Membuat pinjaman ah long bukan sahaja membawa padah, malah iklan haram mereka ini juga telah mencacatkan persekitaran.
Ramai kini dilihat semakin berani menentang perkhidmatan tidak berlesen mereka seperti tindakan lelaki ini.
Menerusi video yang dimuat naik di media sosial, seorang lelaki difahamkan bertindak membakar edaran risalah atau flyer yang diletakkan di motosikal penduduk di kawasan parkir perumahan flat di situ.
steady bang dah la buat keja celaka, takde lesen, naik kepala pulak. kutip bakar lagi bang. Perempuan tu bagi ayat pusing pusing pun kalah dengan abang tu. Kemenangan bagi pihak lelaki pic.twitter.com/H0qDr7W8sT
— MALAYSIA MOST VIRAL (@MALAYSIAVIRALLL) May 9, 2023
Dalam video tersebut, kedengaran seorang wanita yang dipercayai pekerja ah long memarahi tindakan si perakam yang membakar risalah yang diedarnya.
Rakaman yang berdurasi selama dua minit itu menyaksikan wanita terbabit tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki itu. Menurut pekerja ah long, lelaki tersebut perlu memaklumkan kepadanya jika dia tidak bersetuju dengan edaran risalah terbabit dan bukannya bertindak sedemikian.
“Saya nak tanya encik, adakah betul tindakan encik ini untuk kutip tanpa beritahu kami dan bakar?” soalnya.
Pun begitu, lelaki itu membalas dengan mengatakan bahawa dia tidak perlu memberitahu kepada pekerja terbabit kerana iklan pinjaman itu sudah menyalahi undang-undang.
“Memang saya bakar, kenapa kamu ingat kami tak ada duit ke? Kamu dok buat pinjaman ah long esok-esok menyusahkan orang,” ujar lelaki tersebut.
Pertelingkahan berakhir apabila pekerja ah long itu kemudiannya mengalah dan beredar dari kawasan tersebut.
Rata-rata netizen yang melihat video itu meninggalkan komen pujian atas keberanian lelaki terbabit berdepan dengan pekerja ah long.
Terdahulu, pernah tular kisah seorang lelaki yang nekad membuang poster tawaran pinjaman ah long kerana tidak mahu orang lain terpedaya dengan tawaran itu. Tindakannya itu selepas hampir tiga tahun alami pengalaman ngeri menanggung bebanan hutang yang dipinjam dari ah long.
Baca: Ibu Bapa Paksa Buat ‘Loan’ RM200k, Anak Jatuh Bankrap Sebab Tak Mampu Bayar