Seorang wanita yang ingin pulang untuk cuti Hari Krismas nekad untuk lari ke landasan lapangan terbang dan cuba menahan pesawat dari berlepas gara-gara terlewat menaiki pesawat.
Kejadian yang berlaku di Sky Harbor Airport, Phoenix itu menyaksikan Vickie Meyers yang dalam keadaan mabuk berbuat demikian untuk menarik perhatian juruterbang pesawat Spirit Airlines dan membenarkannya menaiki pesawat tersebut.

Memetik laporan Mirror UK, wanita itu hendak pulang ke St. Louis, Missouri dan beliau keliru dengan masa pesawat berlepas. Kekeliruan itu akhirnya menyebabkan beliau terlepas panggilan terakhir untuk menaiki pesawat.
Akibat daripada itu, beliau cuba melepasi pintu pelepasan di lapangan terbang dengan memasukkan kod secara rawak. Selepas gagal melepasi pintu pelepasan, wanita itu bergegas ke pintu kecemasan berdekatan yang menghubungkan ruangan menunggu penumpang dan landasan lapangan terbang.

Wanita berusia 53 tahun itu berlari ke arah sebuah pesawat sebelum bertekak dengan petugas landasan untuk membenarkannya menaiki pesawat. Beliau kemudiannya diberkas oleh polis yang bertugas di lapangan terbang dan dibawa ke terminal untuk siasatan.
Wanita itu kemudiannya dibawa untuk tahanan reman di balai polis berhampiran atas kesalahan menceroboh.
Baca: Pertama Kali Naik Pesawat, Video Ketua Kampung Nyaris Terbuka Pintu Kecemasan Tular

