“Saya risau apa akan jadi pada dia jika saya mati sebab COVID-19. Dia tak boleh hidup tanpa saya.”
Itu adalah pengakuan seorang wanita kepada doktornya selepas didapati bersalah menikam anak perempuannya berusia lima tahun sebanyak 15 kali sehingga mengakibatkan kematian kanak-kanak terbabit.
Memetik laporan Mirror, Sutha Sivanantham, 36, menikam anak perempuannya, Sayagi, 5, di bilik tidur kediaman mereka di Mitcham pada 30 Jun tahun lalu. Difahamkan, selepas menikam Sayagi, Sutha menikam dirinya sendiri pada bahagian abdomen.
Menurut suaminya, Suganthan, dia percaya perintah berkurung akibat pandemik COVID-19 menjadi punca insiden tragis itu berlaku.
Jelas Suganthan, dia sedang berada di pasar raya semasa dia menerima panggilan yang mengatakan isterinya telah membunuh anak perempuan mereka.
“Dia (Sutha) mengambil serius perintah berkurung itu dan sangat takut akan dijangkiti virus COVID-19,” tambahnya lagi.
Suspek terlalu risau diri sebenarnya menderita penyakit serius
Menurut pendakwa raya Bill Emlyn-Jones, pada malam sebelum kejadian, Sutha ada bertanya kepada suaminya jika dia akan menjaga anak mereka sekiranya Sutha sudah tiada.
“Pada pagi kejadian, dia (Sutha) ada meminta suaminya untuk tidak pergi bekerja namun suaminya tetap pergi selepas menjelaskan situasinya. Sutha kemudiannya menelefon kawan-kawannya untuk mengadu mengenai kesihatan diri tapi kesemua mereka menganggap dia normal,” kata Emlyn-Jones.
Insiden tragis itu bagaimanapun terbongkar selepas jiran menemukan Sutha terbaring di lantai dalam keadaan berlumuran darah. Difahamkan, terdapat kesan tikaman pada abdomen wanita itu.
“Pada kira-kira jam 4 petang, jiran dipanggil ke kediaman suspek dan mereka menemukan tertuduh cedera. Manakala Sayagi pula berada di atas katil dengan kesan tikaman di leher, dada dan abdomen,” jelas Emlyn-Jones lagi.
Sayagi, walau bagaimanapun, gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia di hospital selepas dua daripada 15 tikaman yang diterimanya mengenai jantung.
Sutha yang tidak boleh berbahasa Inggeris tinggal di United Kingdom sejak tahun 2006 susulan perkahwinan yang diatur dengan suaminya. Pada 11 September lalu, wanita terbabit didakwa di mahkamah atas tuduhan membunuh anak perempuannya.
Sementara itu, suami suspek berkata dia terlalu sedih mengenangkan kejadian yang menimpa isteri dan anaknya. Meskipun lelaki itu masih tidak bercakap dengan isterinya, dia menerima kenyataan bahawa Sutha tidak bertanggungjawab atas perbuatannya.
“Saya tahu jika dia benar-benar sihat, dia tak akan bunuh anak kami,” katanya.
Sutha Sivanantham kini dihantar ke hospital untuk menerima rawatan di bawah seksyen 37 dan 41 Akta Kesihatan Mental.
Sumber: Mirror