Terdahulu, Lobak Merah ada melaporkan mengenai sebuah video tular yang dimuat oleh seorang wanita memaparkan perbualannya dengan seorang anggota polis lelaki yang didakwa telah mengajaknya untuk ‘check-in’ di sebuah hotel.
Video tersebut telah mendapat perhatian netizen yang mengecam tindakan anggota berkenaan yang dianggap mengaibkan kesantunan wanita.
Malah lebih mengecewakan, wanita tersebut juga mendakwa ketika membuat laporan di sebuah balai polis, anggota di balai berkenaan menuduh mangsa memuat naik video dengan niat mahu menaikkan views di media sosial.
Normally exposed polis kaki gatal macamni. Kau dah tahan perempuan ni lepastu ajak perempuan ni check in? Bodoh betul lah 😅 pic.twitter.com/t68idgdKzt
— kamaghul deghaman (@kamaghul) June 14, 2025
Artikel berkaitan: Tular Video Seorang Anggota Polis Ajak Wanita ‘Check In’, Polis Minta Wanita Itu Tampil Untuk Bantu Siasatan
JIPS jalankan siasatan terhadap anggota polis
Susulan kejadian tersebut, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman kini menjalankan siasatan tatatertib terhadap anggota polis yang didakwa mengajak wanita berjumpa serta mendaftar masuk ke hotel, seperti yang tular baru-baru ini.
Pengarahnya, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, satu laporan polis berhubung video berkenaan sudah dibuat oleh Ketua Balai Polis Pandan Indah, semalam.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“JIPS Bukit Aman turut menjalankan satu siasatan tatatertib selari ke atas pegawai rendah polis terbabit termasuk daripada aspek penyeliaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam masa yang sama, pihaknya juga tidak teragak-agak untuk ambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai polis dan pegawai penyelia sekiranya menerima aduan berasas.
Sumber: Berita Harian