Seorang bekas ahli perniagaan Malaysia yang telah didapati bersalah terlibat dalam salah satu skandal rasuah terbesar Tentera Laut US kini sedang melarikan diri selepas berjaya melepaskan diri dari tahanan rumah.
CBS8 melaporkan, Leonard Glenn Francis yang juga dikenali sebagai “Fat Leonard” didapati telah memotong gelang pantauan GPS pada pagi semalam.
Pihak polis San Diego telah diminta untuk membuat pemeriksaan kebajikan ke atas Leonard sebelum mendapati lelaki ini tiada di rumah.
Ahli perniagaan yang berasal dari Pulau Pinang yang pernah mengendalikan firma kontrak tentera Glenn Defense Marine Asia dari Singapura ini telah ditahan di San Diego pada 2013 ketika operasi persekutuan.
Syarikatnya telah berkhidmat untuk melawat kapal Tentera Laut US di pelabuhan yang dikawalnya di seluruh Asia Tenggara. Leonard telah didapati bersalah merasuah pegawai Tentera Laut US untuk mendapatkan pengaruh dan akses kepada risikan tentera bagi membolehkan dia mendapat kontrak berjuta-juta dollar.
Leonard mengaku bersalah pada tahun 2015 atas tuduhan-tuduhan terhadapnya termasuk menipu tentera laut sekurang-kurangnya USD35 juta sebelum dipenjarakan.
Dia kemudiannya dibebaskan dari penjara pada 2018 dan perlu menjalani tahanan rumah ekoran beberapa masalah kesihatan yang dihadapinya termasuk kanser buah pinggang.
Lelaki ini juga turut bekerja sebagai saksi yang bekerjasama dengan pendakwa raya persekutuan bagi membina beberapa kes terhadap individu lain yang terlibat dalam skim ini termasuk beberapa pegawai tentera berpangkat tinggi.
Ekoran kerjasama yang diberikan ini, tarikh hukuman yang bakal dijatuhkan ke atasnya telah ditangguhkan untuk beberapa tahun bagi membenarkan lelaki ini membantu pendakwa raya bersiap sedia menjadi saksi utama melibatkan lima pegawai tentera laut.
Untuk pengetahuan korang, Leonard melarikan diri selepas mahkamah menetapkan hukuman bakal dijatuhkan ke atasnya pada 22 September nanti.
Baca: “Duit juta-juta nak buat lapik jenazah? Nak rasuah malaikat Munkar dan Nakir?” – Datuk Ayob Khan