Bulan Zulhijah menandakan bulan untuk ibadah haji, tahun ini lebih bermakna kerana ramai yang akhirnya dapat melakukan rukun Islam kelima itu selepas dua tahun tertangguh dek kerana pandemik yang melanda dunia.
Baru-baru ini, jemaah haji Malaysia dipuji kerana menonjolkan disiplin yang sangat baik dalam menjaga kebersihan ketika di tanah suci.
Menurut laporan Astro AWANI, sesetengah khemah jemaah haji Malaysia di Arafah ditinggalkan dalam keadaan yang lebih bersih berbanding sebelumnya, malah terdapat jemaah haji yang bergotong-royong menyusun kelengakapan tidur dengan lebih kemas sebelum berangkat ke Muzdalifah.
Selain itu, rata-rata jemaah membawa plastik sampah sendiri dan memastikan tiada sisa sampah sebelum bergerak ke Mina.
Menurut Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, beliau berbangga dengan sikap jemaah haji Malaysia malah dia juga berkata Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi sentiasa memuji dan menganggap jemaah Malaysia adalah contoh terbaik.
“Begitu juga ketika di Muzdalifah, jemaah haji telah memberi kerjasama terhadap program ini. Di Mina mereka akan tinggal lebih lama iaitu antara tiga ke empat hari…tempoh agak lama untuk mereka bersihkan di bilik air, kawasan dalam khemah dan lorong-lorong khemah”, katanya.
Wah, bangga betul! Semoga dapat haji yang mabrur semuanya!
Baca: Lelaki Akhirnya Tiba Di Makkah Untuk Tunaikan Haji, Selepas 11 Bulan Berjalan Kaki Dari UK