Kalau nak diikutkan, jenayah-jenayah di Malaysia ni tak lah sedahsyat yang terkenal di luar negara di mana hampir setiap hari ada sahaja kes-kes yang menakutkan berlaku, malah pembunuh bersiri pun sampai tak terhitung kewujudan mereka.
Pun begitu, tak bermakna Malaysia tak ada penjenayah yang mengerikan. Malah, ada beberapa nama yang masih disebut-sebut sehingga hari ini walaupun orangnya telah lama pergi meninggalkan kita.
Pada artikel kali ini, kita akan tengok beberapa penjenayah yang paling digeruni di Malaysia ekoran jenayah yang mereka lakukan memang sangat kejam sampai tak sangka wujud orang macam ni di negara kita. Jom baca!
1. Mona Fandey
Mona Fandey atau nama sebenarnya Maznah Ismail memang mempunyai cita-cita untuk menjadi terkenal sejak muda lagi. Dia mula menyanyi dan menari bagi mencapai impiannya menjadi bintang terkenal.
Menerusi kerjayanya ini, Mona telah menemui suaminya yang juga peminat terbesarnya Mohamad Nor Affandi Abdul Rahman yang berjanji mahu memberikan dia dana bagi mencapai impiannya untuk menjadi terkenal.
Suami isteri ini kemudiannya cuba pelbagai cara untuk menaikkan nama Mona di dalam dunia hiburan termasuk mengeluarkan sebuah album bertajuk ‘Diana’ serta membuat beberapa kemunculan di televisyen termasuk satu muzik video untuk lagu ‘Ratapan Anak’ pada tahun 1987.
Namun usaha mereka tak membuahkan hasil.
Masih inginkan populariti, Mona dan Affandi cuba untuk menukar kerjaya mereka menjadi bomoh bagi mendapatkan kekayaan. Mereka ternyata berjaya menarik minat golongan elit dan pelanggan-pelanggan kelas atasan yang sanggup membayar mereka dengan bayaran yang banyak atas perkhidmatan yang diberikan.
Malah, Mona pernah mendakwa ramai ahli-ahli politik terkenal parti kerajaan ketika itu telah menggunakan perkhidmatan serta tangkalnya. Pasangan ini sangat berjaya sehingga mampu membeli beberapa rumah agam di beberapa negeri serta beberapa kereta mewah.
1993 bermulanya kejatuhan Mona Fandey apabila dua suami isteri ini didatangi oleh ADUN Pahang yang semakin naik Mazlan Idris yang mahu mendapatkan jawatan sebagai Ketua Menteri dan mahu bantuan mereka untuk mencapai impiannya itu.
Ketiga-ketiga mereka mula membuat perjanjian di mana, Mona dan Affendi menawarkan Mazlan dengan tongkat sakti dan songkok yang dikatakan pernah menjadi milik Presiden Sukarno yang dikatakan boleh akan membuatkan beliau menjadi berkuasa.
Semua ini berharga RM2.5 juta di mana Mazlan perlu membayar RM500,000 sebagai deposit dan 10 hak milik tanah sebagai cagaran untuk bakinya sebanyak RM2 juta.
Selepas transaksi dibuat, satu upacara ilmu hitam telah dirancang untuk dibuat di rumah Mona yang terletak di Raub Pahang. Upacara ini dihadiri oleh Mona, Affendi, Mazlan dan pembantu Mona, Juraimi Hassan.
Ia dimulakan dengan Mazlan diminta untuk baring di atas lantai dan menutup matanya. Namun, apa yang berlaku seterusnya amat mengejutkan apabila Juraimi telah menetak kepala ahli politik tersebut menggunakan kapak.
Mona, Affendi dan Juraimi kemudiannya telah menetak badan Mazlan kepada 18 bahagian sebelum ditanam disekeliling rumah Mona Fandey.
