Inilah wanita yang wajar digelarkan sebagai superwoman! Meskipun kisah Dr Saritha Sivarajan tidak seperti kisah wirawati dalam filem Marvel atau DC, namun ia cukup memberi inspirasi kepada wanita di luar sana untuk menggapai impian mereka meskipun sudah berkahwin dan mempunyai anak.
Wanita yang berusia 35 tahun ini merupakan seorang pakar pergigian dan kini digelar sebagai ‘superwoman’ dalam kalangan sahabatnya kerana berjaya melahirkan anak ketiga selepas hanya beberapa jam selesai bergraduasi sebagai pakar ortodontik di Universiti Malaya, Ahad lalu.
Menurut Asia One, Dr Saritha sudah mula merasakan kontraksi sejak dari rumah lagi dan awal majlis graduasi tersebut berlangsung, namun dia tetap gagahkan diri untuk menghadiri majlis tersebut.
Apa yang lebih membanggakan, wanita ini telah berjaya mendapat sijil sebagai pelajar yang mendapat Prestasi Keseluruhan Terbaik dan Tamat Pengajian Dengan Cemerlang. Wah hebatnya!
Sepanjang lima tahun ini saya mengalami pelbagai kesukaran dan saya juga pernah terfikir untuk berputus asa.”
Namun ternyata semua usahanya membuahkan hasil. Dr Saritha yang telah mendirikan rumah tangga dengan jurutera pesawat, G Kandasamy tidak menyangka bayi perempuan mereka yang dijangka lahir pada Selasa ini, lahir awal daripada waktunya.
Menurutnya, dia telah melahirkan anak kedua mereka, K Puvilissha pada 2013 ketika dia di tahun pertama pengajian ijazah sarjana dalam ortodontik.
“Saya mengambil pengajian sepenuh masa dan terpaksa meninggalkan rumah seawal jam 6 pagi pada hari biasa untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur.
“Saya kemudian akan meninggalkan kelas tepat jam 5 petang untuk mengambil anak-anak perempuan saya pulang dari pusat jagaan dan kembali ke rumah untuk menyediakan makan malam keluarga dan membersihkan rumah,” ceritanya.
Hebatnya Dr Saritha dapat imbang pelbagai tugas dalam satu masa!
Katanya, ketika kejadian bersejarah itu berlaku, sebaik sahaja selesai mengambil skrol dari pro-canselor Toh Puan Dr Aishah Ong di Dewan Tunku Canselor kira-kira jam 4.50 petang, kontraksinya bertambah kerap.
“Saya telefon suami yang berada di luar dewan dan berkata kami patut pulang ke Seremban secepatnya,” kata Dr Saritha.
Beberapa jam kemudian, dia selamat melahirkan bayi perempuan di sebuah hospital swasta pada jam 8.18 malam. Pun begitu, Dr Saritha tidak menyangka yang dia perlu pulang semula ke Universiti Malaya selepas mendapat pesanan mesej dari profesornya yang dia perlu menghadiri satu lagi majlis penganugerahan di Fakulti Pergigian keesokan hari.
Rezeki berganda-ganda namanya ni!
“Saya masih dalam keadaan sakit dan tidak selesa tapi memutuskan untuk menghadiri majlis itu sebagai penghargaan kepada semua profesor saya,” katanya lagi.
Manisnya kejayaan yang kita usaha dengan titik peluh sendiri! Semoga bayi yang baru dilahirkan Dr Saritha juga berjaya dan cemerlang seperti ibunya.
Baca: Gadis 19 Tahun Ini Bakal Menjadi Doktor Termuda di Malaysia!