Sambutan kemerdekaan Malaysia akan sama-sama kita raikan dalam beberapa hari sahaja lagi. Rakyat Malaysia sendiri sudah mula membangkitkan semangat kemerdekaan dengan pelbagai inisiatif untuk menyambutnya dalam keadaan norma baharu ini.
Bagi seorang anggota bomba merangkap Jurulatih Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Tengah, Kuala Kubu Bharu, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, dia telah membuat kayuhan sejauh 2,450km sempena kemerdekaan Malaysia yang ke-63 ini.
Mohd Fakhrul dilaporkan akan menamatkan kayuhannya pada 31 Ogos ini. Buat masa kini, beliau telah berjaya menghabiskan kayuhan sejauh 2,253km dan singgah hampir 90 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dengan purata kayuhan antara 100 hingga 150km sehari.
“Hari ini saya akan memulakan kayuhan dari BBP Sungai Besar menuju ke BBP Sekinchan, Tanjong Karang, Kuala Selangor, Kapar dan seterusnya ke BBP Bukit Jelutong, Shah Alam,”
Cabaran ketika ekspedisi
Mohd Fakhrul memberitahu antara kesukaran yang dihadapi adalah berdepan dengan cuaca dan keadaan jalan raya. Namun, ianya tidak mematahkan semangat beliau kerana pasukan pengiring sentiasa membantu dalam ekspedisi ini.
“Antara kesukaran dialami tentunya disebabkan faktor cuaca panas, selain laluan berliku dan angin laut. Namun, kesukaran ini dibantu pasukan pengiring ketika saya melakukan kayuhan selain pengalaman menyertai ekspedisi mendaki gunung termasuk di luar negara”
Menghayati pejuang terdahulu – Mohd Fakhrul
Beliau menyifatkan bahawa kayuhan ini dilakukan untuk menjiwai semangat pejuang terdahulu yang bersusah payah dalam membebaskan negara dari cengkaman penjajah.
Pada masa yang sama, beliau mengambil peluang ini untuk mengutip dana Tabung Kebajikan Anggota Bomba untuk membantu anggota bomba yang memerlukan. Lapor Sinar Harian.
Baca: WOW! Lelaki Ini Sanggup Berhabis Lebih RM12 Ribu Untuk Hias Rumah Sempena Merdeka