Masih ingat malapetaka yang berlaku di sebuah perkampungan di India baru-baru ini? Lima musafir mati sia-sia dibantai sekumpulan penduduk yang hilang akal dan pertimbangan kerana WhatsApp.
WhatsApp yang dicipta dan dibangun untuk memudahkan kehidupan seharian, jadi alasan untuk kita menutup kebodohan segelintir umat manusia yang meletakkan akal mereka lebih rendah dari kepala lutut.
Kerana tolol dan suka membabi buta — maka berlakulah salah faham, dan nyawa manusia jadi taruhannya.
Kalau ada yang tidak mengikuti kisah ini, bolehlah menaip kata kunci ‘WhatsApp’ dan ‘Rainpada lynching’ di enjin carian masing-masing.
Agak ngeri bila difikirkan sedalam-dalamnya, betapa mudah emosi kita terpancing dengan provokasi maklumat palsu yang dimulakan oleh entah siapa-siapa.
Justeru, atas alasan itu — WhatsApp kini memperkenalkan ciri baru pada platformnya untuk memudahkan pengguna mengenalpasti sekiranya mesej yang diterima mereka telah di’forward‘ berulang kali oleh orang lain.
Caranya mudah. Apabila kita menerima forwarded message yang dilabelkan dengan dua ikon anak panah, kita akan tahu bahawa mesej tersebut telah di’forward‘ lebih lima kali kepada pengguna lain berbanding dengan hanya ikon anak panah tunggal sebelum ini.
Dan kalau kita masih juga ingin menghantar mesej tersebut kepada group atau individu lain, WhatsApp akan mark ia sebagai forwarded many times sebelum dihantar.
Namun, jumlah sebenar berapa kali mesej tersebut di’forward’ akan kekal encrypted. Sama jugalah halnya seperti WhatsApp tidak akan mendedahkan nama-nama individu pertama yang memulakan sebaran maklumat palsu menerusi platform itu. Semuanya encrypted.
Kemaskini ciri ini adalah sebahagian daripada usaha WhatsApp untuk mengurangkan dampak penyebaran maklumat palsu dalam kalangan pengguna-penggunanya.
Aplikasi milik Facebook itu kini menjadi ‘vector’ kepada penyebaran berita tidak benar di dua pasaran terbesarnya iaitu India dan Brazil.
Berbalik kepada kisah di India tadi, iktibarnya jadilah pengguna aplikasi yang bijak dan berhemah.