Tular satu video memaparkan van yang dipercayai pengangkutan untuk pelajar sekolah tidak memberhentikan kenderaannya untuk mengambil dan menurunkan pelajar yang menaikinya.
Perbuatan itu dilihat menerusi satu rakaman dashcam yang memaparkan seorang pelajar sekolah rendah dengan uniform lengkap memasuki van berkenaan yang sedang bergerak perlahan, selepas seorang pelajar lain keluar darinya.
Van berkenaan dilihat tidak langsung berhenti dan berterusan bergerak walaupun terdapat pelajar keluar dan masuk darinya.
Artikel berkaitan : Kes Anak Dilangg*r Pemandu Van: Ibu Dah Maafkan Tapi Tekad Nak Ambil Tindakan
Artikel berkaitan : Pemandu Van Biadap, Selamba Tanggalkan Tanda Parkir Khas Ibu Bapa Depan Sekolah
Dah ditahan polis
Lebih membimbangkan, pelajar yang turun dari van tersebut diihat mengangkat beg sekolah yang berat dan cuba meletakkan ia ke dalam van, sebelum kembali memasuki kenderaan tersebut dalam keadaan van itu bergerak.
Menurut rakaman tersebut, kejadian yang membahayakan nyawa itu dipercayai berlaku pada hari Selasa (19/8/2025) pada jam 12.53 tengah hari. Susulan dengan kejadian tersebut, Sinar Harian melaporkan bahawa pemandu van tersebut telah ditahan pihak polis.
Pemandu Van Sekolah Ditahan Gara-Gara Turunkan Pelajar Tanpa Henti
KAJANG – Seorang pemandu van sekolah ditahan polis selepas tular rakaman video yang memaparkan tindakannya menurunkan dan mengambil pelajar ketika kenderaan masih bergerak sehingga membahayakan keselamatan.… pic.twitter.com/Pm3mj5A5Va
— MYNEWSHUB (@mynewshub) August 20, 2025
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, video itu dimuat naik di akaun Facebook sekitar jam 5.43 petang semalam dan polis telah berjaya mengesan dan menahan pemandu van, seorang lelaki tempatan yang berusia 59 tahun untuk siasatan lanjut.
Kata Naazron lagi, kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 5 tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 jika sabit kesalahan.
Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut tentang kejadian ini diminta untuk hubungi balai polis berdekatan atau pegawai penyiasat, Insp. Ahmad Zahrein di talian 017-3818422.
Dalam pada itu, Naazron turut menasihati semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang trafik serta mengutamakan keselamatan semasa memandu.
Sumber : Sinar Harian, X