Heboh minggu lepas apabila seorang wanita berusia 21 tahun dibunuh dengan kejam oleh teman lelakinya gara-gara ingin menyembunyikan kehamilan.
Hari ini, pemuda yang berusia 20 tahun itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Besar atas pertuduhan membunuh teman wanitanya yang hamil.
Menurut laporan Kosmo!, tiada sebarang pengakuan yang direkodkan daripada pemuda itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Hajar Ali.
Dalam pertuduhan berkenaan, tertuduh didakwa membunuh wanita berusia 21 tahun yang juga teman wanitanya di Jalan Benteng Laut, Jalan Sungai Limau, antara 8.30 malam 22 Mei lalu hingga 8 pagi 23 Mei lalu.
Difahamkan, dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Selain itu, peguam Khairul Anuar Kashim dan Muhammad Nor Tamrin yang mewakili tertuduh memohon kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi secepat mungkin. Siti Hajar kemudian menetapkan sebutan semula pengurusan kes pada 3 Ogos depan.
Sebagai info, hasil bedah siasat ke atas mangsa mendapati punca kematian disebabkan luka tikaman di dada pada badan yang melecur.
Baca: Ingin Sorokkan Kehamilan, Wanita Dibunuh Kejam Oleh Kekasih