Biasanya sesuatu festival ni wujud disebabkan oleh ritual agama ataupun budaya, tapi ada juga yang buat festival sebagai tujuan pemasaran atau sebab bosan semata-mata.
Apa pun sebabnya, festival-festival pelik di seluruh dunia ni wujud sebab manusia memang kreatif dan fun. Bukan tu je, acara pelik macam ni juga pada masa yang sama boleh buat orang luar kenal dengan budaya masyarakat setempat dan jana ekonomi negara.
Oleh itu, jom kita tengok apa festival-festival pelik yang ada di seluruh dunia, mana tahu korang boleh masukkan dalam wishlist untuk pergi melawat negara-negara dekat bawah ni masa festival dorang diadakan.
1. Festival Lompat Bayi – Castrillo de Murcia, Sepanyol
Festival ini dikenali oleh penduduk tempatan sebagai El Colacho, di mana ia diadakan 60 hari selepas perayaan Paskah. Ia merupakan acara pembabtisan bayi di mana bayi-bayi yang lahir sepanjang tahun lalu dibebaskan dari dosa.
Acara keagamaan ini dikatakan bermula sejak awal tahun 1620. Ketika upacara ini dibuat, lelaki akan berpakaian tradisional dan menakut-nakutkan penonton di sekeliling sebelum berlari dan melompat di atas bayi-bayi yang telah dibaringkan di atas tilam. Tiada sebarang kecederaan pernah dilaporkan ekoran festival ini namun begitu ia tak dipersetujui oleh orang-orang kuat Katolik.
2. Festival Lumpur – Boryeong, South Korea
Festival tahunan yang dibuat pada bulan Julai ini diadakan di perkampungan Boryeong. Festival ini pertama kali diadakan pada tahun 1998 sebagai marketing untuk produk kosmetik yang diperbuat daripada lumpur.
Dikatakan, lumpur dari Boryeong ini mengandungi kandungan mineral semulajadi yang tinggi dan kemudiannya digunakan untuk membuat produk kecantikan.
Festival yang popular dikalangan penduduk tempatan dan pelancong asing ini mempunyai beberapa aktiviti seperti kolam lumpur, gelongsor lumpur, penjara lumpur dan berluncur dalam lumpur.
3. Burning Man – Black Rock Desert, Nevada
Setiap kali penghujung musim panas, sekumpulan komuniti artistik akan berkumpul bersama untuk membuat sebuah bandar di padang pasir yang terletak di Nevada. Mereka akan berkumpul dan menggabungkan bakat mereka dengan membuat beberapa arca, bangunan, persembahan, kereta seni dan pelbagai aktivitivi kreatif yang lain. Festival ini kemudiannya diakhiri dengan acara membakar arca kayu berbentuk seorang lelaki setinggi lebih 100 kaki.
Orang-orang yang hadir ke festival ini juga tidak akan meninggalkan apa-apa kesan selepas acara ini dengan mengemas semula tempat tersebut sama seperti bila mereka datang.
4. Pertandingan Lawan Kaki – England, UK
Lokasi pertandingan ini adalah berbeza pada setiap tahun namun ia berasal dari sebuah kampung di Wetton, Staffordshire pada tahun 1970. Ia diadakan kerana UK ingin mempunyai sukan mereka yang tersendiri.
Namun begitu, peserta hanya boleh menyertai pertandingan ini selepas mendapat pemeriksaan yang menyeluruh dari jururawat yang berkelayakan.
5. Festival Tomato – Buñol, Valencia, Spain
Pelawanan makanan terbesar di dunia La Tomatina merupakan festival yang dibuat setiap tahun pada Rabu terakhir bulan Ogos.
Ketika ini, ribuan orang dari serata dunia akan mengambil kesempatan untuk menyertai festival ini. Tepat jam 11 pagi, banyak lori akan menurunkan beribu-ribu tomato di tengah-tengah bandar Plaza del Pueblo dan bermulanya “pergaduhan” di mana orang akan baling tomato pada satu sama lain.
Pada tahun 2013, bagi mengurangkan jumlah orang yang sertai festival ini, tiket berbayar mula diperkenalkan dan dihadkan kepada hanya 20,000 orang peserta. Memang nampak fun eh?
6. Gitar Udara – Finland
Satu festival pelik telah diadakan di Finlad setiap tahun pada bulan Ogos. Festival yang agak terkenal ini merupakan acara muzik yang tidak menggunakan apa-apa alat muzik langsung.
Peserta dari serata dunia akan hadir untuk memainkan gitar secara olok-olok sambil diiringi oleh muzik rock and roll. Tujuan festival ini dibuat adalah bagi mempromosikan keamanan dunia.
7. Naki Sumo – Jepun
Festival Bayi Menangis Naki Sumo adalah salah satu festival yang unik di Jepun di mana ahli gusti sumo akan cuba untuk buat bayi menangis.
Naki Sumo ini merupakan acara tahunan yang sudah berusia lebih 400 tahun akan mengumpulkan ahli gusti sumo yang berjaya membuat bayi menangis. Sesiapa yang berjaya buat bayi menangis dulu akan dikira sebagai pemenang.
Tangisan dan jeritan bayi ini dipercayai dapat mengelakkan semangat jahat dan membuatkan kanak-kanak tersebut membesar dengan sihat dan kuat.
Dalam banyak-banyak festival ni, mana yang korang nak join?
Sumber: Culture Trip, travelearth
Baca: Meskipun Terpalit Isu Panas, Festival Bon Odori Meriah Dengan Kehadiran 50,000 Pengunjung