Kadang kala kita sebagai anak tidak faham dengan fesyen yang digayakan ibu bapa. Begitu juga wanita ini yang merasakan sebegitu kepada bapanya sehinggalah dia mendapat tahu cerita sebenar di sebaliknya.
Baru-baru ini, netizen di seluruh dunia tersentuh hati dengan perkongsian seorang wanita dari Jepun tentang bapanya di laman Twitter.
Menurut wanita yang menggunakan nama Riaru di laman sosial itu, dia sering tertanya-tanya mengapa bapanya memakai baju polo berwarna hijau dan kuning sejak 20 tahun lalu meskipun pakaian itu sudah lusuh dan lama.
Riaru akhirnya mendapat tahu kisah di sebalik itu selepas membelek barangan milik mendiang datuknya. Menurut Buzzfeed, wanita itu menjumpai beberapa keping gambar lama kedua ibu bapanya ketika waktu berbulan madu.
Gambar itu menunjukkan bapanya memakai baju polo yang sama manakala ibunya yang telah meninggal dunia akibat kanser 18 tahun lalu, dilihat memakai baju polo yang menyerupai baju bapanya namun berlainan warna.
Tersentuh dengan sentimental value pada baju milik bapanya itu, Riaru membuat keputusan untuk berkongsi kisah tersebut dan memuat naik gambar-gambar yang dijumpainya itu.
“Saya tertanya-tanya mengapa dia sering memakai baju polo lama itu dan mengapa tidak beli sahaja yang baru. Saya tidak pernah menyangka bahawa baju itu memberi kenangan istimewa kepadanya.”
“Jika baju itu berlubang, dia akan menjahit semula dengan berhati-hati. Dia akan pakai untuk apa sahaja majlis tidak kira kerja atau keluar bersiar bersama keluarga.”
Alahai sedihnya!
Riaru akui selama ini dia menganggap bapanya itu ‘tak cool’ kerana sering menggayakan baju yang sama. Namun, selepas mendapat tahu kisah di sebaliknya, dia kini telah menukar persepsi itu.
“Kini, saya rasa saya perlu mengingati dan menghargai kenangan. Saya tidak akan buang apa sahaja barangan penting milik ibu bapa serta datuk dan nenek.”
Kadang kala, perkara sekecil itu memberi penuh makna kepada seseorang. Bukan kerana harga, bukan kerana kualiti tetapi kerana memori.
Baca: Bapa Menangis Selepas Anak-anak Beri Kejutan Hadiah Kereta Idamannya