Peguam Shahlan Jufri menjadi wakil keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir, menyaksikan keseluruhan proses bedah siasat selama lapan jam yang dijalankan oleh empat doktor pakar forensik.
Menurut Sinar Harian, ketika diminta menceritakan pengalaman pertama berada di bilik bedah siasat sebagai memenuhi permintaan ahli keluarga, Shahlan mengakui semuanya masih segar dalam ingatannya.
“Ini memang kali pertama saya berada di bilik bedah, selalunya lihat gambar sahaja. Kalau saya mahu terangkan satu persatu bagaimana proses bedah siasat itu, saya boleh terangkan sekarang sebab masih lagi segar (dalam ingatan) dan doktor ada sebut tadi, dia terkejut sebab selama ini, inilah peguam yang boleh tahan di dalam (bilik bedah siasat).
“Saya masih tahu keadaan arwah bagaimana, pisau apa yang digunakan, mangkuk apa yang digunakan, macam-macam. Pada awalnya gemuruh, lepas itu rasa kasihan sebab terpaksa gali balik dan buat bedah siasat bukan suatu perkara yang mudah, dan ketiga insaflah,” katanya.
Artikel berkaitan: “Zara tidak akan kembali, pastikan tiada lagi Zara berikutnya” – Bekas Menteri Pendidikan Cadang 5 Cara Tangani Buli
Artikel berkaitan: SKMM Siasat Individu Sebar Maklumat Palsu Kes Zara Qairina
Menurutnya, sepanjang tempoh berada dalam bilik bedah siasat itu tanpa makan dan minum, hanya dua kali sahaja beliau keluar sebentar untuk mengambil udara segar di bilik kaca.
Peguam sahkan memang ada kecederaan pada jasad Zara Qairina
Dalam pada itu, Shahlan mengesahkan memang terdapat kecederaan pada tubuh remaja berusia 13 tahun itu, sepertimana yang tersebar di media sosial.
“Sudah tentu ada kecederaan, memang ada kecederaan. Kecederaan seperti yang kamu tahu di media sosial, begitulah. Yang selebihnya saya tidak boleh beritahu kerana masih dalam siasatan dan ia sulit.
“Seperti yang tersebar di media itu, saya tidak berapa ingat jumlah kecederaan, tetapi memang ada patah, memang ada kecederaan,” katanya.
Beliau turut berpuas hati kerana proses bedah siasat berjalan dengan telus tanpa campur tangan pihak luar.
Difahamkam, jenazah pelajar SMKA Tun Datu Mustapha Papar itu selamat dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Sipitang jam 1.15 pagi tadi.
Sumber: Sinar Harian