Lagi beberapa jam sahaja kita akan membuka lembaran baru iaitu tahun 2025, pasti ramai yang sudah merangka azam tahun baru namun tahukah anda negara kita, Malaysia juga akan menyaksikan pelbagai pembaharuan yang mungkin akan memberi kesan kepada kita.
Terdapat perubahan baru dalam geopolitik, ekonomi, sosial, serta hubungan antarabangsa, selain beberapa dasar dan peraturan baharu akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2025. Jangan terlepas okay?
1. Malaysia pengerusi ASEAN
Tepat 1 Januari, Malaysia secara rasmi akan mengambil alih jawatan selaku Pengerusi ASEAN, setelah Laos menyerahkan tanggungjawab berkenaan semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 di Vientiane pada 11 Oktober lepas.
Di bawah tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada lebih 300 mesyuarat dan sidang kemuncak ASEAN sepanjang tahun, antaranya Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN di Johor (Februari), Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN dan Persidangan Pasca Menteri (AMM/PMC) di Kuala Lumpur (Julai), serta Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada Oktober.
Sebagai info, Malaysia pernah menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.
2. Penguatkuasaan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Penyedia (CASP)
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengumumkan platform media sosial diwajibkan mendaftar Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Penyedia (CASP).
Ia merupakan satu keperluan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bertujuan meningkatkan keselamatan dalam talian, melindungi pengguna khususnya kanak-kanak dan golongan rentan serta memperkukuh kawal selia terhadap penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial.
3. Kawasan larangan merokok
Berkuat kuasa 1 Januari, sebanyak 28 kawasan diwartakan sebagai tempat larangan merokok.
Ia termasuk hospital, klinik, lif atau tandas awam, tempat makan, kedai berpenyaman udara, lapangan terbang, premis kerajaan, institusi pendidikan dan banyak lagi.
Mereka yang didapati bersalah merokok atau menggunakan produk merokok di kawasan larangan itu akan dikenakan denda maksimum sebanyak RM5,000.
4. Penjaja dan peniaga berlesen wajib mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS)
Penjaja dan peniaga berlesen diwajibkan membuat caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bermula esok bagi menyediakan sokongan kewangan sekiranya berlaku bencana kerja.
Langkah mandatori itu dilaksanakan menerusi Peraturan-Peraturan Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Kadar Caruman Bagi Penjaja Atau Peniaga) 2024 yang diwartakan pada 30 Ogos melalui PU (A) 229 dan berkuat kuasa pada 1 September lepas.
Artikel berkaitan: Malaysia Setuju Teruskan Pencarian MH370 Dengan Ocean Infinity
Artikel berkaitan: Ini 10 Isu Tular Yang Menjadi Tumpuan Rakyat Malaysia Sepanjang Tahun 2024
5. Inisiatif pengangkutan awam
Berita baik buat mahasiswa di luar sana, kadar inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan FLYsiswa dinaikkan daripada RM300 kepada RM400.
Ia dijangka memanfaatkan kira-kira 60,000 mahasiswa yang menggunakan penerbangan bagi laluan domestik. Mahasiswa boleh membuat semakan bermula esok melalui https://subsidiudara.mot.gov.my/.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pula akan melaksanakan bayaran tanpa tunai sepenuhnya bagi pembelian tiket di sektor Lembah Klang, Utara dan Selatan serta Pantai Timur untuk menyokong inisiatif ekonomi digital negara.
6. Johor kembali cuti Sabtu dan Ahad
Johor akan kembali melaksanakan cuti hujung minggu pada Sabtu dan Ahad susulan titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail pada 7 Oktober lepas, ia mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta pandangan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
Ini menjadikan negeri yang masih melaksanakan cuti hujung minggu pada Jumaat dan Sabtu ketika ini ialah Kedah, Kelantan dan Terengganu.
7. Tun Musa Aman mula bertugas sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah Ke-11
Tun Musa Aman memulakan tugas sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah Ke-11, menggantikan Tun Juhar Mahiruddin yang tamat tempoh perkhidmatannya selepas memegang jawatan berkenaan sejak 2011.
Sultan Ibrahim berkenan menyerahkan Surat Cara Pelantikan kepada Musa, 73, yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga pada 17 Dis lepas, selain turut dikurniakan darjah kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara yang membawa gelaran Tun.
Sumber: Harian Metro