in

9 Resipi Masakan Ayam Buat Anda Yang Diet dan Nak Kurus

Page Pandan

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Ayam merupakan antara makanan yang diminati ramai namun, sering kali dielak terutamanya bagi mereka yang sedang berdiet. Walau bagaimanapun, tahukah anda hal ini tidak semestinya betul kerana terdapat pelbagai masakan ayam yang sesuai untuk mereka yang sedang berdiet.

Pemakanan haruslah dijaga dengan memilih makanan yang kurang minyak, seimbang dan berkhasiat. Oleh itu, kami senaraikan 9 resipi masakan ayam buat anda yang diet dan nak kurus seperti yang pernah dikongsikan oleh Coach Ina Fitlife di Facebook.


 

1. Sup ayam

Sup ayam adalah antara sajian yang paling mudah untuk dimasak kerana hanya perlu direnehkan semua bahan bersama. Bukan setakat itu sahaja, masakan ini juga sihat kerana tidak menggunakan minyak dan mempunyai kombinasi rempah yang mempunyai khasiat yang tersendiri.

3 1
gambar hiasan

Bahan-bahan:

Isi ayam yang telah dibasuh dan dibuang kulit
2 ulas bawang putih
3 ulas bawang merah
1 biji bawang besar
Lobak merah dan kentang dipotong dadu
Kulit kayu manis
Bunga cengkih
Buah pelaga
Lada hitam
Daun ketumbar (hiasan)
Garam secukup rasa

 

2. Tomyam putih Thailand

Seperti sup ayam, tomyam ayam Thailand juga amat mudah untuk dimasak dan mempunyai rasa yang sedap, sesuai untuk mereka yang meminati masakan Thailand. Juga tidak perlukan minyak, semua bahan-bahan hanya perlu dimasukkan dan direbus bersama sehingga mendidih.

V3
gambar hiasan

Bahan-bahan:

Isi ayam yang telah dibasuh dan dibuang kulit
2 batang serai dipotong serong
Seinci halia dihiris nipis
Sedikit lengkuas dihiris nipis
Daun limau purut
Lobak merah
Tomato
Bunga kubis
2 biji bawang besar dibelah 4
Cendawan
Cili Padi
Garam secukup rasa

 

3. Asam pedas ayam

Penyediaan bahan untuk masakan asam pedas ayam ini mengambil masa sedikit, namun, hasilnya sangat memuaskan hati dan sihat untuk mereka yang ingin kurus. Bawang putih, bawang merah, kunyit hidup, cili padi dan cili kering perlulah dikisar dan kemudian direneh bersama isi ayam sebelum memasukkan serai dan daun limau purut.

V13
gambar hiasan

Bahan-bahan:

2 ulas bawang putih
1 biji bawang merah
Kunyit hidup
Satu sudu cili kering yang telah dikisar
Cili padi
Serai
Daun limau purut
Isi ayam yang telah dibasuh dan dibuang kulit
Garam secukup rasa

 

4. Kacang pea kukus bersama ayam

Masakan secara kukus adalah antara yang paling baik untuk dimakan kerana nutrisi makanan tersebut masih terpelihara. Ramai yang sedia maklum bahawa orang yang sedang berdiet digalakkan untuk melebihkan sayuran dalam makanan mereka. Masakan ini mempunyai pelbagai sayur yang ditambah berserta ayam dan kemudian dikukuskan bersama.

G Blur
gambar hiasan

Bahan-bahan:

Isi ayam yang telah dibasuh dan dibuang kulit
Kacang pea
Lobak merah
Putik jagung
Cili padi/cili besar
Gula dan garam secukup rasa

 

5. Ayam kukus halia bergajus 

Ayam kukus halia bergajus merupakan satu lagi masakan dalam senarai yang hanya perlu dikukus. Tiada tumisan yang diperlukan dan sarat dengan sayur-sayuran, resipi ini sangat mudah untuk disediakan dan sangat berkhasiat tambah-tambah lagi dengan adanya kacang gajus yang kaya dengan vitamin.

V6
gambar hiasan

Bahan-bahan: 

Isi ayam bahagian dada yang telah dibuang kulit
Bawang putih yang dihiris halus
Bawang merah dihiris nipis
Brokoli
Bunga kubis
Cendawan dan kulat hitam
Serai yang dihiris halus
Kacang pea
Capsicum dihiris
Gajus
Garam dan lada sulah secukup rasa

 

6. Ayam kukus pandan berkunyit

Mempunyai bahan-bahan yang simple dan senang untuk didapati, ayam kukus pandan berkunyit amat sesuai untuk mereka yang ingin kurus dan tiada masa untuk menyediakan masakan lain. Hanya perlu gaul ayam bersama bawang putih dan halia yang ditumbuk halus, ayam yang kemudian dibalut daun pandan hanya perlu dikukus selama 7 hingga 10 minit sahaja.

V7Blur
gambar hiasan

Bahan-bahan: 

Isi ayam yang telah dibasuh dan dibuang kulit
Bawang putih
Halia
Kunyit
Jintan putih
Ketumbar
Garam secukup rasa

 

7. Tauhu ayam sumbat

Kepada yang sukakan tauhu, masakan tauhu ayam sumbat ini sangat mudah walaupun mengambil masa sedikit untuk membuatnya. Isi ayam perlulah direbus dan ditumbuk lumat sebelum digaulkan dengan bahan-bahan lain dan kemudian disumbatkan di bahagian tengah tauhu. Setelah selesai, ia perlulah dikukus selama 5-8 minit.

V9
gambar hiasan

Bahan-bahan: 

Isi ayam yang telah direbus dan ditumbuk lumat
Taugeh
Lobak merah yang dihiris halus
Garam
Lada sulah
Tauhu
Daun bawang yang dihiris halus

 

8. Kerabu ayam tomato

Masakan kerabu ayam tomato memang sesuai untuk mereka yang meminati masakan yang masam. Pertama sekali, ayam perlulah direbus dan diracik halus kemudian digaul bersama dengan bahan-bahan lain yang sudah dihiris, sebelum memerah limau kasturi dan memasukkan gula, garam dan asam jawa secukup rasa.

Pandan
gambar hiasan

Bahan-bahan:

Isi ayam yang telah direbus dan diracik halus
Bawang besar dihiris nipis
Tomato dihiris nipis
Cili padi
Air asam jawa
Garam dan gula secukup rasa
Air perahan limau kasturi

 

9. Ayam panggang rempah kari

Ayam panggang rempah kari hanya perlu dipanggang di dalam Magic Pan selama 7-10 minit ataupun boleh dipanggang di atas kuali biasa mahupun di dalam ketuhar. Pastikan kulit ayam dibuang terlebih dahulu, anda kemudian perlu menggaulkannya dengan kunyit dan sedikit garam, cili kering yang sudah dikisar, halia dan rempah kari.

V11
gambar hiasan

Bahan-bahan:

Isi ayam yang telah dibasuh dan dibuang kulit
Kunyit dan garam
Sedikit cili kering yang telah dikisar
Rempah kari
Daun kari
Halia

Kesemua masakan ini memang sesuai untuk mereka yang ingin kurus. Walau bagaimanapun, mereka yang tidak berdiet juga boleh mencuba kerana masakan ini amat mudah untuk dimasak serta berkhasiat memandangkan ia mengekalkan nutrisi ayam dan sayur-sayuran.

Boleh cuba ni!

Baca: 7 Kedai Nasi Kak Wok Buat Anda Tak sabar Nak Makan Tengah Hari

Kakwok

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.