Jenama terkenal, Ralph Lauren kini berdepan kontroversi selepas mereka dituduh meniru rekaan seorang pereka fesyen kelahiran Malaysia, Datuk Zang Toi. Tuduhan terbabit muncul selepas penyanyi, Alicia Keys menggayakan busana mantel berwarna hitam yang memaparkan rekaan bandar New York semasa Met Gala baru-baru ini.
Memetik laporan New York Post, rekaan Zang Toi memaparkan mantel sutera putih yang panjang mencecah lantai dan mempunyai rekaan bangunan pencakar langit di New York berwarna hitam. Manakala, rekaan Ralph Lauren pula memaparkan martel berwarna hitam dan mempunyai rekaan pencakar langit New York berwarna putih.
Mengulas mengenai kontroversi yang membabitkan dirinya, anak kelahiran Kuala Krai, Kelantan itu tidak melenting, malah mengambil insiden terbabit sebagai satu pujian buat dirinya kerana jenama fesyen terkenal perasan kehadirannya.
“Saya anggap ia sebagai satu pujian. Ia sebagai satu bukti kerja keras yang saya lakukan berbaloi sehingga ada yang menganggap ia layak untuk ditiru,” katanya.
Untuk pengetahuan, idea disebalik mantel itu sudah wujud sejak tahun 2009 lagi sebelum ia direalisasikan untuk Minggu Fesyen New York 2020. Jelas Zang Toi, mantel itu diinspirasikan daripada perasaan cintanya pada New York yang sudah dianggap sebagai rumah angkat.
Sementara itu, Zang Toi mendedahkan, ini bukanlah kali pertama Ralph Lauren dituduh meniru rekaannya. Ini juga bukanlah pertama kali jenama terkenal ini terpalit kontroversi memplagiat kerana pada tahun 1994, Ralph Lauren telah diarahkan membayar $350,000 kepada jenama Yves Saint Laurent kerana meniru salah satu rekaan mereka.
Setakat ini, Ralph Lauren masih belum mengulas dakwaan ini.
Sumber: New York Post
Baca: Jenama Vivy Yusof, dUck Sekali Lagi Dituduh Plagiat Jenama Tudung Instant Terkenal, Bokitta