in

Virus Nipah Di India: 5 Kes Jangkitan Dikesan, Ini Fakta Virus Yang Korang Perlu Ambil Tahu

Featured Lm 95

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Baru-baru ini, dunia dikejutkan dengan berita penularan semula virus Nipah di India apabila lima kes dilaporkan di negeri Bengal Barat, India.

Susulan itu, hampir 100 individu telah dikuarantin sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengawal penularan jangkitan. Salah satu kes jangkitan virus ini turut melibatkan petugas kesihatan di sebuah hospital swasta berhampiran Kolkata, sekaligus mencetuskan kebimbangan pihak berkuasa tempatan.


Situasi ini terus mendapat perhatian negara-negara jiran yang mana Thailand dan Nepal mula memperketatkan pemerikaan kesihatan terhadap pelancong yang baru tiba dari India. Thailand menjalankan saringan di lapangan terbang utama, manakala Nepal meningkatkan kawalan di pintu masuk sempadan dan lapangan terbang antarabangsa.

Namun begitu, persoalannya, apakah risiko jika kita dijangkiti dengan virus Nipah ini? Sebab apa yang membimbangkan ialah sehingga hari ini, virus Nipah dikhabarkan masih belum mempunyai vaksin atau ubat khusus untuk merawatnya secara menyeluruh. Jom kita fahami apa itu virus Nipah terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan: “Kali pertama dengar virus ni” – Malaysia Pernah Kena Serang Virus Nipah Disangka Nyamuk Penyebab, Rupa-Rupanya… – Lobak Merah

Artikel Berkaitan: Tidak Serik, 3 Penjenayah Malaysia Bertindak Ganas Di Mumbai Selepas Kena Halau Dari UK – Lobak Merah

Apa itu virus Nipah?

Nipah Virus

Virus Nipah ini merupakan penyakit zoonosis yang sama seperti Covid-19 dan jangkitan virus ini boleh merebak daripada haiwan seperti khinzir dan kelawar buah kepada manusia.

Jangkitan virus nipah ni dikatakan susah untuk dikesan pada peringkat awal ekoran simptomnya yang agak umum. Selepas seseorang terdedah dengan virus ini, simptom akan muncul dalam tempoh empat hingga 21 hari dan dalam kes-kes tertentu, simptom boleh muncul sedikit lewat sebelum tanda-tanda jangkitan serius kelihatan.

Pada peringkat awal, individu yang dijangkiti selalunya akan mengalami simptom seperti demam, sakit kepala, sakit badan dan keletihan, seakan-akan selesema biasa. Ada juga pesakit yang mengalami masalah pernafasan seperti batuk, sesak nafas atau radang paru-paru, namun tahap dan masa kemunculan simptom adalah berbeza bagi setiap individu.

Apa yang lebih membimbangkan ialah virus Nipah boleh menyebabkan radang otak atau ensefalitis, iaitu satu komplikasi serius yang boleh mencul beberapa hari atau minggu selepas simptom awal.

Pada tahap ini, pesakit berpotensi untuk perubahan terhadap kesedaran seperti keliru, sawan atau koma. Ada sesetengah kes juga boleh menyebabkan radang selaput otak.

Macam mana virus Nipah merebak?

Whatsapp Image 2026 01 27 At 12.55.30 Pm

Menurut portal antarabangsa, haiwan kelawar buah daripada spesies Pteropus adalah haiwan pembawa utama bagi virus ini. Manusia boleh dijangkiti melalui sentuhan langsung dengan haiwan yang dijangkiti atau dengan mengambil makanan dan minuman yang telah tercemar oleh air liur, air kencing atau najis kelawar.

Terdapat laporan menyatakan jangkitan virus ini boleh merebak sesama manusia menerusi hubungan rapat seperti sentuhan dengan cecair badan individu yang dijangkiti, termasuklah ketika menjaga pesakit.

Seberapa serius jangkitan ini? 

Nipah India

Virus nipah ini memang terkenal dengan kadar kematian yang tinggi iaitu antara 40% hingga 75%, bergantung kepada wabak dan jenis virus tersebut. Walaupun begitu, tidak semua jangkitan virus Nipah membawa maut dan terdapat juga pesakit yang berjaya sembuh.

Namun bagi mereka yang terselamat, sebahagian daripada mereka boleh mengalami kesan jangka panjang terhadap sistem saraf seperti sawan yang berulang atau perubahan personaliti.

Dalam sesetengah kes, radang otak juga boleh berlaku semula beberapa bulan atau bahkan bertahun-tahun selepas dijangkiti, sama ada akibat jangkitan berulang atau pengaktifan semula virus tersebut. Namun difahamkan, ia antara kes yang jarang sekali untuk berlaku.

Virus Nipah pertama kali dikesan di Malaysia dan Singapura

Nipah Malaysia

Difahamkan, virus Nipah pertama kali dikesan pada tahun 1999 selepas berlakunya wabak radang otak dan masalah pernafasan dalam kalangan penternak khinzir di Malaysia dan Singapura. Kes-kes tersebut melibatkan individu yang hubungan rapat dengan khinzir yang dijangkiti, sekaligus menyebabkan berlakunya pengiktirafan virus Nipah sebagai virus serius yang boleh merebak daripada haiwan kepada manusia.

Sejak itu, beberapa wabak lain telah direkodkan di Asia Selatan, terutamanya di Bangladesh dan timur laut India, yang mana Bangladesh mengalami kes hampir setiap tahun sejak 2001. Di India pula, negeri Kerala melaporkan wabak pertama pada tahun 2018, diikuti dengan beberapa kes susulan laporan pertamanya.

Kajian mendapati yang kelawar buah merupakan pembawa semula jadi virus Nipah. Walaupun virus ini ditemui dalam populasi kelawar di beberapa negara Asia dan Afrika, kes jangkitan manusia setakat ini hanya dilaporkan di Asia Selatan dan Asia Tenggara yang mana kebanyakannya di luar kawasan bandar.

Tiada rawatan khusus untuk jangkitan virus Nipah

Sehingga kini, tiada rawatan khusus yang terbukti berkesan untuk merawat jangkitan virus Nipah dan tiada vaksin yang diluluskan bagi mencegahnya. Setakat ini, rawatan yang diberikan kepada pesakit hanya memberi sokongan melalui merawat simptom dan komplikasi yang timbul sepanjang dijangkiti.

Disebabkan tahap risikonya yang tinggi, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyenaraikan virus ini sebagai antara patogen keutamaan yang memerlukan penyelidikan segera ekoran ia berpotensi untuk mencetuskan wabak besar.

Disebabkan belum ada vaksin untuk jangkitan ini, ia disarankan untuk orang ramai mengambil pencegahan awal sebagai langkah pertama iaitu seperti:

  • Elakkan memakan buah yang jatuh dari pokok serta tercemar atau separuh dimakan
  • Elakkan meminum jus kurma mentah atau minuman seperti tuak yang disimpan dalam bekas terbuka
  • Elakkan bersentuhan dengan individu yang dijangkiti virus Nipah
  • Elakkan terdedah dengan haiwan sakit atau haiwan yang telah mati

Agensi kesihatan global sangat menekankan kepentingan kesedaran awam dan langkah perlindungan asas, terutamanya dengan mengurangkan pendedahan kepada sumber jangkitan seperti kelawar, haiwan ternakan dan individu yang dijangkiti.

Sumber: Global Times, Independent, BBC

Sumber: Dreams Time
Sumber: SCMP
Sumber: SCMP

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.