Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) Chelsea melakar sejarah apabila menganjurkan jamuan berbuka puasa di Stadium Stamford Bridge bersama komuniti Muslim di London.
Difahamkan, jamuan berbuka puasa Open Iftar anjuran Yayasan Chelsea pada Ahad adalah yang kali pertama diadakan di stadium tersebut.
Open Iftar telah berkongsi satu hantaran video di Twitter rakaman detik bersejarah laungan azan Maghrib di sana.
Looks like Stamford Bridge @ChelseaFC is not just a home for the Blues, but also a welcoming ground for all faiths. Hearing the Azhan at the Bridge is a true 'goal' for the Muslim community and a 'win' for football in promoting unity and diversity #OpenIftar #Ramadan2023 pic.twitter.com/xRf6ThxZmP
— Open Iftar (@OpenIftar) March 26, 2023
Dalam video itu, seorang lelaki dilihat sedang melaungkan azan manakala orang ramai mengeluarkan gadget bagi merakam momen indah tersebut. Kedengaran laungan azan yang kuat dan merdu berkumandang di stadium bola sepak terkenal itu.
“Nampaknya Stamford Bridge, Chelsea bukan sahaja rumah bagi The Blues, tetapi juga tempat yang mengalu-alukan kedatangan semua agama.
“Mendengar azan di stadium itu adalah matlamat sebenar bagi masyarakat Islam dan kemenangan untuk bola sepak dalam mempromosikan perpaduan dan kepelbagaian,” ciapnya.
Jamuan berbuka puasa itu menjadi program pertama berkaitan Ramadan yang dianjurkan Chelsea untuk kelab mereka.
Open Iftar dijalankan dengan kerjasama Ramadan Tent Project, sebuah badan amal yang ditubuhkan pada 2013 dengan misi menyatukan masyarakat dan membangunkan pemahaman Ramadan.
Penganjuran ini juga membolehkan komuniti Muslim di London menyambut Ramadan bersama-sama dan berpeluang berkumpul berbuka puasa secara berjemaah.
Dalam masa yang sama, ia juga menyediakan ruang kepada komuniti Muslim di sana untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama mereka.
Sebelum ini, kelab bola sepak itu pernah melancarkan kempen “No To Hate” dan menggalak kesaksamaan, kepelbagaian dan keterangkuman.
Baca: Subhanallah! Kota London Bercahaya Sempena Bulan Ramadan Buat Pertama Kali