Bila bercakap pasal tempat seram, mesti dalam kepala kita terfikir tentang paranormal kan? Tapi sebenarnya, banyak je tempat-tempat seram yang tak melibatkan benda-benda ghaib ni.
Dalam artikel kali ini, kita akan tengok tempat-tempat seram seperti tasik yang dipenuhi dengan jutaan obor-obor emas, kawah dengan api yang tak pernah padam di tengah-tengah padang pasir dan gereja yang diperbuat daripada tulang-tulang manusia.
Lebih menarik, ada satu tempat di Malaysia juga turut dianggap sebagai salah satu tempat menakutkan untuk dilawati tau. Jadi, kalau korang berani, jom tengok antara tempat paling seram di dunia.
Artikel berkaitan: 4 Kisah ‘Reinkarnasi’, Kanak-Kanak Dakwa ‘Mati Hidup Semula’ Ni Memang Boleh Buat Korang Rasa Seram Sejuk!
Artikel seram: Robert The Doll: Kisah Disebalik Patung Hantu Paling Seram Yang Dikatakan Boleh Bergerak & Mencederakan Orang?
1. Nagoro, Jepun
Nagoro merupakan satu perkampungan kecil yang terletak di Jepun. Tapi apa yang istimewanya dengan tempat ini, penduduknya terdiri daripada patung-patung bersaiz manusia. Malah, nisbah patung dekat sana dengan manusia adalah 10:1 tau!
Kalau korang nak tahu, patung-patung yang ada di Nagoro ini adalah ciptaan seorang penduduk tempatan Tsukimi Ayano yang mula membuat patung replika jiran-jirannya selepas mereka meninggal dunia atau berpindah.
Patung-patung ini boleh dilihat di seluruh kampung tersebut dengan pelbagai posisi seperti nelayan duduk di pinggir sungai, pelajar-pelajar di dalam kelas, pasangan warga emas duduk berehat di bangku luar bangunan dan macam-macam lagi.
Setakat ini, terdapat 350 patung dan 27 manusia yang tinggal di Nagoro menjadikan perkampungan ini agak seram dan sunyi.
2. Hospital Beelitz-Heilstätten, Jerman
Hospital lama yang terletak di Jerman ini merupakan hospital yang pernah beroperasi di antara tahun 1898 ke 1930. Kompleks Beelitz-Heilstätten ini telah berkhidmat sebagai tempat untuk merawat penyakit batuk kering (TB).
Selain itu, hospital ini juga turut menempatkan mangsa-mangsa gas sulfur dan tembakan semasa Perang Dunia I termasuk Adolf Hitler ketika dia masih muda ekoran kecederaan di kaki.
Hospital ini kemudiannya telah menjadi pusat perubatan utama untuk askar Nazi ketika Perang Dunia II dan hospital askar soviet dari 1945 hingga kejatuhan Tembok Berlin.
Hari ini, beberapa wad hospital ini telah digunakan sebagai pusat pemulihan walaupun kebanyakan tempat di kompleks ini telah terbengkalai. Ekoran banyak tempat yang dah terbengkalai, ia memang kelihatan seperti babak dalam cerita American Horror Story.
3. Gua Gomantong, Malaysia
Gua Gomantong di Malaysia adalah keajaiban geografi yang tulen, dengan dinding batu kapur mencecah sehingga 300 kaki di beberapa tempat. Tapi apa yang menakutkan, pelawat-pelawat yang pulang dari gua ini selalu mengatakan bahawa ia merupakan pengalaman hidupan liar yang menjijikkan.
Ini kerana, Gomantong adalah rumah kepada lebih dua juta kelawar sekaligus tempat itu penuh dengan lapisan tebal tahi kelawar. Tak cukup dengan itu, ia juga dipenuhi dengan lipas yang banyak. Selain itu terdapat juga beberapa haiwan lain termasuklah ular, kala jengking, ketam dan lipan sepanjang tiga inci. Kalau ada lipas je pun min tak berani nak jejak.
4. Pintu ke Neraka, Turkemenistan
Terletak di tengah-tengah padang pasir Karakum di Turkmenistan, “Pintu ke Neraka” merupakan nama yang diberi oleh penduduk tempatan untuk menggambarkan lubang berapi sebesar 230 kaki yang tak pernah padam.
Perkara ini berlaku apabila saintis Soviet yang mula mencari minyak pada tahun 1971 telah secara tidak sengaja melanggar rizab metana hingga menyebabkan platform penggerudian runtuh, sekali gus membentuk kawah dan melepaskan gas berbahaya ke udara.
Saintis ini kemudiannya membuat keputusan untuk membakar kawah tersebut untuk membakar metana dan perkara ini telah mewujudkan anomali Dante-esque yang kekal menyala sejak 50 tahun lalu.
5. Sedlec Ossuary, Republik Czech
Sedlec Ossuary merupakan gereja kecil yang terletak di Gereja Perkuburan All Saints yang dikenali di seluruh dunia ekoran dekorasinya yang mengerikan.
Ketika awal 1300, seorang kepala biara, Biara Sedlec telah membawa balik tanah suci dari Baitulmaqdis dan menaburkannya di seluruh tanah perkuburan gereja, sehingga menyebabkan semua orang mahu dikebumikan di tanah suci itu. Tapi ekoran lebihan penduduk berlaku, mayat-mayat lama terpaksa digali semula untuk memberi ruang kepada mayat yang masih segar.
Bagi tidak “membazirkan” mayat-mayat yang telah digali, biara-biara di sana membuat keputusan untuk menggunakan tulang-tulang tersebut. Seorang pengukir kayu Czech tempatan bernama František Rint diberi tugas yang sukar untuk mengatur koleksi 40,000+ jenazah manusia dengan cantik.
Beberapa tulang telah digantung dari siling gereja dan dekorasi paling menakjubkan merupakan lampu chandelier yang mengandungi hampir kesemua tulang yang boleh ditemui pada badan manusia.
6. Tasik Obor-Obor Ongeim’l Tketau, Palau
Jika dilihat sekali imbas, tasik yang dipenuhi dengan jutaan obor-obor ini memang nampak menakutkan. Namun begitu, Tasik Obor-Obor Ongeim’l Tketau merupakan salah satu tempat paling menarik di Palau.
Terletak di Pulau Eil Malk, tasik marin ini merupakan rumah kepada jutaan obor-obor yang telah berpindah ke sana melalui laluan matahari. Pelancong boleh mendapatkan pas lawatan di pulau dan bersnorkel di tengah-tengah obor-obor emas dan bulan yang sebenarnya tak merbahaya pun.
7. Motel Badut, Nevada
Walaupun banyak hotel-hotel yang menyeramkan di seluruh dunia, tapi yang paling mengerikan mestilah Motel Badut yang terletak di Tonopah, Nevada. Motel cetusan idea dari chef Las Vegas, Vijay Mehar ini telah dilengkapi dengan pintu warna terang dan dua badut berukuran 19 kaki yang terletak bertentangan dengan kawasan kubur.
Di dalamnya pula, terdapat lebih 3,000 patung-patung badut yang boleh dilihat oleh tetamu motel. Manakala biliknya pula dihiasi dengan lukisan dan mural badut dari filem-filem terkenal termasuklah Pennywise. Ish!
Sumber: Condé Nest