Dulu ia hanya dianggap sebagai sebuah tarian moden dan dilakukan hanya sekadar satu hobi. Namun kini tarian breakdance diiktiraf oleh pihak Olimpik sebagai satu sukan yang bakal dipertandingkan di Paris pada tahun 2024 yang akan datang.
Wow, berita gembira buat b-boys dan b-girls sekalian.
Memetik laporan The Guardian, perkara ini telah pun disahkan sendiri oleh Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (IOC) pada hari Isnin yang lalu sebagai sebahagian daripada rancangan yang dikemukakan oleh presidennya sendiri, Thomas Bach.
Seimbang dari jantina, lebih ‘muda’ dan ‘urban’
Menurutnya, matlamat utama pengiktirafan ini adalah untuk menjadikan sukan-sukan yang bakal dipertandingkan dalam Olimpik yang akan datang adalah lebih seimbang dari segi jantina para pesertanya, dianggap lebih ‘muda’ dan ‘urban’ buat para penonton.
Bukan setakat itu sahaja, sukan luncur air, luncur papan dan mendaki yang menjadi sebahagian daripada sukan Olimpik Tokyo yang bakal berlangsung tahun depan juga turut disertakan sekali dalam Olimpik Paris 2024.
Kumpulan jalanan ‘bertarung’ rebut kawasan
Untuk pengetahuan korang, breakdancing atau dikenali sebagai ‘breaking’ ini merupakan satu tarian yang telah berkembang sejak tahun 1960-an sehingga 1970-an di New York sebagai cara kumpulan-kumpulan jalanan di sana ‘bertarung’ untuk merebut kawasan.
Ia pertama kali dipertandingkan semasa sukan Summer Youth di Buenos Aires pada tahun 2018 yang lalu dan disebabkan berjaya meraih satu percubaan yang positif dalam kalangan peminat sukan, maka kini breakdance bakal dipertandingkan pula dalam sukan Olimpik yang sebenar.
16 orang b-boys & b-girls bakal bertanding
Olimpik 2024 di Paris bakal menyaksikan seramai 16 orang ahli b-boys dan b-girls yang akan bersaing dalam ‘pertempuran’ satu lawan satu dan penganjur berharap agar sukan tersebut dapat menarik lebih ramai penonton dari golongan muda untuk menyaksikan sukan Olimpik.
Walaupun memperoleh penerimaan yang positif dalam kalangan peminat sukan, namun masih terdapat juga individu yang tidak bersetuju dengan keputusan tersebut.
Anggap sebagai jenaka
Antaranya ialah atlet terkenal dalam sukan skuasy Australia, Michelle Martin yang menganggap pengiktirafan breakdance ke dalam acara Olimpik adalah satu jenaka kerana sukan lain yang ‘sebenarnya’ seperti skuasy masih diabaikan.
Apa pula pendapat korang? Adakah breakdance ini patut diteruskan dalam Olimpik atau kekal sebagai satu ‘tarian’ moden sahaja?
Baca: “Amboi, sekali pandang macam Tinder” – Netizen ‘Troll’ Logo Sukan Olimpik 2024 Paris