Sungguh menyayat hati! Hati siapa yang tak luluh apabila melihat seorang bayi berusia enam hari ditemui mati dalam perigi di Kampung On Lok, Batang Melaka, Jasin semalam.
Mayat bayi lelaki yang masih berbalut kain lampin putih itu ditemui orang awam kira-kira jam 10.30 malam sebelum pihak Bomba dan Penyelamat Balai (BBP) Jasin Bestari mengeluarkannya dari perigi sedalam 20 kaki itu, lapor Berita Harian.
Menurut pihak polis, bayi itu telah dilaporkan hilang pada jam 7.45 malam kelmarin oleh bapa mangsa yang telah hadir ke Balai Polis Batang Melaka.
Susulan dari laporan bapa mangsa, pihak polis telah mengadakan siasatan lanjut akan kehilangan bayi tersebut, namun terdapat keraguan mengenai kesahihan kehilangan bayi itu. Berdasarkan laporan yang diberikan bapa mangsa, bayi itu kali terakhir dilihat sedang tidur di dalam bilik bersama ibunya pada jam 6.30 petang.
Namun semuanya terbongkar apabila pihak polis menerima maklumat jiran yang mengesyaki terdapat mayat bayi di dalam perigi belakang rumah mangsa.
Berikutan penemuan bayi tersebut, enam suspek termasuk ibu dan bapa bayi tersebut ditahan pada jam 9 pagi tadi atas pertuduhan membunuh.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan mayat bayi berkenaan telah dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.
Apalah salah bayi itu hingga diperlakukan sebegitu rupa? Semoga kebenaran akan terbukti nanti!
Baca: Kepala Bayi Tanpa Anggota Badan Ditemui Berulat dan Tidak Sempurna di Ranau