Kehilangan Mazlan mula dilaporkan dua minggu kemudian selepas beliau gagal hadir ke beberapa acara Umno. Sementara itu, Mona sempat membeli-belah, memberli satu kereta Mercedes dan membuat rawatan muka.
Siasatan kehilangan Mazlan pada awalnya tidak membuahkan hasil sehingga Juraimi ditahan atas kesalahan dadah. Mungkin dalam keadaan khayal, lelaki ini tiba-tiba telah mengaku membunuh Mazlan dan membawa polis ke bilik stor berhampiran rumah Mona di mana bahagian mayat Mazlan yang ditanam telah ditemui. Mona dan Affandi turut ditahan tak lama kemudian.
Perbicaraan pembunuhan ini merupakan antara perbicaraan yang paling sensasi, malah Mona yang inginkan populariti sejak dahulu tak teragak-agak untuk memberikan senyuman yang lebar kepada media.
Mona, Affandi dan Juraimi telah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Malam sebelum menerima hukuman, ketiga-tiga tertuduh ini telah diberikan hidangan KFC sebagai makanan terakhir mereka.
2. Botak Chin
Walaupun hanya bersekolah sehingga Tingkatan 3, Botak Chin atau nama sebenarnya Wong Swee Chin merupakan seorang yang bijak malah Pengarah Hospital Tanjung Rambutan yang menilai Chin pada ketika itu mengatakan bahawa lelaki ini seorang yang genius.
Selepas berhenti sekolah, Chin telah membuat beberapa pekerjaan termasuk menjual ikan di pasar malam di Jalan Tun Ismail. Namun pada satu malam, dia telah dipukul oleh samseng tempatan kerana enggan memberikan wang perlindungan sehingga menyebabkan Chin berkawan dengan gangster-gangster kecil yang menawarkan dia perlindungan dan belajar cara melindungi diri.
Chin mula melibatkan diri dengan jenayah-jenayah kecil. Ketika usianya 18 tahun, Chin telah menubuhkan satu kumpulan selepas berjaya mendapatkan pistol .22 kaliber secara haram.
Kumpulannya ini telah membuat lapan rompakan dalam masa sebulan. Oleh kerana masih baru, Chin telah ditahan dan dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun.
Selepas keluar dari penjara, Chin cuba untuk berubah dengan membuka kedai runcit sebelum sedar yang perniagaannya itu tidak mendapatkan keuntungan yang banyak.
Pada tahun 1975, selepas pergi ke Thailand untuk mendapatkan senjata api haram, Chin telah membawa tiga penjenayah terkenal dan membuat kumpulan baru.
Dua tahun kemudian, kumpulan ini telah merompak bank, kelab, tempat perjudian haram, trak berperisai dan kuil sehingga berjaya mendapat wang keuntungan RM1 juta dan membunuh ramai orang awam.
Geng Chin ini telah menjadikan KL seperti bandar tanpa undang-undang di mana pada bila-bila masa akan ada bunyi tembakan dan adegan kejar mengejar menggunakan kereta.
Walaupun sering membuat jenayah, segelintir telah menggelarkan Chin sebagai Robin Hood zaman moden kerana dia memastikan pengikutnya yang setia dan keluarga mereka (biasanya dari golongan masyarakat setinggan) sentiasa dijaga.
Gelaran Botak yang diterimanya juga bukan kerana dia berkepala botak tapi disebabkan dari singkatan “Bantu Orang Tak Ada Kerja”.
Pada akhir 1970, geng Chin mula jatuh apabila ramai ahli-ahlinya telah dibunuh atau ditangkap dan banyak senjatanya telah dirampas. Selepas diperangkap oleh orangnya sendiri, Chin kemudiannya berjaya ditangkap selepas bertempur senjata dengan pihak polis. Ketika pertempuran tersebut, Chin telah ditembak sebanyak enam kali namun selamat.
Tahun 1980, Chin didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati dan dipenjarakan di Penjara Pudu. Beberapa minggu di sana, penjara tersebut dibanjiri dengan panggilan telefon dan surat dari peminat perempuan.
