Allah sebak sangat tengok kejadian macam ni jadi dekat orang tua!
Baru-baru ni, viral posting Facebook berkenaan bas Rapid Kuantan yang dikatakan berhenti turunkan penumpang dekat dengan longkang di sebuah pasar berhampiran Beserah.
Nampak macam rutin biasa sebuah bas Rapid setiap hari, tapi malangnya seorang nenek berusia 71 tahun tergelincir dan jatuh ke dalam longkang masa nak turun dari bas Rapid di Jalan Kuantan – Kemaman ni. Allahuu!
Pendarahan teruk di kepala
Susulan dari kejadian tu, Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Noor Yusof Ali berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada anak saudara mangsa pada jam 9.30 pagi.
“Semasa pihak kami tiba di lokasi, mangsa dilihat terbaring dan mengalami kecederaan pada bahagian kepala.
“Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian,” katanya.
Hasil bedah siasat warga emas yang dikenali sebagai Mak Teh Dagang ni didapati mangsa meninggal dunia sebab alami pendarahan dalam kepala yang teruk akibat terjatuh ke dalam longkang dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Pemandu bas Rapid Kuantan digantung tugas
Dalam pada tu, pemandu bas Rapid Kuantan berusia 50 tahun berkenaan telah pun digantung dari tugas kerana terlibat dalam siasatan kes.
“Kami amat kesal terhadap kejadian itu dan bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa yang menjalankan siasatan terhadap kejadian tersebut,” kata jurucakap Rapid Kuantan, lapor Kosmo!
Difahamkan pemandu bas ni jugak telah memandu di laluan yang sama semenjak dua tahun lepas lagi.
Jenazah mangsa telah dituntut keluarga dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Pasir Putih Kampung Baru Beserah, petang kejadian.
Takziah buat keluarga mangsa yang terbabit. Semoga pihak berkuasa menyiasat kes ini dengan lebih mendalam supaya ia tak berlaku lagi.
Baca: Kes Langgar RapidKL: 3 Cerita Berlainan Dari Netizen Yang Kami Dapat Tahu