Dua orang lelaki ditahan polis pada Jumaat lalu selepas mereka dilihat membakar mercun di tengah jalan yang sibuk sehingga mercun yang dimainkan oleh mereka itu merosakkan kereta orang awam.
Memetik laporan Kosmo, kejadian berlaku di Jalan Shahbudin, Taman Sentosa, Klang.
Menurut Asisten Komisioner Cha Hoong Fong iaitu Ketua Polis Daerah Klang Selatan, mangsa iaitu seorang wanita yang juga pemilik kereta yang terkena mercun tersebut telah membuat laporan polis pada sekitar jam 8 malam pada Jumaat.
Artikel Berkaitan: “Group WhatsApp Function!” – Netizen Teruja Lihat Sepakat Penduduk Flat, Meriah Dengan Mercun
Artikel Berkaitan: Pelajar IPT Baling Mercun Bola Dari Tingkat Atas Apartmen, Netizen Mohon Polis Ambil Tindakan
Mangsa ketika kejadian sedang memandu di kawasan tersebut dengan keretanya dan apabila kereta wanita itu mendekati kedua-dua suspek di tengah jalan, salah seorang daripada mereka telah meletakkan mercun tersebut di atas bonet keretanya.
Lelaki tersebut kemudiannya mengambil semula mercun itu apabila dimarahi oleh wanita itu namun mercun itu diletakkan semula di tepi kereta oleh suspek sehingga ia meletup dan merosakkan bahagian hadapan kereta mangsa.
Polis kemudiannya berjaya menahan kedua-dua lelaki terbabit setelah laporan polis dibuat.
Difahamkan, kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Tindakan kedua-dua suspek membakar mercun di tengah jalan itu sempat dirakam oleh kamera dashcam.
Sumber: Kosmo