Setiap hari, ada saja cerita yang kita baca di laman sosial berkenaan mangsa banjir diberikan bantuan oleh pelbagai organisasi, tidak kiralah sama ada inisiatif kerajaan sendiri atau sumbangan badan bukan kerajaan (NGO). Baguslah.. berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, kan?
Namun, ada juga pihak yang menggunakan kesempatan atas bantuan yang diberikan untuk kepentingan diri sendiri.
Baru-baru ini, seorang wanita berusia 33 tahun dikatakan menipu mengatakan dirinya adalah mangsa banjir untuk mendapatkan bantuan dari NGO serta sukarelawan di Mentakab, Temerloh.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek didakwa melakukan permohonan bantuan banjir yang disalurkan oleh sebuah NGO di pusat pemindahan sementara (PPS) bertempat di Temerloh sejak 29 Dis lepas.
Tambahnya lagi, suspek turut mendakwa dirinya sebagai ibu tunggal kepada tiga orang anak yang tidak menerima sebarang bantuan, menjadikan NGO itu terus menghulurkan bantuan kewangan, bekalan makanan, toto, bantal dan selimut.
Menurut FMT, suspek juga menerima peralatan elektrik seperti kipas angin, mesin pengisar dan periuk nasi, di mana nilai keseluruhan bantuan yang diterimanya berjumlah RM700.
Bagaimanapun, NGO itu menerima rungutan orang ramai mendakwa wanita itu bukan mangsa banjir kerana alamat rumah yang digunakan dalam permohonan itu tidak didiami suspek,” kata Wazir.
Hasil semakan sendiri dari salah seorang ahli NGO itu, wanita tersebut dikatakan memohon bantuan dari NGO serta sukarelawan lain, menyebabkan pengadu akhirnya bertindak membuat laporan polis.
Tambah Wazir lagi, siasatan awal dari polis turut mendapati alamat yang digunakan suspek serta rumah yang dikatakan ditumpang olehnya tidak didiami oleh sesiapa. Malah, semakan dari ketua kampung juga mengesahkan wanita itu bukanlah mangsa banjir.
Justeru itu, siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun dan sebat serta boleh didenda jika disabitkan kesalahan.
Musim-musim banjir ni pun, ada juga yang ambik kesempatan ek?
Baca: “Sekelip mata berubah” – Dahulu Tempat Rekreasi Terkenal, Kini Sg Gabai Musnah Akibat Banjir