Susulan kejadian tembakan maut di Siam Paragon Mall, Bangkok semalam, difahamkan sekurang-kurangnya dua orang maut dan lima lagi cedera.
Salah seorang mangsa dalam insiden tragis itu merupakan seorang pelancong dari China yang maut selepas ditembak di kepala semasa kejadian.
Artikel berkaitan: “Tak sangka dia 14 tahun” – Individu Dakwa Pernah Jumpa Penembak ‘Siam Paragon’ Di Padang Sasar
Artikel berkaitan: Insiden Siam Paragon Mall: Suspek Remaja 14 Tahun Disyaki Ada Masalah Mental
Dalam laporan Thaiger, seorang wanita warga tempatan yang berani, mempertaruhkan nyawanya untuk menyelamatkan sepasang kembar berusia 5 tahun selepas ibu mereka terkorban dalam tembakan itu.
Wanita berkenaan kemudiannya berkongsi pengalamannya berdepan dengan detik gentar itu menerusi laman X miliknya.
“Cerita sedih hari ini. Saya melarikan diri dari kekecohan yang berlaku di Siam Paragon kemudian saya bertembung dengan sepasang kembar Cina. Ibu mereka telah ditembak dan mereka tidak dapat menemuinya.
Saya mencuba segala-galanya untuk membantu mereka dan saya cuba berkomunikasi dengan mereka menggunakan aplikasi penterjemah, tetapi bateri telefon saya hampir mati dan saya hanya mempunyai 1% sahaja lagi.
Mereka bertanya kepada saya adakah ibu mereka telah meninggal dunia. Saya berkata tidak dan cuba menenangkan mereka,” kongsinya.
Walau bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi pasangan kembar kanak-kanak itu apabila seorang pegawai polis memberitahu berita yang sedih.
“Saya membawa mereka ke polis dan seorang pegawai polis memberitahu kami bahawa ibu kanak-kanak itu telah pun meninggal dunia.
Saya menangis sekuat hati. Saya kasihan kepada mereka. Mereka tidak sepatutnya menghadapi ini. Hari ini adalah hari yang sangat menyedihkan,” luahnya lagi.
Menurut laporan yang sama, wanita warga China itu ditembak di tandas tingkat bawah di mana tembakan dilepaskan dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Sumber: Thaiger