Permintaan terhadap minuman keras atau bir tanpa alkohol semakin tinggi di seluruh dunia.
Jadi tak peliklah kalau kebelakangan ini kita dapat lihat banyak minuman keras sedemikian ditawarkan dalam pasaran.
Heineken lancar minuman berasaskan malta
Terbaru, Heineken Malaysia Berhad mengumumkan bakal keluarkan minuman tanpa alkoholnya bulan depan.
Menurut laporan Star Online, minuman malta yang dinamakan Heineken 0.0 itu dipasarkan sejajar dengan trend bagi mereka yang menjaga kesihatan.
“Kami perkenalkan Heineken 0.0 untuk beri pilihan baru kepada pelanggan dan kami harapkan sokongan pengguna Malaysia,” – Roland Bala, Pengarah Urusan Heineken Malaysia Bhd
Minuman itu juga khusus untuk bukan Muslim dan mereka yang berumur lebih 21 tahun.
Telah dijual di Singapura, Thailand
Jangan terkejut sebab minuman itu telah dipasarkan di Singapura dan diikuti oleh Thailand pada awal tahun ini.
Diimport dari Belanda, jenama itu juga akan memperkenalkan pek baru botol bersaiz 250ml.
Ia disyorkan dijual pada harga runcit RM8.40 sebotol sementara di bar, pada harga RM14 sebotol.
‘Does it taste like the alcoholic one?’
Susulan laporan berita itu, banyak jugalah reaksi diberikan oleh netizen pelbagai bangsa dan agama.
Ada yang setuju, ada yang tidak.
‘Means halal Heineken??’
Isu alkohol dalam makanan, minuman, pewangi dan ubat-ubatan
Mesti sedikit sebanyak ada pihak yang mempersoalkan sama ada minuman ini boleh diambil atau tak memandangkan ia tiada alkohol.
Menurut Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang membincangkan ‘Isu Alkohol Dalam Makanan, Minuman, Pewangi Dan Ubat-Ubatan’ pada 14 hingga 16 Julai 2011 telah bersetuju memutuskan:
- Setiap minuman arak adalah mengandungi alkohol. Walaubagaimanapun bukan semua alkohol itu adalah arak. Alkohol yang diperolehi dari proses pembuatan arak, hukumnya haram dan najis.
- Manakala alkohol yang diperolehi bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis, tetapi haram (tidak boleh) diminum dalam bentuk aslinya kerana ia adalah racun dan boleh membunuh.
- Minuman ringan yang diproses/dibuat bukan dengan tujuan untuk menghasilkan arak dan mempunyai alkohol di bawah aras 1%v/v adalah harus (boleh) diminum.
- Manakala minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara yang sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.
- Makanan atau minuman yang mengandungi alkohol secara semulajadi seperti buah-buahan, kekacang atau bijirin serta perahannya, atau alkohol yang terkandung itu terjadi secara sampingan semasa proses pembuatan makanan atau minuman adalah tidak najis dan harus (boleh) dimakan/diminum.
- Makanan atau minuman yang mengandungi bahan perisa atau pewarna yang mengandungi alkohol untuk tujuan penstabilan adalah harus (boleh) digunakan sekiranya alkohol itu bukan dihasilkan dari proses pembuatan arak dan kuantiti alkohol dalam produk akhir itu adalah tidak memabukkan dan kadar alkohol tidak melebihi 0.5%.
- Ubat-ubatan dan pewangi yang mengandungi alkohol sebagai bahan pelarut adalah tidak najis dan diharuskan sekiranya alkohol tersebut bukan diambil melalui proses pembuatan arak.
Apa-apa pun, jauhilah perkara yang boleh mendatangkan fitnah dan syubhah ye..