan penceraian pada 2009 dan ketagihan Amy dah tak boleh dikawal sehingga penyanyi ini keracunan alkohol pada 2011 di usia 27 tahun. Pengakhiran tragik Amy sering dikaitkan dengan hubungannya dengan Blake dan dijadikan contoh bagaimana cinta dan ketagihan boleh merosakkan sesuatu hubungan.

5. Kurt Cobain dan Courtney Love

A8Dae4970E954D1C9C1895C9A2D10C2F Md.jpg

Kurt Cobain dan Courtney Love telah menjadi pasangan ikonik dalam dunia rock-and-roll. Mereka berdua telah bertemu pada awal 1990-an dan berkahwin pada 1992 iaitu tahun yang sama anak mereka, Frances Bean dilahirkan.

Hubungan pasangan ini dipenuhi dengan dadah, kritikan dari media dan ketidakstabilan emosi sama ada secara individu mahu pun sebagai pasangan. Pertarungan Kurt dan Courtney terhadap ketagihan terhadap heroin dan tingkah laku mereka yang tidak terkawal sering menjadi subjek media.

Kurt yang sering bertarung dengan populariti dan tekanan telah membunuh diri pada 1994 meninggalkan Courtney mengharungi hidup seorang diri.

Artikel berkaitan: “Hampir bertumbuk belakang pentas” – Nirvana Vs Guns N’ Roses, Kisah Krisis 2 Band Rock Lagenda Ini Sebelum Kurt Mati

6. Matthew Perry dan Julia Roberts

Julia And Matthew Met On Set Of Friends And Dated From 95 V0

Pada pertengahan 1990-an, Matthew Perry dan Julia Roberts telah menjalin hubungan yang singkat namun diingati ramai. Mereka telah bertemu apabila Julia menjadi tetamu jemputan di dalam Friends untuk satu episod istimewa. Keserasian mereka di dalam sitkom tersebut telah membuat mereka meneruskan perhubungan mereka.

Pada ketika itu, Julia merupakan bintang terbesar di Hollywood dan populariti Matthew pula meningkat naik dengan pantas melalui wataknya sebagai Chandler Bing. Namun begitu, Matthew pada ketika itu sedang bertarung dengan keyakinannya dan ketagihannya terhadap ubat tahan sakit.

Matthew kemudiannya telah mendedahkan dalam memoir yang dikeluarkan tak lama sebelum dia meninggal dunia tahun lalu tentang perasaannya yang sentiasa rasa dirinya tak cukup dan takut ditinggalkan oleh Julia. Rasa seperti tak layak bersama Julia dan dan kesukaran untuk kekal bebas dari dadah menyebabkan dia telah memutuskan hubungan ini walaupun terlalu cintakan Julia.

Namun begitu, Matthew mengatakan yang dia menyesal dengan keputusannya itu dan sedar yang isu-isu yang dialaminya telah menghalang dia dari meneruskan perhubungan yang mungkin boleh menjadi satu cinta yang agung dalam hidupnya.

7. Liam Neeson dan Natasha Richardson

Mk Natasha Richardson And Liam Neeson 1280 X 720 Hero 1 Image.jpg

Kisah cinta Liam Neeson dan Natasha Richardson penuh dengan kasih sayang yang mendalam dan saling menghormati antara satu sama lain. Ini menyebabkan kisah cinta yang berakhir dengan tragik ini menjadi lebih menyedihkan.

Pasangan ini telah bertemu di pentas Broadway pada awal 1990-an dan berkahwin pada 1994. Mereka mempunyai perkahwinan yang bahagia dan stabil serta turut membesarkan dua anak lelaki mereka bersama sambil meneruskan kerjaya sebagai pelakon berjaya.

Tapi, pada tahun 2009 satu tragedi telah berlaku apabila Natasha telah mengalami kecederaan parah di kepala ketika meluncur di Quebec. Pada awalnya, kecederaan yang dialami Natasha ini kelihatan kecil tapi keadaannya menjadi makin teruk dengan cepat sehingga dia perlu ditanggalkan dari mesin sokongan hidup beberapa hari kemudian.

Kematian isteri tercinta ini telah mengecewakan Liam dan lelaki ini sentiasa bercakap tentang kedukaan yang dialaminya sejak Natasha meninggal dunia.

Sumber: WatchMojo

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.