Pejam celik, pejam celik dalam beberapa hari lagi umat Islam akan menyambut bulan mulia, bulan Ramadan.
Ramadan merupakan bulan suci yang dinanti-nantikan oleh umat Islam di seluruh dunia kerana di bulan ini semua ibadah dilipat kali gandakan pahalanya.
Dalam bulan mulia ini, selain menahan lapar dan dahaga dari fajar hingga senja, ada juga beberapa tradisi unik lain yang dilakukan bagi menyambut bulan Ramadan, tradisi ini bermula daripada budaya tempatan yang digabungkan dengan nilai-nilai Islam.
Artikel berkaitan: Siswazah Malaysia Kongsi Suasana Bazar Ramadan Di India, Tidak Sekotor Macam Didakwa!
Artikel berkaitan: “Rasa bertenaga, kurang sikit mengantuk” – Ini Suplemen Yang Korang Boleh Ambil Sepanjang Ramadan
1. ‘Nyekar’ di Indonesia
Ziarah kubur atau juga dikenali sebagai nyekar menjadi kelaziman atau sudah menjadi tradisi yang sukar dipisahkan dalam kalangan masyarakat Indonesia.
Seminggu sebelum ketibaan Ramadan, umat Islam akan beramai-ramai keluar mengunjungi tanah-tanah perkuburan untuk membersihkan kubur selain memanjatkan doa serta menabur bunga dan air mawar di pusara kaum keluarga atau orang tersayang.
Difahamkan, selain daripada pusara keluarga, mereka juga mengambil kesempatan mengunjungi pusara para wali.
2. Lampu ‘Fanous’ di Mesir
Ketibaan bulan Ramadan di Mesir diraikan dengan pemasangan tanglung Ramadan atau lebih dikenali sebagai ‘Fanous’.
Menurut lagenda, masyarakat Islam Mesir menyambut ketibaan Khalifah Moezz Eddin Allah ke Kaherah pada tahun 969 dengan menyalakan ratusan lampu tanglung berwarna warni. Tradisi itu diteruskan dan menjadi sebahagian daripada sambutan Ramadan sehingga kini.
3. Permainan ‘Mheibes’ di Iraq
Selepas berbuka puasa, penduduk di Iraq berkumpul untuk bermain permainan tradisional yang dipanggil Mheibes. Permainan ini biasanya dimainkan dalam dua kumpulan, masing-masing terdiri daripada 40 hingga 250 pemain, bergilir-gilir untuk menyembunyikan Mheibes iaitu sebentuk cincin.
Permainan Mheibes bergantung pada strategi yang dimulakan dengan ketua pasukan memegang cincin dengan tangan tersembunyi di bawah selimut, manakala ahli pasukan lain duduk di atas tangan yang dilipat, dan ketua secara rahsia menyerahkan cincin kepada pemain lain. Pergerakan badan peserta mesti diperhatikan, dan pihak lawan mesti meneka siapa yang akan menerima cincin tersebut.
Seronoknya!
4. Tembakan meriam di Bosnia & Herzegovina
Di Bosnia dan Herzegovina, Ramadan dimulakan dengan ledakan meriam kuno yang diturunkan dari generasi ke generasi.
Tradisi berabad ini difahamkan juga dijadikan sebagai isyarat untuk berbuka puasa. Penduduk sering berkumpul untuk menyaksikan detik ini sambil berkelah.
Apabila meriam dilepaskan, gemuruh disambut dengan sorakan, menambahkan lagi kemeriahan bulan suci di negara Balkan tersebut.
5. Hidangan snek & aktiviti ‘Nafar’ di Maghribi
Kira-kira sepuluh hari menjelang Ramadan, orang Maghribi menyediakan makanan ringan istimewa seperti Chebakia dan Briouate, hidangan tradisi yang menjadi kegemaran semasa bulan Ramadan.
Sebelum subuh, kumpulan lelaki berpakaian tradisional, dikenali sebagai nafar, membangunkan orang ramai dengan tiupan trumpet tradisional yang juga merupakan tradisi sejak abad ketujuh.
Selain itu, pemain gendang juga berjalan mengejutkan orang ramai untuk sahur, tradisi yang juga terdapat di Turki, Jordan, Mesir, Syria, Palestin, dan pelbagai negara Timur Tengah dan Afrika Utara.
Seronok kan? Tak sabarnya nak sambut bulan Ramadan!
Sumber: tempo.co