Isu rekod kehadiran di parlimen menjadi hangat, memandangkan namanya berada di kedudukan paling merosot, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang hari ini tampil berikan respon.
Memetik laporan Berita Harian, beliau mempertahankan dirinya dengan menegaskan bahawa kehadiran Ahli Parlimen ke Dewan Rakyat tidak boleh disamakan dengan kedatangan pelajar ke sekolah kerana ia berbeza daripada segi sistem dan perjalanan.
Tambahnya, orang ramai tidak faham secukupnya apa peranan Ahli Parlimen ke Dewan Rakyat itu.
Masa nak ke Dewan Rakyat terbatas sebab…
Beliau mengatakan bahawa, tanggungjawab yang dipegang sebagai Duta Khas ke Timur Tengah menjadi penyebab masanya untuk ke Dewan Rakyat terbatas kerana ada dua peranan selain Ahli Parlimen Marang.
Tegas Abdul Hadi lagi, beliau yang menyandang kerusi Parlimen Marang juga yakin bahawa isu dimainkan parti lawan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak akan menjejaskan sokongan pengundi terhadapnya.
“Saya ditugaskan di Parlimen dan juga tugas-tugas khas, kehadiran di Parlimen ini bukan macam kehadiran di sekolah, itu orang tidak faham.”
“Menteri-menteri bukan duduk tunggu begitu saja, dia jawab soalan dan bila selesai akan jalankan tugas di luar pula, orang yang tidak ada tugas di luar boleh tunggu.”
Katanya lagi, ia memberi peluang kepada pemimpin muda daripada partinya untuk mengambil bahagian dalam sesi perbahasan kerana setiap parti mempunyai kuota tersendiri.
“Saya sudah lama di Parlimen, banyak sesi saya terlibat, berhujah dan kini saya beri peluang kepada Ahli Parlimen generasi baharu untuk terlibat dalam perbahasan, jadi kalau saya bercakap kuranglah kuota. Saya berpuas hati Ahli Parlimen PAS (yang) banyak sertai perbahasan.”
Baca : Siapa Kaki Ponteng? Ini Rekod Kehadiran Ahli Parlimen Di Dewan Rakyat!