Beberapa bulan sebelum hukuman ke atasnya dijalankan, Chin telah menikam beberapa warden penjara dalam cubaannya cuba melarikan diri namun tak berjaya. Dia kemudiannya dijatuhkan hukuman mati pada pertengahan tahun 1981, bukan atas kes-kes pembunuhan yang dilakukannya tapi atas kesalahan memiliki senjata api. Botak Chin mati pada usia 29 tahun.
3. Bentong Kali
Dilahirkan dan dibesarkan di Bentong, Pahang, R Kalimuthu merupakan seorang yang panas baran dan tak gemar belajar. Pada usia 14 tahun, Kali telah berhenti sekolah dan sertai ‘Gang 04’ yang mengajarnya tentang rompakan, penyeludupan dadah dan kekejaman.
Disebabkan masih tak cukup pengalaman, Kali telah berjaya ditahan polis beberapa bulan selepas dia join geng tersebut dan menghabiskan masa-masa remajanya di dalam penjara.
Apabila dibebaskan, Kali yang baru berusia 20 tahun telah kembali bersatu dengan Gang 04 dan mula membuat kekacauan di sekitar Semenanjung.
Pada 1985, Kali sekali lagi ditahan atas Ordinan Darurat dan dihantar ke penjara keselamatan maksimum di Pulau Jerejak yang terletak di Penang.
Dia telah dibebaskan dan dipindahkan ke Kuantan, Pahang pada tahun 1987 di mana dia ditahan di rumah dan tak dibenarkan keluar dari negeri.
Namun pada tahun 1990, dia telah ditahan di Gopeng atas kesalahan menyeludup dadah tapi dibebaskan kerana kekurangan bukti.
Tahun 1991, Kali telah membuat kumpulannya sendiri yang diberi nama “Gang 04 Jalan Klang Lama” di mana dia mula membuat pelbagai kesalahan jenayah seperti merompak, mengedar dadah dan macam-macam lagi di KL.
Bukan tu sahaja, Kali yang merupakan seorang panas baran mula membunuh orang sesuka hati. Seperti contoh, dia telah pergi ke majlis perkahwinan saudaranya dan membuat kekacauan dan menembak empat orang tetamu, menembak seorang pemilik rumah yang marah kerana Kali kencing di pagar rumahnya dan memenggal kepada pemilik restoran mamak tanpa sebab-sebab munasabah.
Di penghujung tahun 1992, Kali telah terlibat dalam sekurang-kurangnya 17 pembunuhan. Pada tahun 1993, pihak polis telah menjalankan ‘Ops Buncit’ bagi menangkap Kali dan kumpulannya. Seramai 200 pegawai polis telah dihantar ke tiga negeri untuk menumpaskannya serta wang ganjaran sebanyak RM100,000 turut ditawarkan.
Poster dengan gambar Kali beserta tulisan “Wanted” mula ditampal di merata-rata tempat di Semenanjung dan selatan Thailand.
Kali yang tak gentar dengan pemburuan ini telah menelefon sendiri Dato’ Zaman Khan yang mengetuai operasi buruan itu dan mencabar Zaman untuk menangkapnya.
Pihak polis akhirnya berjaya menjejaki Kali pada pertengahan 1993, di sebuah rumah mewah di Medan Damansara. Penembak tepak, skuad bom dan kumpulan polis elit dari Bukit Aman telah mengepung rumah tersebut tanpa disedari Kali.
Tembakan balas mula berlaku dan kesemua orang di dalam rumah tersebut telah mati dibunuh kecuali Kali. Namun bila lelaki ini cuba lepaskan diri dari tingkat dua balkoni rumah tersebut, Kali telah ditembak dan mati serta merta pada usia 32 tahun.
4. Mat Komando
Mat Komando atau nama sebenarnya Ahmad Mohd Arshad telah dilahirkan dan dibesarkan di Yan, Kedah. Ketika dia remaja, dia telah mendaftar untuk menjadi askar dan berkhidmat selama beberapa tahun.
