Beberapa hari lalu, tular hantaran daripada seorang penceramah dan juga pempengaruh terkenal, Akhi Fairuz Al-Jengkawi yang memberi kenyataan ringkas berkenaan kes pelajar Allahyarhamah Zara Qairina yang kini menjadi perhatian ramai.
Hantaran yang tular itu menyatakan tentang Akhi Fairuz yang mendakwa sudah mendapat pencerahan berkenaan isu adik Zara, namun tidak dapat mendedahkannya kepada umum kerana ia sudah menjadi kes polis.
Menurutnya lagi, orang ramai diminta untuk tidak berspekulasi kerana bimbang ada ‘plot twist’ berkaitan kes itu.
Saya ulang kembali kenyataan pihak polis dan YB Menteri Fadlina Sidek, jangan terus berspekulasi! Khuatir nanti bila ada plot twist (ya, memang ada), ada yang tak boleh terima! Ini sahaja yang saya dapat tulis,” katanya.
Walau bagaimanapun, kenyataan tersebut telah mengundang kecaman di kalangan netizen yang menganggap Akhi Fairuz sebagai tidak sensitif dengan situasi keluarga mangsa, malah ia lebih membuatkan ramai berspekulasi.
Artikel berkaitan: Dedah Tiada Proses Bedah Siasat Dibuat, Ibu Zara Qairina Mahu Kubur Digali Semula
Artikel berkaitan: “Fitnah ini berat” – YB Fadhlina Sidek Nafi Tak Buat Apa-apa Isu Kes Adik Zara Qairina
“Mohon maaf atas kekhilafan dan keterlanjuran dalam perkataan”
Susulan pelbagai teguran yang diterima, Akhi Fairuz akhirnya memuat naik hantaran permohonan maaf di Facebook miliknya semalam.
Menurutnya, dia memohon maaf jika perkataan yang digunakannya dalam posting sebelum ini telah menimbulkan rasa kurang senang dan marah dalam kalangan netizen serta ahli keluarga mangsa.
Saya ingin memohon maaf dengan setulus hati kepada sesiapa yang terasa atau terguris, terutama buat ibu Allahyarham Adik Zara, Puan Noraidah serta makcik beliau, Puan Syira.
“Saya akui pada setiap teguran tuan puan yang saya sayangi dan hormati berkaitan penggunaan perkataan ‘plot twist’ yang digunakan pada posting yang lepas. Saya menyesali akan keterlajuran dalam memilih perkataan yang tidak sesuai atas kematian seorang anak muda,” katanya.
Kata Akhi Fairuz lagi, niatnya menulis hantaran itu bukanlah untuk mempermainkan atau meremehkan sesiapa serta menimbulkan sebarang spekulasi, namun ia adalah kekhilafannya dalam memilih perkataan yang sesuai.
Dalam pada itu, Akhi Fairuz juga menolak dakwaan bahawa dia dan Amin Idris ada menerima bayaran untuk menulis dan membuat hantaran mengenai kes tersebut.
Sebaiknya kita tunggu sajalah laporan daripada pihak berwajib tidak lama lagi berkenaan isu ini. Bimbang makin ramai yang berkata-kata, makin banyak spekulasi timbul yang mengganggu siasatan.
Sumber: Facebook