Masjid yang mempunyai reka bentuk yang cantik sememangnya banyak jika ingin disenaraikan. Ada yang mempunyai persamaan kubah, tiang, menara serta ruang solat dan ada juga yang mempunyai kelainan tersendiri. Apa yang pasti, setiap negara mempunyai keunikan identiti yang tersendiri.
Anda pasti terpegun melihat kecantikan dan keunikan reka bentuk 7 masjid di Asia ini!
1. Masjid Pusat Mashkhur Jusup, Pavlodar, Kazakhstan
Masjid ini bukan hanya berfungsi sebagai tempat beribadah sahaja tetapi juga menjadi dewan perkahwinan, perpustakaan, ruang makan serta muzium budaya Islam yang digunakan penduduk setempat. Dihiasi dengan bintang 8-paksi, kubah serta 4 menara, masjid ini terletak di pusat bandar dan anda tidak akan jumpa reka bentuk seperti ini di mana-mana negara lain di seluruh dunia!
2. Masjid Al Jamiul Alfar, Colombo, Sri Lanka
Kalau di Turki mereka ada Masjid Biru, di Colombo, Sri Lanka masjid ini dikenali dengan nama Masjid Merah. Terletak di salah satu wilayah paling sibuk di Colombo, masjid ini menarik perhatian ramai dengan strukturnya yang unik dan menyerlah. Dengan seni bina Indo-Saracenic, ia mempunyai kubah berbentuk buah delima yang membuatkan masjid ini lain daripada yang lain.

3. Masjid Raya Baiturrahman, Banda Aceh, Indonesia
Ketika bencana tsunami melanda pada tahun 2004, kesemua bangunan di sekeliling masjid ini hanyut dibawa arus, namun masjid berusia 130 tahun ini menjadi satu-satunya bangunan yang kekal di kedudukannya. Reka bentuk mengikut gaya Mughal, masjid ini kini berdiri megah bersama 7 kubah, 8 menara dan 32 tiang.
4. Masjid Bibi-Khanum, Samarkand, Uzbekistan
Masjid ini mempunyai 3 bilik kubah, galeri berbumbung dan 8 menara (4 dipulihkan dan 4 belum diselesaikan). Dibina pada abad ke-15, Masjid Bibi-Khanum adalah salah satu masjid terbesar dan cantik di dunia. Beberapa bahagian masjid pernah runtuh ketika gempa bumi pada tahun 1897, namun ianya dipulihkan perlahan-lahan dan sehingga kini antara yang menjadi tarikan pelancong adalah tempat letak Al-Quran besar di laman masjid.
5. Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin, Brunei
Kedudukannya yang terletak di Bandar Sri Begawan iaitu ibu negara Brunei menjadikannya salah satu tarikan pelancongan paling menarik di sana. Selain tempat beribadah, ia juga merupakan tapak bersejarah utama. Dibina di atas tasik buatan di Kampong Ayer, Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin mempunyai menara marmar dan kubah emas serta jambatan yang menghubungkan masjid dengan perkampungan itu.
6. Masjid Jama, Fatehpur Sikri, Agra, India
Selain tempat beribadah, Masjid Jama juga berfungsi sebagai destinasi pelancongan yang paling dikunjungi di Agra dan merupakan salah satu masjid yang paling besar di India. Dibina oleh Maharaja Shah Jahan pada abad ke-16, masjid dengan seni bina Iran ini juga adalah sebahagian daripada Tapak Warisan Dunia.
7. Masjid Kristal, Kuala Terengganu, Malaysia
Terletak di dalam kawasan Taman Tamadun Islam, masjid ini dibina daripada kaca dan keluli di atas sebuah pulau buatan manusia dan dibuka secara rasmi pada tahun 2008. Merupakan masjid pintar pertama di Malaysia dengan infrastruktur IT dan WiFi supaya pengunjung mendapat akses internet untuk membaca Al-Quran secara digital. Pada waktu malam, ia akan dipenuhi dengan lampu indah yang berubah warna kepada merah jambu, kuning, hijau dan biru.