Siapa sangka, pusat jagaan kanak-kanak yang disangka menjadi tempat selamat untuk anak-anak terutama anak istimewa, menjadi tempat yang memberikan pengalaman pahit buat mereka.
Terbaharu, seorang guru lelaki ditahan selepas disyaki memukul dan menendang seorang kanak-kanak autisme berusia enam tahun di sebuah pusat jagaan di Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Kominisioner Shahrulnizam Ja’afar@Ismail, pihaknya menerima laporan yang dibuat bapa kanak-kanak lelaki berkenaan semalam.
Artikel berkaitan: “Jerit minta anak cari barang” – Kes Dera Anak Angkat, Jiran Kongsi Sering Dengar Suara Budak Menangis
Artikel berkaitan: “Doakan kami” – Shila Amzah Dedah Anak Sulung Hidap Autisme
Katanya, siasatan awal mendapati kanak-kanak terbabit ditendang, dipukul dan ditarik secara kasar sehingga tarjatuh daripada kerusi.
“Terdapat juga kesan gigitan di tangan kanak-kanak berkenaan. Susulan dari laporan yang diterima, polis melakukan tangkapan terhadap lelaki tempatan berusia 32 tahun di kediamannya di Ampang.
“Lelaki terbabit adalah guru di sebuah pusat jagaan kanak-kanak berkenaan. Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana disyaki melakukan pengabaian terhadap kanak-kanak.
Beliau berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengetahui punca sebenar kejadian.
Susulan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Sumber: Berita Harian