Pagi ini negara dikejutkan dengan insiden menyayat hati melibatkan kemalangan yang berlaku di antara sebuah trak Pasukan Simpanan Polis Persekutuan ( FRU) dengan sebuah lori muatan batu di Jalan Chikus – Sungai Lampan, Perak. Sehingga artikel ini ditulis, seramai 11 orang dikhabarkan terbunuh termasuk 10 anggota FRU yang berpengkalan di Ipoh, Perak.
Kejadian berdarah ini sekaligus mengimbau kembali tragedi yang pernah berlaku pada tahun 1990 di mana seramai 11 anggota FRU terbunuh selepas terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Karak, Pahang. Kemalangan ini pernah mencatatkan rekod sebagai kemalangan terburuk sejak pembukaan lebuh raya tersebut pada 1978.
Artikel berkaitan : Trak 1 tan FRU terperosok bawah bas ekspres, Tragedi Berdarah Disebalik Lagu Pusara Di Lebuhraya, Pendedahan Kisah 11 Anggota Maut
Artikel berkaitan : Masalah Stereng Punca Lori Bawa Batu Rempuh Trak FRU
Kronologi Kejadian
Pada hari kejadian, sepasukan anggota FRU dari Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur dalam perjalanan menjalani latihan di Kuala Terengganu. Mereka menaiki lima buah kenderaan FRU, termasuk sebuah trak yang berada di hadapan.
Di Kilometer 31 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, bas ekspres yang menuruni bukit mengalami masalah brek, menyebabkan ia gagal dikawal dan merempuh dua buah kereta sebelum bertembung dengan trak FRU tersebut. Akibat perlanggaran kuat itu, trak FRU terperosok ke bawah bas, dan bahagian belakangnya dihentam oleh sebuah lori tangki minyak yang cuba mengelak.
Lima anggota FRU maut di tempat kejadian, manakala enam lagi meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur akibat kecederaan parah. Empat orang awam turut terkorban dalam insiden tersebut.
Kemalangan ini menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk selama hampir enam jam, dengan pasukan penyelamat bekerja keras untuk menyelamatkan mangsa dan mengalihkan kenderaan yang terlibat.
Tragedi ini meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga mangsa, pasukan PDRM, dan seluruh negara. Setiap tahun, pada tarikh 28 Februari, pelbagai pihak mengadakan majlis tahlil dan bacaan Yasin untuk mengenang jasa dan pengorbanan anggota FRU yang terkorban.
Berikut merupakan senarai nama anggota FRU yang maut dalam insiden itu.
- Koperal Mohd Hilmi Ismail,
- Koperal Saaid Hassan,
- Lans Koperal Shahimi Lazim,
- Lans Koperal Mohd Som Puteh,
- Konstabel Mohd Lazim Admin,
- Konstabel Abd Razak Sharif,
- Konstabel Wan Mazland Bidin,
- Konstabel Mohd Razali Bidin,
- Konstabel Mohd Samsudin Hamad,
- Konstabel Sazali Hussin, dan
- Konstabel Kok Kiong.
Roh mereka dikenang sebagai wira yang gugur bukan di medan perang, tetapi dalam tugas mereka untuk menjaga keselamatan negara. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.
Sumber : PDRM