Kalau dah sayang dan cinta dekat seseorang tu, kita mesti akan sanggup buat apa sahaja asalkan dapat gembirakan hati orang yang tersayang. Cinta mati la katakan.
Itu lah yang boleh digambarkan dengan situasi seorang lelaki Vietnam yang nekad mahu mendayung bot getah dari Phuket ke India untuk bertemu dengan isterinya setelah terpisah kira-kira dua tahun akibat COVID-19, lapor Thaiger.
Lelaki yang berusia 37 tahun itu dikenali sebagai Ho Huang Hung dan dia telah ditemui di laut kira-kira 80 kilometer dari perairan Andaman oleh polis marin Thailand.
Difahamkan, Hung telah berada di laut selama lebih kurang 18 hari dan dia dikatakan telah membuat persiapan seperti makanan dan air mineral sebagai bekalan untuk perjalanan tersebut.
Setelah mendayung bot getah selama 18 hari, dia baru sempat sampai di kawasan sekitar 80 kilometer dari kawasan pantai dan mengikut perkiraan, jika perjalanannya diteruskan, Hung bakal sampai di perairan India dalam masa 625 hari lagi.
Namun, perjalanannya terhenti kerana pihak polis menerima laporan daripada seorang nelayan yang ternampak Hung terapung di lautan di atas bot berwarna biru kuning.
Jadi, pihak berkuasa telah menyelamatkannya dan dia dibawa ke Taman Negara Pulau Similan.
Menurutnya, Hung sebenarnya telah menaiki penerbangan dari Saigon ke Bangkok pada awal bulan Mac sebelum meneruskan penerbangan ke Mumbai iaitu tempat isterinya tinggal.
Walau bagaimanapun, dia tidak dibenarkan untuk naik kapal terbang berkenaan kerana tidak memiliki visa.
Jadi, dia memutuskan untuk naik bas ke Phuket di mana di situ, dia telah menemui sebuah bot. Hung kemudiannya memulakan perjalanan mendayung bot itu pada 5 Mac lalu.
Ketika ditemui, pihak polis mengatakan perjalanan Hung telah ditemani dengan bekalan seperti 10 bungkus mi segera, beberapa tong air mineral dan beg pakaian.
Kisah cinta Hung itu kemudiannya telah dikongsikan dengan orang ramai menerusi Facebook pihak polis marin Thailand.
Jadi, sekarang, perjalanan lelaki ini terpaksa dihentikan kerana dia telah diselamatkan oleh pihak berkuasa. Bagus jugak tu, kalau jadi apa-apa kat tengah laut kan susah.
Apa-apa pun, memang tabik dengan kecekalan Hung ni untuk lepaskan rindu pada isterinya.
Sumber: Thaiger
Baca: [Video] Baru ‘Eksited’ Nak Mendayung, Gadis Hilang Keseimbangan Sampai Terbalik Sampan