Seperti tahun-tahun yang lain, 2023 juga menyaksikan banyak kematian dalam kalangan artis terkemuka tanah air. Mereka ni merupakan orang yang pernah mewarnai dunia seni dan hiburan Malaysia sehingga menjadi sebutan peminat suatu ketika dahulu.
Jadi, untuk artikel kali ni, min nak ajak korang untuk memperingati beberapa artis Malaysia yang telah meninggal dunia tahun ini.
1. Ridzuan Hashim (4 Mei 2023)
Kebanyakan orang Malaysia pasti kenal dia menerusi watak King dalam filem KL Gangster yang mempopularkan namanya. Ridzuan Hashim merupakan seorang pelakon veteran yang telah pun berkecimpung dalam dunia hiburan sejak awal 1990-an lagi.
Pada waktu mudanya, dia memang dikenali dengan ketampanan wajahnya. Disebabkan tu, dia sering kali muncul dalam beberapa filem dan drama tempatan seperti Antara Dua Hati dan La Luna. Menariknya, sebelum masuk dalam bidang lakonan, dia merupakan seorang pemain bola yang handal.
Namun begitu, dia telah dilaporkan meninggal dunia pada usia 62 tahun disebabkan serangan jantung di Hospital Kuala Lumpur.
2. Rohana Jalil (21 Jun 2023)
Penyanyi wanita tempatan ni memang cukup popular sejak dia mula menceburi bidang muzik setelah memenangi pertandingan Bintang RTM yang diadakan di Auditorium Besar, Angkasapuri pada tahun 1980.
Sejak itu, selama empat dekad dia telah menghasilkan banyak album dan lagu terkenal yang menjadi siulan ramai seperti Rayuan Ku dan Jauh Terkenang. Akan tetapi, beliau telah meninggal dunia pada usia 68 tahun akibat kebocoran usus dan jangkitan kuman ketika sedang dirawat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia.
Allahyarham Rohana telah meninggalkan seorang suami bersama tiga orang anak perempuan di mana salah satunya merupakan selebriti terkenal iaitu Kilafairy.
Artikel berkaitan: “Selalu nyanyi lagu Cek Mek Molek” – Cucu M Daud Kilau Kongsi Kenangan Bersama Arwah Atuk
3. Badrul Muhayat (28 Oktober 2023)
Badrul Muhayat merupakan seorang pelakon Malaysia dan merupakan naib juara dalam pertandingan Hero Remaja edisi 1990/1991.
Dari awal kariernya pada 1988, dia telah banyak membintangi pelbagai filem dan drama Malaysia yang best-best seperti Anak Perjanjian Syaitan dan Gerak Khas.
Seperti Ridzuan, Badrul juga menghembuskan nafas terakhirnya pada Oktober lalu ketika berusia 55 tahun disebabkan serangan jantung masa sedang tidur di sebuah homestay di Pulau Pinang. Yang sedihnya, dia tak sempat buat majlis resepsi untuk isteri keduanya, Norhayati Zulkapli yang dicadangkan akan berlangsung Disember ni.
4. Tia Jinbara (8 November 2023)
Seorang lagi penyanyi terkenal tanah air, Tia atau nama sebenarnya Shamsul Bakhtiar Zakaria turut menemukan ajal pada tahun ni. Dia merupakan bekas vokalis kugiran rock Malaysia, Jinbara yang membuat kemunculan pertama pada tahun 2000.
Dia yang terkenal dengan lagu Farhana itu telah disahkan menghidap kanser hati selepas mengadu sakit perut melampau dan sukar bernafas. Setelah seminggu dirawat di Hospital Shah Alam, dia dilaporkan telah meninggal dunia pada usia 53 tahun.
5. Suhaimi Saad (15 November 2023)
Dunia nasyid Malaysia digemparkan dengan pemergian penyanyi terkenal, Suhaimi Saad pada tahun ni. Dia merupakan anggota kumpulan nasyid, Inteam dari tahun 2000 hingga 2005. Pada masa tu, dia bersama ahli Inteam yang lain telah menghasilkan banyak album hit seperti Kasih Kekasih dan Impian Kasih.
Untuk kerjaya solonya, dia telah mengeluarkan sejumlah tiga buah album sebelum umum meletakkan jawatan sebagai penyanyi nasyid beberapa bulan lalu.
Namun sayangnya, dia juga ‘pergi’ pada usia 43 tahun apabila dikatakan mengalami jangkitan pada organ dalaman sehingga terpaksa ditidurkan. Untuk pengetahuan korang, Suhaimi telah dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru sebelum dilaporkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman di paru-paru.
Artikel berkaitan: ‘Pergi’ Pada Usia 43 Tahun, Ini Latar Belakang Bekas Penyanyi Kumpulan InTeam, Suhaimi Saad
6. Ibnor Riza (17 Disember 2023)
Seperti Rohana, Ibnor Riza memulakan kerjayanya sebagai penyanyi pada tahun 1984 melalui pertandingan Bintang RTM. Sejak itu, dia telah berkecimpung dalam bidang seni selama 23 tahun dan telah merakamkan 13 buah album seperti Berdiri Seorang Perindu dan Rahsia Ukiran Duka.
Pada awal tahun ni, Ibnor disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat dan terpaksa membelanjakan kos sebanyak RM80 ribu untuk membiayai rawatan. Setelah hampir beberapa bulan melawan barah tersebut, dia telah meninggal dunia di Hospital Canselor Tunku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia baru-baru ni.
7. Dato’ M. Daud Kilau (18 Disember 2023)
Terbaru, penyanyi legenda dan Raja Gelek Malaysia, M. Daud Kilau turut menemui ajalnya tahun ni. Beliau mula menceburi bidang seni selepas memenangi pertandingan Bintang Radio di Singapura pada 1968.
Sejak itu, beliau telah menghasilkan album dan lagu bergenre langgam, asli dan dangdut seperti Cek Mek Molek, Firasat dan Cubit Cubit Sayang. Beliau juga pernah membuat penampilan khas dalam filem tempatan seperti Man Laksa dan Pi Mai Pi Mai Tang Tu.
Sedihnya, dia telah meninggal dunia semalam pada usia 85 tahun di Hospital Teluk Intan, Perak disebabkan jangkitan kuman dalam darah. Kini, Allahyarham telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Balai Baroh.
Semoga roh mereka dicucuri rahmat. Amin!
Sumber: Harian Metro, Wikipedia