Bila kita sentiasa sibuk bekerja, cari duit untuk tampung kehidupan, kita selalu terleka dan kurang peka dengan perkara yang jadi disekeliling kita. Kisah-kisah macam ni boleh jadi reminder yang ramai orang di luar sana memerlukan bantuan dari kita. Yelah, dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain.
Selasa lalu, seorang pengguna Facebook, Tok Anjang telah memuat naik satu posting tentang seorang kanak-kanak dari Tapah dilaporkan tinggal selama dua minggu di rumah sewanya yang usang dan penuh sampah sarap selepas ditinggalkan ibu bapanya. Kenapa sampai jadi macam ni?
https://www.facebook.com/pakanjang.rat/posts/3265453883480849
Menurut Sinar Harian, Mohd Firdaus Abdullah, kanak-kanak berusia 12 tahun ini terpaksa tinggal sendirian, menumpang di rumah kawan dan membantu penduduk kampung membuat kerja-kerja rumah selepas ibunya ditahan dalam operasi Agensi Anti Dadah Kebangsaan, awal bulan ini.
Kanak-kanak itu berkata, ibu dan bapa tirinya dah lama bercerai dan dia tak pernah mengenali bapa kandungnya.
“Saya anak tunggal, jadi selama ni memang duduk berdua saja dengan mak, tapi dua minggu lalu ada kawan beritahu yang mak dah kena tangkap sebab dadah.
“Saya tak sempat pun jumpa mak, tahu-tahu balik rumah dah kosong, tak ada orang pun.
“Saya tak tahu mak saya di mana, namun rakan mak mengatakan dia ditahan di penjara Tapah.
“Orang kata mak saya hisap dadah, tapi saya tak pernah lihat dia ambil dadah depan saya.”
Kerana takut tinggal sendirian, Firdaus terpaksa menumpang tidur di rumah rakannya. Malangnya, dia terpaksa keluar dari rumah rakannya kerana keluarga rakannya perlu pulang ke kampung.
“Keluarga Syafik baik, kebetulan mak dia dan mak saya kawan, bila mereka kena balik kampung, saya pun balik la semula ke rumah.
“Saya tak nak menyusahkan orang, mereka pun bukan orang senang. Tipulah kalau saya tak sedih… tak takut duduk rumah sorang-sorang, tapi nak buat macam mana, reda je lah.”
Lebih menyedihkan, disebabkan dia dan ibunya orang susah, kanak-kanak ini dah tak bersekolah sejak Oktober tahun lalu.
“Memang saya nak ke sekolah, boleh jumpa balik kawan-kawan, dulu saya terpaksa berhenti sebab banyak sangat masalah.
“Sepanjang tempoh seminggu lalu, saya menumpang mandi di stesen-stesen minyak dan tandas awam manakala makanan disediakan bapa saudara yang tinggal di Chemor.
“Rumah yang disewa mak juga sudah dua tahun tiada bekalan air dan elektrik, malah sewa rumah juga tak berbayar membuatkan tuan rumah tak ambil peduli tentang rumah papan ini.
“Memang macam ni lah kehidupan kami, lepas berhenti sekolah, saya tolong sapu daun kering dan bakar sampah di rumah orang, dapatlah upah RM3 ke RM5, mak pula kerja cuci-cuci, orang kampung pun banyak tolong ada yang bagi duit belanja untuk kami makan.”
Tapi korang jangan risau, kerana bantuan oleh Tok Anjang, Presiden Persatuan Budak Bas Stand Ipoh, kanak-kanak ini dah pun diletakkan di tempat selamat sementara tunggu tindakan seterusnya dari JKM.
“Saya dapat panggilan dari bapa saudara kanak-kanak itu yang meminta bantuan penjagaan sementara kerana bimbang dengan keselamatan kanak-kanak ini selepas rumah sewanya dipecah masuk penjenayah beberapa hari lalu.
“Mujurlah yang hilang hanya dapur dan tong gas, tetapi keadaan rumah dan kanak-kanak ini sangat tidak terurus.
“Kebetulan persatuan kami ada rumah wakaf yang digunakan sebagai rumah transit, jadi untuk sementara kami tempatkan dia di situ, adalah juga orang tengok-tengokkan makan minum dan pakaiannya.
“Semua maklumat tentang kanak-kanak ini telah diambil JKM dan kita tunggulah nanti apa tindakan seterusnya.”
Harapnya budak ini dapatlah bantuan yang sepatutnya dan dapat teruskan persekolahannya yang tergendala tu.
Baca: Cikgu Baik Hati Belikan 55 Pasang Kasut Bata Di Gombak Untuk Murid Miskin Sampai Kedai Tutup