Tiga tahun hidup bagai seorang pelarian kerana menjadi buruan polis, seorang lelaki yang dikenali sebagai Aimay yang dikaitkan dengan pembunuhan wanita hamil tujuh bulan akhirnya berjaya dicekup polis.
Aimay atau nama sebenarnya Zulhakimy Aiman Suhairuddin, 24, ditahan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) pada jam 7 malam, Rabu.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisoner Kama Azural Mohamed berkata, suspek ditahan bersama rakan lelakinya yang juga berusia 24 tahun.
Artikel berkaitan: “Menangis tanpa sebab” – Mak Mentua Dedah Lans Koperal Tembak Isteri Alami Kemurungan
Artikel berkaitan: Pegawai Polis Didakwa Tembak Isteri Sedang Hamil Rayu Nak Lawat Kubur
“Terdahulu polis mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan sebelum menahan dua lelaki termasuk seorang suspek yang diburu berkaitan kes tembak wanita hamil sejak 2022.
“Hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamin,” katanya.
Suspek dikenakan tahanan reman selama tujuh hari bagi membolehkan pihak polis menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, seorang wanita hamil tujuh bulan ditemukan mati dengan kesan tembakan dalam sebuah kereta di tepi jalan di Kampung Repek.
Mangsa, Farrah Emirah Mazlan, 26, yang juga seorang peniaga ditemukan dalam keadaan terbaring di tempat duduk pemandu kereta Nissan Cefiro miliknya dan mempunyai kesan tembakan di bahagian perut sebelah kiri.
Siasatan polis mendapati, mangsa dipercayai ditembak dengan sepucuk pistol jenis semi auto .380 berdasarkan penemuan kelongsong peluru di dalam kereta tersebut.
Mangsa dipercayai sedang dalam perjalanan untuk mengurut di Kampung Teresek dan ditemui kira-kira 15 kilometer dari rumahnya di Kampung Bukit Lata, Pasir Mas.
Sumber: Sinar Harian, Kosmo!