Mat kemudiannya telah diserap masuk untuk menjadi ahli elit kumpulan komando selepas mendapat pangkat dan dia telah dilatih selama dua tahun sebelum berhenti tanpa sebab-sebab yang diketahui.
Mat kemudiannya berkahwin dan mempunyai seorang cahaya mata. Untuk menanggung keluarganya, lelaki ini telah membuat pelbagai pekerjaan termasuk memandu lori bas dan teksi.
Namun Mat merasa bosan dengan pekerjaannya dan mula mahukan pekerjaan yang membolehkan dia membuat benda-benda yang mencabar dan pada masa yang sama memberikan duit yang banyak.
Mat kemudiannya mula merekrut beberapa bekas askar dan membuat geng yang diberi nama ‘Gang 13’. Selepas berjaya mendapat senjata haram, kumpulan ini mula menyerbu pejabat-pejabat kelapa sawit di Kedah dan mengambil wang simpanan mereka.
Namun kumpulan ini mula beralih ke jenayah yang lebih besar dan mula membuat rompakan gaya tentera di bank, kedai pajak gadai, pejabat pos dan macam-macam lagi. Dalam masa setahun, mereka telah berjaya membuat rompakan bersenjata ini di tujuh negeri berlainan dari Perlis sehingga Johor.
Di antara tahun 2001 dan 2002, Mat telah melakukan sebanyak 52 rompakan bersenjata dan membuat keuntungan sebanyak RM2.5 juta wang tunai. Gang 13 ini juga sangat berani kerana mereka tak pernah memakai topeng untuk menutup identiti mereka semasa melakukan jenayah-jenayah ini.
Ekoran jenayah-jenayah yang dilakukan ini, Mat telah menjadi penjenayah paling dikehendaki dan pada pertengahan tahun 2001, pihak berkuasa telah melancarkan ‘Ops Api Sawi’ bagi memburu Mat Komando dan kumpulannya.
Penjejakan untuk memburu Mat Komando ini merupakan pemburuan paling lama dalam sejarah Malaysia di mana ia mengambil masa selama 255 hari. Ketika operasi ini bermula, pihak polis berjaya menjejaki Mat di sebuah Resort di Tasik Pedu, Kedah di mana Mat telah pergi ke sana bersama rakan-rakan dan keluarganya.
Selepas mengepung chalet tersebut, pertempuran tembakan mula berlaku menyebabkan beberapa orang Mat Komando telah dibunuh. Namun Mat berjaya melepaskan diri tanpa cedera di hutan berhampiran.
Unit askar, unit polis udara, unit anjing pengesan dan pasukan polis hutan Senoi Praaq telah cuba mengejar Mat namun selepas 10 hari pencarian tak membuahkan hasil mereka berhenti. Bagaimanapun, pihak polis berjaya menahan dan membunuh hampir kesemua Gang 13.
Enam bulan kemudian, Mat sekali lagi dikesan di Gemas, Negeri Sembilan di mana dia telah berjumpa dengan Shukri Husain, salah seorang ahli Gang 13 yang sedang bersembunyi. Kedua-dua mereka berjaya melepaskan diri selepas premis mereka diserbu dan ditembak.
Mat kemudiannya telah memukul Shukri kerana mengesyaki rakannya itu telah berkomplot dengan pihak polis. Sebelum dia sempat dibunuh oleh Mat, Shukri telah melarikan diri dan menuju ke arah polis dan telah membantu pihak polis.
Bulan berikutnya, pihak polis berjaya menjejaki Mat dengan bantuan Shukri di sebuah pondok terpencil yang terletak di perkampungan Felcra di Pendang, Kedah. Ketika ini, Mat Komando akhirnya ditembak mati selepas bertempur dengan pihak berkuasa.
Baca: 5 Jenayah Ngeri Di Malaysia Yang Masih Belum Selesai Hingga Sekarang