in

8 Fakta Menarik Menjelang PRU 15 Yang Perlu Korang Tahu

Fakta Menarik PRU15

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Pembubaran Parlimen pada Isnin memberikan gambaran bahawa perlaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal diadakan tidak lama lagi, dalam usaha untuk mengembalikan semula mandat kepada rakyat untuk memilih pemimpin untuk mentadbir negara.

Pun begitu, PRU 15 ini dianggarkan akan mempunyai suasana yang berbeza berbanding PRU sebelumnya kerana ada beberapa perkara baharu akan diketengahkan dan ianya tidak pernah disaksikan sebelum ini.


Berikut ada beberapa fakta menarik tentang PRU15 :

41430822658 950x600

Parti & Gabungan Baharu

Buat kali pertama, PRU15 akan menyaksikan empat parti baharu akan bertanding dan pastinya ia akan menghangatkan lagi suasana politik tanah air.

Parti dan gabungan yang bakal membuat ‘penampilan’ pertama terdiri daripada Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Gerakan Tanah Air (GTA) yang terdiri daripada gabungan beberapa parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan juga golongan profesional.

Keempat-empat gabungan dan parti ini dijangka akan menawarkan pembaharuan politik baharu serta mempertaruhkan pengalaman dalam usaha untuk membawa perubahan dalam arena politik Malaysia.

Undi 18

TUNTUTUNDILAPANBELAS010xxxxxxxxxxxxxx

Berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan Mei 2022 pada 16 Jun lalu, pemilih berdaftar terkini yang diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) berjumlah 21,113,234 orang.

Daripada jumlah tersebut, 5.4 peratus atau 1,141,749 orang adalah pemilih yang berusia 18 hingga 20 tahun manakala baki 19,971,485 orang atau 94.6 peratus adalah pemilih berusia 21 tahun dan ke atas.

Penguatkuasaan had umur pemilih daripada 21 kepada 18 tahun pada 15 Disember 2021 menyaksikan pertambahan ketara pemilih seramai 5.8 juta orang dan daripada jumlah tersebut, 1.2 juta daripadanya merupakan anak muda dalam lingkungan 18 hingga 20 tahun.

Menjelang 2023, pengundi berdaftar dijangka meningkat kepada 22.7 orang dan ianya peningkatan hampir 50 peratus berbanding 14.9 juta yang direkodkan berdasarkan daftar pemilih PRU-14.

Waktu Mengundi Dipanjangkan

Tempoh masa untuk membuang undi pada PRU15 akan dipanjangkan selama satu jam di seluruh negara.

Bagi negeri di Semenanjung, waktu mengundi bermula jam 8 pagi sehingga 6 petang, manakala di Sabah dan Sarawak akan bermula pada 7.30 pagi hingga 5.30 petang.

Pastinya tambahan masa satu jam ini akan memberi lebih masa kepada pemilih untuk turun mengundi.

Akta Anti Lompat Parti

Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 atau disebut sebagai Akta A1663 yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti telah berkuatkuasa pada 5 Oktober 2022 selaras dengan seksyen 1(2) dan seksyen 1(3) Akta A1663 selepas diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Dengan pelaksanaan akta tersebut, mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang bertukar parti pada atau selepas tarikh tersebut akan hilang kelayakannya.

Untuk rekod, Akta A1663 mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos dan diwartakan pada 6 September lalu dan sebelum ini diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat pada 28 Julai lalu dengan sokongan majoriti seramai 209 Ahli Dewan Rakyat dan sokongan majoriti seramai 52 senator di Dewan Negara pada 9 Ogos.

Pembubaran DUN dan Parlimen

Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 ini dilihat agak menarik kerana banyak negeri di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) dan PAS tidak mahu membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing atas faktor memasuki musim peralihan Monsun Timur Laut yang dikhuatiri akan mengundang bencana banjir.

JIRBAN4 BHfield image socialmedia.var 1609738159

Pas setakat ini mengambil pendirian sama terhadap Kedah, Terengganu dan Kelantan manakala PH menegaskan bahawa DUN Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor tidak akan dibubarkan.

Setakat ini, hanya negeri di bawah pemerintahan BN seperti Pahang, Perlis dan Perak dilihat akan membubarkan DUN masing-masing agar selari dengan tarikh PRU15.

Pembentangan Semula RUU

Kerajaan baharu yang akan dibentuk selepas PRU-15 kelak akan membentangkan semula sekurang-kurangnya tujuh rang undang-undang (RUU) termasuk  RUU Perbekalan 2023 atau lebih dikenali sebagai Bajet 2023.

Selain Bajet 2023, enam RUU yang sudah diluluskan di Dewan Rakyat pada sesi minggu lalu namun belum dibawa ke Dewan Negara perlu dibentangkan semula dibawah pimpinan kerjaan baharu kelak.

Antara RUU tersebut termasuklah, RUU Kualiti Alam Sekeliling, RUU Kesatuan Sekerja, RUU Tenaga Boleh Baharu, RUU Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari, RUU Kanun Keseksaan dan RUU Kanun Tatacara Jenayah.

Kerjasama Parti Politik Selepas PRU-15

Kebiasaannya, kesepakatan dalam membentuk gabungan bagi memasuki PRU akan dibentuk sebelum Parlimen dibubarkan atau semasa PRU berlangsung.

Namun, senario terkini politik negara membuatkan perkara tersebut lebih menarik dan ketidakpastian memuncak susulan ramai pemerhati politik berpendapat parti tunggal atau gabungan agak sukar untuk mendapatkan majoriti bagi membentuk kerajaan.

Jadi, kesepakatan atau kerjasama akan lebih relevan dan akan dibuat selepas PRU15 melihat kepada jumlah kerusi yang dimenangi gabungan atau parti masing-masing untuk mencapai angka 112 kerusi Parlimen.

Amaran Banjir

PRU15 bakal diadakan ketika mana negara memasuki fasa peralihan Monsun Timur Laut yang mengundang risiko bencana banjir.

Jabatan Meteorologi Malaysia turut mengeluarkan amaran awal mengenai ribut petir, angin kencang yang membawa kepada kenaikan paras air di sungai-sungai utama negara dan juga kesan daripada fenomena La Nina.

SPR dilihat mempunyai tanggungjawab berat dan sukar dalam menentukan tarikh PRU bagi memastikan impak risiko banjir ketika proses pengundian dapat diminimumkan, sekali gus memastikan peratusan mengundi tinggi, seperti PRU14.

Sumber : Awani

Baca : Tadbir Selama 14 Bulan, Ismail Sabri Pecah Rekod Jadi PM M’sia Paling Singkat Dalam Sejarah

ismail sabri perdana menteri tersingkat sejarah

 

Sumber: Awani
Sumber: Utusan

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.