Tidak salah kita hendak memberikan makanan kepada golongan gelandangan, namun sebuah video yang memaparkan 3 orang lelaki ini telah mencetuskan kemarahan pengguna di media sosial.
Menerusi video yang dikongsikan seorang pengguna Threads, memaparkan sekumpulan lelaki yang dipercayai content creator menyatakan hasrat mereka untuk melakukan kerja amal.
Dalam rakaman itu, mereka dilihat pergi ke sebuah restoran makanan segera untuk membeli makanan.
Selepas membeli, mereka duduk makan makanan yang dipesan iaitu ayam goreng di restoran tersebut.
Usai makan, mereka berkata, sisa tulang tidak elok untuk dibazirkan dan memutuskan untuk membungkus nasi bersama sisa tulang ayam yang dimakan tadi.
Artikel berkaitan: Gelandangan Melecur Lepas Lelaki Mabuk Pedajal Bakar Tilam Masa Tidur
“Hari ini kami tak buat cabaran. Hari ini kami nak buat kebajikan! Wah, sedap gila! Tulang ni membazir kalau buang. Tak boleh bazirkan makanan.
“Kami putuskan untuk dermakan tulang ni kepada yang memerlukan,” kata mereka.
Beri sisa makanan kepada gelandangan
Disangkakan makanan yang dibungkus itu diberikan kepada haiwan, rupa-rupanya mereka bertiga pergi ke arah seorang gelandangan yang terbaring di kaki lima.
Gelandangan itu memberikan reaksi terkejut dan hanya terdiam tatkala membuka bungkusan makanan itu.
Pada penghujung video, salah seorang daripada mereka dirakam memberikan cebisan ayam kepada seekor anjing.
Gesa pihak berkuasa ambil tindakan
Tindakan ketiga-tiga lelaki ini nyata mengundang kemarahan netizen kerana dianggap telah menghina dan mempermainkan golongan susah demi konten mereka.
Susulan itu, netizen menggesa pihak berkuasa iaitu PDRM dan SKMM untuk mengambil tindakan tegas terhadap konten yang dilakukan mereka.
Netizen turut meluahkan rasa malu dan mengecam perbuatan mereka yang dianggap biadab dan memberikan contoh yang tidak baik kepada para pengikut konten mereka.
Sumber: Threads